Connect with us

Antarabangsa

Advokasi LGBTQ+ di Singapura haruslah hormati nilai masyarakat Islam – MUIS

Sebarang bentuk advokasi mengenai lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ+) haruslah menghormati nilai-nilai dipegang masyarakat Islam dalam mengamalkan kepercayaannya, demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataan media semalam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Advokasi LGBTQ+ di Singapura haruslah hormati nilai masyarakat Islam - MUIS
Foto: Majlis Ugama Islam Singapura.
  • Sebarang bentuk advokasi mengenai kelompok LGBTQ+ haruslah juga menghormati nilai-nilai dipegang masyarakat Islam dalam mengamalkan kepercayaannya di Singapura.
  • “Masyarakat Islam berhak memelihara nilai agama dan kekeluargaannya lebih-lebih lagi apabila perkara ini dicabar atau dipertikaikan secara langsung,” kata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataannya semalam.
  • Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad lalu mengumumkan Kerajaan Singapura akan memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, undang-undang yang menjenayahkan hubungan seks sesama lelaki.
  • Singapura juga akan meminda Perlembagaannya bagi melindungi takrif perkahwinan,  yang pada masa ini diiktiraf undang-undang sebagai ‘ikatan di antara lelaki dan wanita’, daripada dicabar secara perlembagaan di mahkamah.
  • Menghormati keputusan kerajaan, MUIS menegaskan ruang awam haruslah kekal selamat untuk komuniti agama dan arus perdana untuk mendidik komuniti mereka sendiri mengikut sistem kepercayaan dan nilai masing-masing.

SINGAPURA – Sebarang bentuk advokasi mengenai lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ+) haruslah menghormati nilai-nilai dipegang masyarakat Islam dalam mengamalkan kepercayaannya, demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataan media semalam.

“Masyarakat Islam berhak memelihara nilai agama dan kekeluargaannya lebih-lebih lagi apabila perkara ini dicabar atau dipertikaikan secara langsung,” kata MUIS dalam nasihatnya kepada masyarakat Islam berkenaan perkembangan LGBTQ+ di Singapura.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan dalam ucapan tahunan Perhimpunan Hari Kebangsaan kelmarin bahawa kerajaan akan memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, sekaligus membatalkan undang-undang era kolonial itu yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.

Kerajaan Singapura juga akan meminda Perlembagaan bagi melindungi takrif perkahwinan,  yang pada masa ini diiktiraf undang-undang sebagai ‘ikatan di antara lelaki dan wanita’, daripada dicabar secara perlembagaan di mahkamah, kata Hsien Loong.

MUIS berkata undang-undang Islam meletakkan keutamaan kepada maruah manusia, rasa hormat dan hubungan aman.

“Nilai-nilai ini amat penting memandangkan kita berdepan isu sosio-agama yang kompleks pada hari ini. Sebagai orang Islam, kita haruslah melayan semua orang dengan penuh bermaruah dan rasa hormat. Setiap orang, tidak kira kecenderungan seksual mereka, haruslah merasa selamat dalam masyarakat dan institusi kita.

“Oleh itu, umat Islam harus menunjukkan sikap tauladan, beramal baik dan belas ihsan dalam berurusan dengan orang lain, biarpun dengan mereka yang tidak sama pendapat,” katanya sambil menegaskan majlis itu menolak sebarang bentuk pembulian atau gangguan.

MUIS berkata bahawa ruang awam juga haruslah kekal selamat untuk komuniti agama dan arus perdana untuk mendidik komuniti mereka sendiri mengikut sistem kepercayaan dan nilai masing-masing.

“Sekiranya nilai agama dan kepercayaan kita dicabar secara terbuka dan agresif, sudah pasti ia akan mengubah ruang awam menjadi sesuatu yang konfrontasi dan memecahbelahkan.

“Kita mesti berusaha ke arah menghalang sebarang berbezaan orientasi dan pandangan dunia daripada bertukar menjadi pertembungan dan konflik yang akan melemahkan masyarakat kita,” kata majlis agama republik itu.

Sumber: Channel News Asia

Author