Politik
Iktiraf UEC: DAP, MCA, Gerakan dan Dong Zong rakus – Datuk Dr Teo Kok Seong

- Susulan isu DAP, MCA dan Gerakan dilaporkan berjanji mereka akan terus bekerjasama dengan Dong Zong untuk menggesa kerajaan mengiktiraf UEC secara rasmi, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong mengingatkan bahawa sepatutnya mereka semua mengikut resam ‘di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung’.
- Konsisten dengan pendirian bahawa kerajaan tidak wajar mengiktiraf sijil UEC, Kok Seong berkata mereka di atas sudah mendapat bahagian mereka yang lumayan apabila kerajaan tidak menyekat operasi Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang bermula dengan hanya 14 buah pada tahun 60-an, namun hari ini jumlahnya sudah melebihi 60 buah sekolah, sedangkan sepatutnya ia dihadkan kepada 60 buah sahaja.
- Di sini pihak berkenaan telah mendapat keadilan daripada kerajaan sebagai insitusi pendidikan swasta apabila mereka diberikan lesen untuk beroperasi sekali gus berupaya menambah bilangan pelajar dari SMPC .
- “Jadi apa lagi mereka nak? Apa lagi mereka nak? Maknanya rakuslah mereka ini… Mereka nak untung sepanjang jalan jadi pada akhirnya mereka nak memaksa kerajaan menerima sijil itu untuk kemasukan di IPTA untuk kursus-kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, ubat-ubatan dan sebagainya sebab yuran di IPTA itu murah.” — Kok Seong.
KUALA LUMPUR — Susulan isu DAP, MCA dan Gerakan dilaporkan berjanji mereka akan terus bekerjasama dengan Dong Zong untuk menggesa kerajaan mengiktiraf UEC secara rasmi, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong mengingatkan bahawa sepatutnya mereka semua mengikut resam ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.
Konsisten dengan pendirian bahawa kerajaan tidak wajar mengiktiraf sijil UEC, Kok Seong berkata mereka semua sudah mendapat bahagian yang lumayan apabila kerajaan tidak menyekat operasi Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang bermula dengan hanya 14 buah pada tahun 60-an, namun hari ini jumlahnya sudah melebihi 60 buah sekolah, sedangkan sepatutnya ia dihadkan kepada 60 buah sahaja.
Beliau berkata di sini pihak berkenaan telah mendapat keadilan daripada kerajaan sebagai insitusi pendidikan swasta apabila mereka diberikan lesen untuk beroperasi sekali gus berupaya menambah bilangan pelajar dari SMPC .
Selain itu, katanya mereka juga bebas menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar serta bebas menggubal sukatan pelajaran dan kurikulum mereka sendiri.
Perkara itu menimbulkan persoalan apakah lagi perkara yang pihak berkenaan inginkan selepas mendapat semua ‘kemenangan atau kebebasan’ itu, melainkan sebenarnya mereka hanyalah bersikap rakus dalam hal ini.
“Jadi apa lagi mereka nak? Apa lagi mereka nak? Maknanya rakuslah mereka ini… Mereka nak untung sepanjang jalan jadi pada akhirnya mereka nak memaksa kerajaan menerima sijil itu untuk kemasukan di IPTA untuk kursus-kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, ubat-ubatan dan sebagainya sebab yuran di IPTA itu murah.
“Sangat-sangat murah, barangkali 10 peratus sahaja daripada yuran kursus sebegitu di IPTS di negara kita jadi saya kira mereka rakus… Mereka nak menang sepanjang jalan… Maknanya mereka sudah menang (apabila) kerajaan bagi kebebasan untuk mereka mengendalikan Sekolah Menengah Persendirian Cina itu yang sepatutnya berhenti pada jumlah 60 buah sahaja tetapi sekarang saya diberitahu sudah 63 begitulah, jadi ada penambahan.
“Mereka ada kebebasan mengendalikan pendidikan di Sekolah Persendirian Cina itu… Saya kira itu kebebasan yang amat-amat lumayan diberikan kerajaan (tapi) akhirnya mereka nak paksa kerajaan menerima mereka sebagai entiti kerajaan sedangkan mereka entiti swasta, kalau UEC itu boleh diguna pakai, diiktiraf dan pelajar-pelajarnya boleh memohon untuk belajar di IPTA kita.
“Bagi saya (institusi pendidikan swasta patut) terus swasta saja sampai akhir dan dalam negara kita swasta penting juga dalam membangunkan negara, swasta dengan awam saling melengkapi, jadi mengapa mereka mahu paksa juga kerajaan menerima sijil UEC ini sebagai satu entiti kerajaan, sedangkan sepanjang kewujudan mereka, mereka swasta dan tak terikat dengan kerajaan? Mengapa pada akhirnya mereka mahu terikat dengan kerajaan, memaksa kerajaan menerimanya? Tak lain, tak bukan atas sikap rakus itulah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang MCA, DAP dan Gerakan yang semalam dilaporkan berjanji akan terus bekerjasama dengan pihak Dong Zong untuk menggesa kerajaan mengiktiraf UEC secara rasmi.
Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sing berpendapat kini ialah masa terbaik untuk menggerakkan usaha pengiktirafan UEC kerana ketiga-tiga parti politik tersebut menerima pengiktirafan UEC sebagai tuntutan utama Dong Zong.
Menjawab pertanyaan apakah penyelesaian terbaik yang sekaligus menutup buku isu ini, Kok Seong berkata dalam hal ini masyarakat Cina sendiri harus sedar bahawa mereka tidak boleh keterlaluan dalam tuntutan mereka, termasuk menuntut sijil UEC diiktiraf kerana mereka sudah mendapat keadilan yang cukup lumayan daripada pihak kerajaan.
“Mereka diberi lesen untuk mengendalikan sekolah swasta itu, ada kebebasan menggunapakai perkara-perkara yang bertentangan sistem pendidikan negara, boleh pakai bahasa Cina, bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan mereka tidak pun terikat dengan kurikulum nasional… Saya kira itu sesuatu yang sudah cukup baik dalam sektor swasta itu jadi mereka terus swasta sahajalah sampai akhirnya.
“Dan ia diiktiraf dalam negara kita… Bukan tak diiktiraf, lepasan UEC boleh bekerja dalam bidang sektor swasta, tidak ada diskriminasi… Mereka sendiri tahu pun bahawa ibu bapa yang memilih menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Persendirian Cina… Mereka tahu bahawa mereka tidak boleh masuk ke dalam IPTA kita.
“Mereka tahu dari awalnya lagi, jadi mengapa mereka menuntut sesuatu yang begitu keterlaluan?” kata Kok Seong.
Peribahasa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung’, dinyatakan Kok Seong itu menurut Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud kita perlu mengikut peraturan tempat di mana kita berada. — The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login