Antarabangsa
Nazem Kadri, pemain Muslim pertama NHL julang Piala Stanley, bawa piala ke masjid
Sejarah tercipta apabila Pemain Liga Hoki Nasional (NHL), Nazem Kadri membawa Piala Stanley ke sebuah masjid di Ontario iaitu kali pertama trofi berprestij itu dibawa ke rumah ibadat Muslim.
- Nazem Kadri, 31, melakar sejarah menjadi pemain hoki Muslim dalam Liga Hoki Nasional (NHL) memenangi Piala Stanley.
- Pemain penyerang itu menjulang Piala Stanley bersama pasukan Colorado Avalanche pada Jun lalu.
- Nazem meraikan kemenangan dengan membawa piala berprestij itu ke Masjid Muslim London yang pernah beliau kunjungi ketika masih kecil di mana ia merupakan kali pertama Piala Stanley dibawa ke rumah ibadat Muslim.
- Tradisi sukan hoki menetapkan setiap ahli pasukan diberi peluang selama sehari bersama Piala Stanley.
Sejarah tercipta apabila Pemain Liga Hoki Nasional (NHL), Nazem Kadri membawa Piala Stanley ke sebuah masjid di Ontario iaitu kali pertama trofi berprestij itu dibawa ke rumah ibadat Muslim.
Penyerang berusia 31 tahun itu, yang memenangi Piala Stanley dengan pasukan Colorado Avalanche pada Jun lalu, membawa trofi itu ke Masjid Muslim London yang pernah beliau kunjungi ketika masih kecil.
Nazem, yang berhijrah ke Kanada bersama keluarganya dari Lubnan pada 1968, adalah pemain hoki Muslim dan juga pemain Lubnan-Kanada pertama memenangi piala berprestij itu.
“Menjadi orang pertama dengan pencapaian ini adalah satu keistimewaan dan penghormatan bagi diri, komuniti dan kampung halaman saya,” katanya kepada GlobalNews dipetik New York Post.
Tradisi sukan hoki menetapkan setiap ahli pasukan diberi peluang selama sehari bersama Piala Stanley.
Selain melawat masjid terbabit, Nazem dan Piala Stanley diarak menaiki trak bomba melalui bandar terus ke taman, di mana warga London, Ontario itu dianugerahkan ‘kunci kepada bandar’ terbabit, simbolik kepercayaan dianugerahkan kepada penerima.
“Ini sebahagian dari latar belakang saya, sebahagian sejarah dan juga sebahagian diri saya. Ada sebab mengapa saya membawa piala ini ke sini, sesungguhnya komuniti saya berhak menerimanya. Mereka sentiasa menyokong saya dari awal jadi saya mahu kongsikan dengan semua orang,” katanya kepada NHL.com.
Nazem, yang bermain dalam kecederaan semasa perlawanan akhir Piala Stanley, kini bebas bermain dengan mana-mana pasukan pilihannya. Terkini, pada awal bulan ini, beliau bersetuju bermain bersama Calgary Flames untuk tempoh tujuh tahun dengan bayaran USD49 juta.
Sumber: New York Post