Connect with us

Terkini

Petisyen bantah promosi kondom dan gerakan LGBT di UTAR dilancarkan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: UTAR
  • Petisyen desak Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UTAR, Kampus Sungai Long agar hentikan promosi penggunaan kondom, gerakan pembebasan seksual, dan agenda seksualiti pelbagai (LGBTQ+) di dalam kampus dilancarkan.
  • Petisyen itu dilancarkan sekumpulan pihak berkepentingan UTAR yang majoriti menandatanganinya adalah bangsa Cina.
  • SRC pada Jun lalu didakwa melancarkan kempen “Minggu Kesaksamaan Jantina” yang antaranya menjalankan aktiviti pengedaran kondom secara terbuka kepada pelajar; pemasangan almari edaran kondom percuma di tandas lelaki, dan forum awam mempromosikan gerakan LGBTQ+.
  • Pihak universiti digesa turunkan semua bahan promosi di media sosial dan fizikal berkaitan “Minggu Kesaksamaan Jantina”; singkirkan semua alat pengedar kondom dari kampus, serta jalankan siasatan sama ada aktiviti tersebut telah melanggar peraturan dan garis panduan universiti.

 

KUALA LUMPUR — Satu petisyen mendesak Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampus Sungai Long agar menghentikan promosi penggunaan kondom, gerakan pembebasan seksual, dan agenda seksualiti pelbagai (LGBTQ+) di dalam kampus, telah dilancarkan.

Petisyen itu dilancarkan oleh sekumpulan pihak berkepentingan UTAR terdiri daripada pelajar, alumni, kakitangan, ahli fakulti dan pemegang taruh universiti terbabit yang majoriti menandatanganinya adalah bangsa Cina.

Setakat jam 7.25 pagi semalam, petisyen itu telah mendapat tanda tangan sebanyak 1,289.

Menurut surat terbuka yang dilampirkan dalam petisyen itu, ia ditulis bagi menyuarakan kebimbangan serius serta bantahan tegas daripada kumpulan terbabit terhadap beberapa siri aktiviti dijalankan semasa “Minggu Kesaksamaan Jantina” dianjurkan SRC UTAR Kampus Sungai Long antara April hingga Jun 2025.

 

Foto: Tangkap layar surat terbuka terbabit yang dilampirkan dalam petisyen tersebut.

Surat itu mendakwa semasa Minggu Orientasi pelajar baharu pada Jun 2025, SRC secara rasmi telah melancarkan kempen “Minggu Kesaksamaan Jantina” yang antaranya menjalankan beberapa aktiviti seperti pengedaran kondom secara terbuka kepada pelajar; pemasangan almari edaran kondom percuma di tandas lelaki; pameran mempromosikan penggunaan kondom, termasuk frasa-frasa berunsur seksual dan forum awam yang mempromosikan gerakan LGBTQ+.

“Tindakan-tindakan ini telah dijalankan tanpa rundingan yang mencukupi dengan ibu bapa, pihak universiti atau masyarakat umum.

“Kampus universiti kini seolah-olah telah dijadikan tempat untuk menggalakkan seks pranikah, pembebasan seksual (sexual liberation) dan promosi produk seksual sesuatu yang sangat membimbangkan kami.

Foto: Gambar tangkap layar maklumat dikongsikan dalam petisyen terbabit.

“Kami percaya bahawa aktiviti-aktiviti ini telah merosakkan imej pelajar UTAR, memesongkan pemahaman umum terhadap makna sebenar “kesaksamaan jantina,” mengaburkan garis pemisah antara pendidikan seksual dan pembebasan seksual, serta membawa kesan jangka panjang yang buruk terhadap budaya kampus, nilai pelajar dan tanggapan masyarakat,” menurut surat terbuka itu yang mempunyai 48 muka surat.

Tambah surat terbuka itu antara sebab bantahan disuarakan adalah kerana kebanyakan pelajar UTAR terdiri daripada kelompok muda yang belum berkahwin, maka apabila wujud promosi penggunaan kondom secara terbuka ia boleh dianggap sebagai sokongan terbuka terhadap seks pranikah.

Perkara itu jelas bercanggah dengan ajaran moral bahawa hubungan seksual sepatutnya berlandaskan komitmen perkahwinan serta ia melanggar nilai diterima secara meluas merentas agama dan budaya sama ada prinsip kesetiaan dalam agama Kristian, larangan seks luar nikah dalam Islam, larangan terhadap salah laku seksual dalam ajaran Buddha, mahupun etika kesopanan dan pengendalian diri dalam ajaran Konfusianisme.

Foto: Gambar tangkap layar maklumat dikongsikan dalam petisyen terbabit.

Kumpulan itu juga menerusi surat tersebut menegaskan bahawa mereka menolak sebarang usaha untuk mempromosikan ideologi pembebasan seksual dan gerakan LGBTQ+ di universiti, dan mengecam penyalahgunaan nama “pendidikan seks” bagi tujuan menyebarkan agenda-agenda berkenaan.

Foto: Gambar tangkap layar maklumat dikongsikan dalam petisyen terbabit.

“Kami percaya bahawa perkahwinan dan institusi keluarga adalah sesuatu yang suci, dan menjadi asas utama dalam menentukan benar atau salahnya cinta dan hubungan seksual.

“Hanya hubungan dan perlakuan yang memuliakan serta memperkukuh makna perkahwinan boleh mencerminkan nilai dan maruah kemanusiaan… SRC, dengan kuasa untuk “mewakili pelajar”, telah membungkus semula agenda ini atas nama “kesaksamaan jantina” dan cuba merombak takrifan, struktur dan kesucian institusi perkahwinan,” katanya.

Foto: Gambar tangkap layar maklumat dikongsikan dalam petisyen terbabit.

Bantahan juga disuarakan berikutan mereka berpandangan tindakan SRC itu mungkin telah melanggar undang-undang negara dan peraturan universiti.

Jelas surat itu, universiti seharusnya menjadi tempat utama pembentukan akhlak dan pemupukan tanggungjawab serta UTAR sendiri, sebagai institusi utama dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia wajar menjadi penanda aras moral dalam memelihara nilai kekeluargaan dan bukan membiarkannya terhakis.

Justeru, mereka menggesa pihak universiti untuk menurunkan semua bahan promosi di media sosial dan fizikal yang berkaitan “Minggu Kesaksamaan Jantina”; menyingkirkan semua alat pengedar kondom dari kampus, serta menjalankan siasatan rasmi sama ada aktiviti-aktiviti tersebut telah melanggar peraturan dan garis panduan universiti. — The Merdeka Times

Author