Kolumnis
Cabaran penguatkuasaan isu nafkah: Realiti dan harapan

Isu kegagalan suami atau bekas suami membayar nafkah bukan sekadar masalah kewangan, tetapi membawa kesan mendalam yang menusuk jiwa kepada wanita dan anak-anak yang terabai.
Wanita yang dianiaya oleh suami culas nafkah sering mengalami tekanan emosi yang kritikal, kemurungan, dan kesukaran menguruskan kehidupan seharian, terutama apabila mereka terpaksa menanggung beban kewangan seorang diri sambil membesarkan anak-anak.
Kajian menunjukkan bahawa wanita yang menghadapi krisis nafkah terpaksa menyeimbangkan kerja dan tanggungjawab menjaga anak tanpa sokongan suami, menyebabkan mereka mudah tertekan dan emosi terganggu.
Anak-anak pula sering menunjukkan perubahan tingkah laku negatif seperti sukar dikawal dan memberontak, yang mencetuskan lagi dilema dan tekanan kepada ibu.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan psikologi wanita, malah turut memberi kesan buruk kepada perkembangan sahsiah dan pendidikan anak-anak mereka.
Dari sudut agama dan moral, nafkah bukan sekadar kewajipan zahir tetapi juga melibatkan keperluan batin dan kesihatan mental isteri.
Suami yang gagal menunaikan tanggungjawab nafkah bukan sahaja menganiaya isteri secara material, malah turut menyakiti hati dan jiwa mereka yang lembut dan mudah terguris.
Rasulullah SAW mengajar supaya suami berlaku adil dan bertanggungjawab dalam menunaikan hak isteri, termasuk nafkah zahir dan batin.
Walaupun penguatkuasaan hukuman dan pelaksanaan perintah nafkah semakin berkesan dengan kadar penyelesaian kes yang meningkat setiap tahun, cabaran-cabaran utama masih menghambat keberkesanan sistem ini secara menyeluruh.
Menurut data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, antara tahun 2013 hingga 2017 sebanyak 12,983 kes tuntutan nafkah telah didaftarkan di Mahkamah Syariah seluruh negara.
Negeri Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 3,409 kes, dan angka ini meningkat kepada 3,949 kes antara 2018 hingga 2023.
Ini menunjukkan isu tunggakan nafkah bukan sahaja melibatkan bilangan kes yang besar, malah semakin meningkat dari tahun ke tahun. Salah satu mekanisme penguatkuasaan yang digunakan ialah perintah komital, iaitu hukuman penjara terhadap suami atau bekas suami yang ingkar perintah nafkah.
Walaupun kajian terkini mendapati perintah komital berpotensi mengembalikan hak nafkah yang tertunggak, namun pelaksanaannya menghadapi cabaran seperti sikap pihak-pihak yang terlibat, kelemahan penguatkuasaan, bayaran fi yang mahal dan tempoh perbicaraan yang panjang.
Contoh kes yang dilaporkan media menunjukkan bahawa walaupun mahkamah mengeluarkan perintah nafkah, masih ada suami yang gagal mematuhi perintah tersebut.
Sebagai contoh, seorang suami di Wilayah Persekutuan yang gagal membayar nafkah tertunggak berjumlah lebih RM266,000 berdepan risiko dipenjara kerana menghina mahkamah dan ingkar perintah nafkah. Kes sebegini menonjolkan betapa pentingnya tindakan penguatkuasaan yang tegas dan berkesan.
Selain itu, kajian terhadap golongan wanita B40 selepas perceraian menunjukkan mereka menghadapi cabaran besar untuk mendapatkan hak nafkah disebabkan kurang pengetahuan, halangan birokrasi dan tekanan sosial.
Ramai ibu tunggal dalam golongan ini hanya mempunyai pendapatan isi rumah antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, dan ketidakstabilan kewangan memberi kesan serius kepada kesejahteraan emosi mereka.
Walaupun terdapat mekanisme seperti perintah potongan gaji, penyitaan harta dan perintah komital, kelemahan penguatkuasaan masih wujud.
Kajian mendapati terdapat kelompongan dalam prosedur penguatkuasaan dan kekurangan kepakaran pegawai mahkamah yang terlibat, selain kos dan tempoh perbicaraan yang membebankan.
Ini menyebabkan sesetengah kes lambat diselesaikan dan hak penerima nafkah terjejas.
Sudah tiba masanya pihak berkuasa dan masyarakat mengambil tindakan yang lebih efisien dan tegas dalam menangani isu tunggakan nafkah ini.
Jangan biarkan wanita dan anak-anak terus menderita dalam kesunyian, terabai tanpa keadilan. Setiap hari yang berlalu tanpa penyelesaian bermakna adalah satu penganiayaan yang menggores jiwa mereka yang paling lemah.
Keadilan bukan sekadar kata-kata, tetapi perlaksanaan yang nyata demi masa depan generasi yang lebih terpelihara dan bermaruah. — The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
