Ekonomi
Potong gaji menteri, solidariti atau solusi?
Tuntutan mereka kepada kerajaan ialah pemotongan gaji menteri, teruskan pemberian subsidi, bantuan tunai yang lebih baik, mengekalkan harga siling barangan, dan menyelesaikan isu keselamatan makanan.
- Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mencadangkan pemotongan elaun dan gaji menteri kabinet sebanyak 20 %.
- Ia bagi menunjukkan empati kerajaan terhadap rakyat.
- “Kabinet kerajaan terdahulu memotong elaun menteri sebagai langkah penjimatan terawal” – Tan Sri Rafidah Aziz.
- Malaysia mempunyai 31 menteri dan lima menteri kanan serta 38 timbalan menteri.
- Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi mencadangkan jumlah menteri dan timbalan menteri dikurangkan.
- ‘Rombakan perlu dilakukan dan mewujudkan kementerian yang diperlukan sahaja” – Ketua Angkatan Wanita Amanah.
- Berdasarkan data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2019, purata gaji menteri secara kasar termasuk elaun adalah RM50 000 sebulan.
- Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimana pun berkata saranan memotong gaji menteri tidak akan membantu kos sara hidup rakyat hari ini.
KUALA LUMPUR : Minggu lalu bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemotongan elaun dan gaji barisan menteri kabinet sebanyak 20 peratus dengan kadar segera.
Menurutnya, langkah itu wajib diutamakan kerajaan bagi menunjukkan sifat empati terhadap rakyat negara ini tatkala mereka sedang bergelut mendepani cabaran krisis ekonomi ‘bertindih’ yang semakin parah, bermula dengan pandemik Covid-19 disusuli implikasi konflik Rusia-Ukraine.
Katanya, kerajaan sedia ada sepatutnya mencontohi pendekatan kabinet kerajaan zaman dahulu yang menjadikan inisiatif pemotongan elaun menteri sebagai langkah penjimatan terawal sewaktu negara berdepan sebarang bentuk krisis.
Sejak daripada saranan tersebut, negara menerima pelbagai reaksi berbeza.
Terbaru, cadangan Tan Sri Rafidah Aziz disokong gabungan kumpulan pelajar yang turun ke jalanan membantah kekurangan tindakan diambil kerajaan terhadap kenaikan kos barangan.
Tuntutan mereka kepada kerajaan ialah pemotongan gaji menteri, teruskan pemberian subsidi, bantuan tunai yang lebih baik, mengekalkan harga siling barangan, dan menyelesaikan isu keselamatan makanan.
Berucap di hadapan orang ramai, Presiden Kesatuan Pelajar UIAM Aliff Naif membidas kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Nik Muhammad Zawawi Salleh yang berkata kenaikan kos barangan bukan menjadi masalah besar kepada pengguna.
“Tuntutan kita yang pertama potong gaji menteri untuk tunjuk kesaksamaan. Kelmarin timbalan menteri mengatakan bahawa masalah kenaikan harga bukan masalah yang besar.
“Tidak sesekali mereka faham keadaan kita. Kita minta potong gaji supaya mereka faham kenapa kita rasa susah,” kata Aliff di hadapan 100 penunjuk perasaan yang berhimpun di Pasar Seni di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Ahmad Farhan berkata para pelajar berkumpul dengan aman untuk meluahkan kekecewaan mereka.
Dia kesal kerana sukar bagi rakyat untuk membeli keperluan asas seperti telur, sardin dan kangkung sejak sebelum ini lagi.
“Kalau dulu susah makan telur, kalau dulu susah makan sardin, kalau dulu susah makan kangkung. Sekarang ini harga ayam naik, harga sardin naik, harga kangkung naik. Lepastu rakyat makan apa?
“Kita berkumpul di sini hari ini untuk menunjukkan bahawa perkara-perkara ini tidak sepatutnya dibenarkan berlaku. Dengarkan kesusahan pelajar,” tambahnya.
Minggu lalu, kesatuan pelajar UIAM dan Universiti Malaya menggesa kerajaan menurunkan harga barang, dan memberi amaran akan turun ke jalan membuat bantahan sekiranya gagal berbuat demikian.
Bagi Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi pula, jumlah menteri dan timbalan menteri perlu dikurangkan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara ketika berdepan krisis.
Aiman berkata, rombakan perlu dilakukan dengan mengurangkan jumlah menteri dan mewujudkan kementerian yang diperlukan sahaja.
“Kita ada 31 menteri dan lima menteri kanan serta 38 timbalan menteri yang kebanyakan daripada mereka tidak berfungsi sejak zaman pandemik Covid-19 lagi.
“Kalau jumlah mereka boleh dikurangkan dan hanya ditumpukan kepada kementerian yang diperlukan ketika ini, di situ penjimatan boleh dibuat.
Memberi reaksi sebagai salah seorang ahli parlimen yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan saranan untuk memotong gaji menteri tidak akan membantu kos sara hidup rakyat hari ini.
Katanya, pelbagai usaha dibuat Perdana Menteri dan anggota Kabinet khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang seperti Kementerian Kewangan, ekonomi, perdagangan, pertanian serta kerja raya.
“Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan.
“Sehingga kini pun kerajaan masih beri subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tualak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sebagai bekas menteri, pemimpin berkenaan perlu memberikan cadangan yang lebih baik atau berjumpa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk cadangannya itu
Untuk rekod,berdasarkan data daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2019, purata gaji menteri secara kasar termasuk elaun adalah RM50 000 sebulan.
Ekonomi
Goodyear tutup kilang di Shah Alam, 550 pekerja bakal terjejas
Pengeluar tayar terkenal, Goodyear akan menutup kilang pembuatannya di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun depan yang bakal menjejaskan sekitar 550 pekerja operasinya.
- Pengeluar tayar terkenal, Goodyear akan menutup kilang pembuatannya di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun depan yang bakal menjejaskan sekitar 550 pekerja operasinya.
- Perkara itu diumumkan Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang dalam satu kenyataan yang tersebar di media sosial hari ini.
- Katanya, penutupan itu sebahagian dari program transformasi untuk mengoptimumkan langkah dan portfolio syarikat pembuat tayar tersebut.
- “Seperti yang kalian ketahui, Goodyear Forward merupakan program transformasi yang direka untuk mengoptimumkan langkah dan portfolio kami, menyampaikan pengembangan margin yang ketara dan mencipta nilai pemegang saham.
- “Program ini termasuk tindakan khusus pengurangan kos tahunan sebanyak $1.0 bilion menjelang 2025, untuk memastikan kami kekal berdaya saing dan diletakkan sebagai peneraju industri,” kata Madarang dalam kenyataan media itu.
KUALA LUMPUR – Pengeluar tayar terkenal, Goodyear akan menutup kilang pembuatannya di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun depan yang bakal menjejaskan sekitar 550 pekerja operasinya.
Perkara itu diumumkan Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang dalam satu kenyataan yang tersebar di media sosial hari ini.
Katanya, penutupan itu sebahagian dari program transformasi untuk mengoptimumkan langkah dan portfolio syarikat pembuat tayar tersebut.
“Seperti yang kalian ketahui, Goodyear Forward merupakan program transformasi yang direka untuk mengoptimumkan langkah dan portfolio kami, menyampaikan pengembangan margin yang ketara dan mencipta nilai pemegang saham.
“Program ini termasuk tindakan khusus pengurangan kos tahunan sebanyak $1.0 bilion menjelang 2025, untuk memastikan kami kekal berdaya saing dan diletakkan sebagai peneraju industri,” kata Madarang dalam kenyataan media itu.
Madarang berkata keputusan seperti itu tidak dibuat secara mudah tetapi perlu untuk memajukan kepentingan jangka panjang syarikat dan pelanggannya.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Goodyear telah membuat keputusan sukar tetapi diperlukan dengan menutup kilang pembuatan kami di Shah Alam, Malaysia, berkuat kuasa 30 Jun 2024, dengan penutupan sepenuhnya dijangka selesai menjelang akhir tahun.
“Seperti mana-mana penutupan kemudahan lain, impak secara langsung akan berlaku dan dalam kes ini, kira-kira 550 jawatan operasi kami dalam Malaysia akan terjejas.
“Kami komited menyantuni rakan sekerja kami dengan hormat dan telus sepanjang proses ini,” katanya turut berterima kasih di atas fokus berterusan kakitangan Goodyear selama ini. – The Merdeka Times