Terkini
Gaji lebih RM4000 masih pilih berhenti kerja, apa masalah anak muda hari ini?
Seorang pengguna Facebook telah berkongsi kisah konflik anak muda yang berhenti kerja kerana stress dengan tanggungjawab pekerjaan itu sendiri sekalipun boleh dikatakan pendapatan yang diterima agak lumayan.
- Mohd Faisal, pengguna Facebook menceritakan kisah anak sulungnya yang bekerja di bidang Customer Service dalam sebuah syarikat penerbangan di pusat bandar KL dan ingin berhenti kerja kerana bebanan kerja banyak walaupun dibayar gaji hampir melebihi RM4000.
- Pada permulaan, 50 orang telah memasuki pekerjaan itu bersama-sama namun akhirnya yang setia meneruskan pekerjaan hanyalah 18 orang.
- Katanya, sekalipun sudah ada pekerjaan yang baik, tempat kerja selesa, gaji bagus namun golongan ini masih sahaja tidak berpuas hati sebaliknya apabila tiada pekerjaan, kerajaan dipersalahkan.
- Dia turut tidak bersetuju dengan kehadiran pekerjaan seperti Grab, Food Panda dan penjual-penjual di lampu isyarat yang dilihat akan melahirkan masyarakat yang tidak mahu maju ke depan dan budaya malas belajar.
- Pandangan itu turut disokong oleh pengguna Facebook lain iaitu Mohd Khairul MK yang berpendapat jika pekerjaan sebegitu terus menjadi pilihan utama anak muda maka pada masa akan datang golongan profesional mungkin akan berkurangan.
Kuala Lumpur – Seorang pengguna Facebook telah berkongsi kisah konflik anak muda yang berhenti kerja kerana stress dengan tanggungjawab pekerjaan itu sendiri sekalipun boleh dikatakan pendapatan yang diterima agak lumayan.
Difahamkan pada permulaan, 50 orang telah memasuki pekerjaan itu secara bersama-sama namun akhirnya yang masih setia meneruskan pekerjaan tersebut hanyalah 18 orang.
Senario ini menimbulkan persoalan, ke manakah hala tuju anak-anak muda hari ini?
Berbalik kepada perkongsian lelaki itu;
Mohd Faisal menceritakan kisah anak sulungnya yang berusia 22 tahun bekerja di bidang Customer Service dalam sebuah syarikat penerbangan di pusat bandar KL.
Menurut Faisal, anaknya itu mula bekerja hampir setahun yang lepas dan boleh mendapat bayaran gaji RM3000.00 lebih sebulan.
“Ini sudah cukup bagus bagi orang yang berusia sepertinya dan masuk kerja hanya berbekalkan diploma dan kemahiran berbahasa Inggeris. Suasana tempat kerja bagus. Kemudahan segalanya lengkap. Lokasi pun bagus kerana senang diakses dengan LRT,” katanya dalam hantaran di Facebook itu.
Beliau berkata, pada awal kumpulan yang memasuki pekerjaan itu bersama anaknya adalah 50 orang namun semasa sesi latihan selama dua bulan, 10 orang telah berhenti.
Tambahnya lagi, apabila mereka mulai bekerja secara rasmi, dapat disaksikan setiap bulan ada sahaja individu yang berhenti hingga akhirnya tinggal 18 orang sahaja daripada 50 orang.
“Sekarang syarikat penerbangan mula kembali sibuk. Kerja semakin bertambah. Syarikat mula mewajibkan kerja lebih masa (berbayar). Bayaran kerja lebih masa mereka bukannya RM 5 atau RM 10 satu jam. Berpuluh-puluh RM per jam. Boleh mencecah RM 250 jika kerja 8 jam sehari.
Mulai bulan Jun, syarikat mewajibkan semua staf OT satu hari seminggu di hari cuti mereka. Semalam 15 orang hantar surat berhenti. Alasan mereka syarikat melanggar kontrak. Janji kerja lima hari seminggu, sekarang kena kerja enam hari seminggu.
Saya beritahu anak, kamu jangan berhenti. Jangan terikut-ikut kawan. Kalau kamu berhenti saya tidak akan pedulikan kamu lagi dan jangan minta tolong apa-apa dengan saya,” katanya.
Mohd Faisal berpandangan, tiada istilah pelanggaran kontrak dalam perkara itu, kerana baginya mereka diminta bekerja pada hari cuti dalam keadaan berbayar bahkan bukan dalam kadar bayaran yang rendah.
Sebaliknya, gaji anaknya akan menjadi RM4500 sebulan.
Beliau turut mempersoalkan, apa lagi yang anaknya mahukan dalam situasi ini?
“Saya beritahu kepadanya, kerja perlu konsisten, ikhlas dan istiqomah. Untuk mendapat jawatan dan gaji yang lebih besar di masa depan, kita perlu kerja kuat dan timba pengalaman dari sekarang.
Apatah lagi kamu masih muda dan bujang. Jangan harap pangkat besar atau gaji tinggi akan datang bergolek. Kalau tidak dipecah ruyung mana hendak dapat sagunya?
Alhamdullilah anak saya tidak mahu berhenti dan tidak akan mengikut jejak rakan-rakan sekerjanya. Alhamdullilah juga, malam tadi beliau dapat e-mel daripada syarikat memaklumkan tentang kenaikan gajinya bermula bulan Mac 2022,” kongsi beliau yang terus mempersoalkan ke manakah hala tuju anak-anak muda hari ini.
Katanya, sekalipun sudah ada pekerjaan yang baik, tempat kerja selesa, gaji bagus namun golongan ini masih sahaja tidak berpuas hati sebaliknya apabila tiada pekerjaan, kerajaan dipersalahkan.
“Sebab itu saya tidak berapa bersetuju dengan kehadiran kerja seperti Grab, Food Panda dan penjual-penjual di lampu isyarat sekarang ini. Kerana ini akan melahirkan masyarakat yang tidak mahu maju ke depan dan budaya malas belajar.
“Dunia pekerjaan hari ini, majikan semua tidak betul walaupun bayar gaji mahal dan beri pelbagai kemudahan. Pekerja sentiasa betul, amanah dan jujur,” katanya.
Pandangan beliau ini seiring dengan seorang pengguna Facebook, Mohd Khairul MK yang turut meluahkan bahawa beliau kurang gemar dengan kewujudan generasi “buat Grab pun boleh dapat RM3,000 nak pening apa?”.
Katanya, kita tiada masalah dengan tenaga pekerja tetapi kita bermasalah dengan penawaran kerja yang sangat mudah. Boleh bawa kereta, boleh bawa motor = boleh cari duit.
“Bila dipupuk benda begini, mentaliti majoriti secara perlahan akan berubah secaral total.
“Belajar pandai-pandai buat apa, jadi rider pun boleh dapat RM3,000 sebulan.”
Persoalannya, apa akan jadi pada generasi sekarang? Apa yang diterapkan dalam pemikiran anak-anak di sekolah? Dahulu kita selalu disuap dengan “belajar rajin, jadi pandai, boleh kerja bagus gaji besar” tapi sekarang yang diratib “buat Grab pun boleh dapat RM3,000 nak pening apa”.
Sebab mudah cari duit, mereka ini jadi bangsa lembik, tiada willing power, happy to settle as average,” katanya yang turut mengingatkan bahawa jika 10 hingga 15 tahun lagi jangan malu jangan segan jika banyak jawatan profesional tidak diduduki oleh muka budak makan belacan sebab kebanyakkan sibuk bercita-cita jadi rider/driver.
Sumber : Mingguan Wanita
https://odisi.my/2022/03/32465/