Antarabangsa
75 negara ikrar tamatkan penggunaan makanan sebagai alat peperangan
Lebih 75 negara akan berikrar untuk mengambil tindakan bagi menamatkan ‘penggunaan makanan dan kelaparan manusia sebagai senjata perang.
- Lebih 75 negara akan berikrar untuk mengambil tindakan bagi menamatkan ‘penggunaan makanan dan kelaparan manusia sebagai senjata perang.
- Negara berkenaan menyokong amanat yang dilakar Amerika Syarikat (AS) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata seorang pegawai kanan AS.
- Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, akan mengeluarkan amanat itu pada Khamis apabila beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai kebuluran dan krisis makanan akibat konflik.
- Blinken juga akan mengumumkan pembiayaan baru AS berjumlah AS$362 juta ($486 juta) untuk ‘mengatasi punca krisis akibat makanan dan meningkatkan daya tahan’ di lebih 10 negara Afrika dan Haiti, kata seorang lagi pegawai kanan AS.
- Walaupun AS, Kesatuan Eropah (EU) dan lain-lain menuduh Russia menggunakan makanan sebagai senjata perang dengan memburukkan krisis makanan global apabila ia menyerang Ukraine pada Februari 2022, draf amanat itu tidak merujuk secara khusus kepada mana-mana negara.
- Ukraine dan Russia adalah dua pengeksport bijirin utama dunia.
NEW YORK: Lebih 75 negara akan berikrar untuk mengambil tindakan bagi menamatkan ‘penggunaan makanan dan kelaparan manusia sebagai senjata perang.
Sehubungan itu, negara berkenaan menyokong amanat yang dilakar Amerika Syarikat (AS) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata seorang pegawai kanan AS.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, akan mengeluarkan amanat itu pada Khamis apabila beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai kebuluran dan krisis makanan akibat konflik.
Seorang pegawai kanan AS berkata lebih banyak negara dijangka menandatangani amanat itu.
Blinken juga akan mengumumkan pembiayaan baru AS berjumlah AS$362 juta ($486 juta) untuk ‘mengatasi punca krisis akibat makanan dan meningkatkan daya tahan’ di lebih 10 negara Afrika dan Haiti, kata seorang lagi pegawai kanan AS.
Walaupun AS, Kesatuan Eropah (EU) dan lain-lain menuduh Russia menggunakan makanan sebagai senjata perang dengan memburukkan krisis makanan global apabila ia menyerang Ukraine pada Februari 2022, draf amanat itu tidak merujuk secara khusus kepada mana-mana negara.
“Kami tidak berusaha untuk mengubah ini menjadi pertarungan di Russia atau mana-mana negara lain,” kata seorang lagi pegawai kanan AS.
“Walau bagaimana jijik sekalipun kami dan begitu banyak negara di seluruh dunia mendapati tindakan Moscow itu, kami menyedari ini adalah cabaran yang lebih besar daripada satu negara.
“Kami juga tahu bahawa rakan kongsi kami, terutama di selatan global, lebih suka mendengar tumpuan pada penyelesaian daripada menuding jari,” tambahnya.
Pada Julai, Russia keluar daripada perjanjian yang membolehkan Ukraine mengeksport bijirin dengan selamat menerusi Laut Hitam sejak tahun lalu.
Perjanjian itu diuruskan oleh PBB dan Turkiye untuk membantu meredakan krisis makanan global berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Ukraine dan Russia adalah dua pengeksport bijirin utama dunia.
Selepas Moscow keluar daripada perjanjian terbabit, ia mula menyasarkan pelabuhan Ukraine dan infrastruktur bijirin di Laut Hitam serta Sungai Danube, sekali gus mengakibatkan harga bijirin global melonjak.
Russia berkata jika tuntutannya untuk meningkatkan eksport bijirin dan bajanya sendiri dipenuhi, ia akan mempertimbangkan untuk menghidupkan semula perjanjian berkenaan.
Sumber: Berita Harian