Connect with us

Terkini

Lelong arak di dewan sekolah: Amat memalukan! KPM perlu ambil tindakan tegas terhadap sekolah!

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Timbalan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed
  • Kritikan itu disuarakan bekas Timbalan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed yang menggesa KPM ambil tindakan tegas supaya peristiwa tersebut menjadi pengajaran dan tidak berulang.
  • Ini bukan berkaitan soal perkauman, sebaliknya membabitkan integriti, kredibiliti dan imej sekolah yang terpalit perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada murid-murid.
  • Peristiwa begini amat memalukan terutama apabila terdapat pergaduhan maka ia membuktikan peristiwa lelongan arak di dewan sekolah tidak ada elemen positif langsung. 

 

KUALA LUMPUR — Peristiwa sebuah dewan sekolah di Pekan Nanas, Pontian yang dilaporkan menjadi lokasi bagi satu majlis lelongan arak pada minggu lalu disifatkan sebagai amat memalukan.

Kritikan itu disuarakan bekas Timbalan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed yang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) mengambil tindakan tegas supaya peristiwa tersebut menjadi pengajaran dan tidak berulang.

Jelas beliau, isu ini bukan berkaitan soal perkauman, sebaliknya membabitkan integriti, kredibiliti dan imej sekolah yang terpalit dengan perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada murid-murid.

“Peristiwa begini amat memalukan terutama apabila terdapat pergaduhan maka ia membuktikan peristiwa (lelongan arak di dewan sekolah) begini tidak ada elemen positif langsung. 

“Saya pasti sudah ada SOP tentang apa yang boleh dan tidak boleh dianjurkan oleh sekolah yang dikeluarkan oleh KPM, maka saya harap tindakan tegas diambil oleh KPM bagi menangani isu ini dengan segera sebelum murid menganggap ini satu perkara yang normal,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan berita tempatan yang melaporkan satu majlis lelongan harga minuman keras telah diadakan di sebuah dewan sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian pada minggu lalu.

Majlis yang berlangsung itu bagaimanapun dilapor bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas kerana tidak berpuas hati dengan harga lelongan minuman keras ditawarkan penganjur.

Sementara itu, Abdul Rashid turut menegaskan bahawa dalam hal ini sepatutnya pengurusan sekolah tidak membenarkan langsung peristiwa negatif berkenaan diadakan di sekolah.

“Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Pengurusan sekolah berkenaan perlu tampil dan mengambil tanggungjawab ini.

“Pihak penganjur juga perlu dipersalahkan kerana tidak sensitif dengan keadaan dan suasana yang mereka timbulkan dalam institusi yang patut kita semua hormati dan sanjung,” katanya. — The Merdeka Times



Author