Connect with us

Terkini

Wanita hidap kanser tahap 4, disyaki berpunca hidu asap rokok orang tersayang

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Wanita itu tidak pernah merokok, tetapi terdedah berpanjangan kepada asap rokok.
  • Dia mempunyai suami yang merokok di rumah sejak mereka berkahwin dan anak sulungnya juga ada tabiat sama.
  • Perkara itu didedahkan pengguna Facebook Inderpreet Kaur yang difahamkan seorang doktor perubatan yang dengan tegas mengingatkan bahawa apabila mana-mana individu diselubungi asap rokok orang lain, maka ketahuilah keadaan itu adalah tidak baik sama ada untuk paru-paru mahupun nyawa individu terbabit.

KUALA LUMPUR — Seorang wanita didiagnosis menghidap kanser tahap 4 disyaki berpunca daripada pendedahan berpanjangan kepada asap rokok, walaupun dia sendiri tidak pernah merokok.

Perkara itu didedahkan pengguna Facebook Inderpreet Kaur yang difahamkan seorang doktor perubatan yang dengan tegas mengingatkan bahawa apabila mana-mana individu diselubungi asap rokok orang lain, maka ketahuilah keadaan itu adalah tidak baik sama ada untuk paru-paru mahupun nyawa individu terbabit.

Menceritakan tentang pesakit wanita itu, Dr Inderpreet berkata pada awalnya pesakit tersebut menemui beliau dengan memaklumkan hanya menghadapi masalah penglihatan kabur dan hasil pemeriksaan menunjukkan ada ketumbuhan pada lapisan koroid di kedua-dua belah mata.

Hasil pemeriksaan itu menyaksikan pelbagai soalan lanjut diajukan kepada pesakit untuk mengenal pasti semua kemungkinan diagnosis, terutamanya yang berkaitan penyakit malignan (kanser) — tentang kemungkinan ia disebabkan keradangan atau jangkitan di tempat lain.

Beliau berkata pesakit itu kemudiannya memberitahu dia terkadang juga mengalami batuk namun ia tidak teruk dan kes itu dirujuk kepada pelbagai disiplin (bidang) untuk mengenal pasti puncanya.

“Akhirnya, panggilan daripada pakar radiologi diterima – terdapat beberapa ketulan (multiple mass) pada bahagian atas kanan paru-paru dan bahagian bawah paru-paru kiri, berserta pericardial effusion (pengumpulan cecair di sekeliling jantung), beberapa tompok abnormal (lesi) pada hati, serta beberapa lesi sklerotik pada tulang belakang.

“Ciri-ciri ini berkemungkinan besar menunjukkan kehadiran malignansi (kanser) dengan metastasis (merebak) ke hati dan tulang, dengan kebarangkalian utama barah berasal daripada paru-paru,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Inderpreet Kaur.

Dr Inderpreet berkata ketika itu juga pesakit tersebut sedar bahawa penyakit dihadapinya tidak semestinya datang daripada diri dia sendiri, tetapi daripada orang paling dekat dan disayangi iaitu dalam situasi ini dia mempunyai suami yang merokok di rumah sejak mereka berkahwin dan anak sulungnya juga ada tabiat sama.

“Mereka terselamat, tapi dia yang menerima kesannya paling teruk… Soalan (pesakit itu), “kenapa saya, Doktor?” Kalaulah saya boleh jawab, puan patut tanya suami dan anak puan, tapi saya tak katakan itu.

“Bila seseorang buat silap, tapi orang lain yang tanggung akibatnya, apa kita nak panggil? Bukankah itu satu bentuk pembunuhan terselindung? Pembunuhan tanpa senjata yang nyata?,”ujarnya.

Perkongsian Dr Inderpreet itu turut mendapat perhatian Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor yang menjelaskan bahawa merokok pasif, atau menghidu asap rokok meningkatkan risiko untuk mendapat kanser paru-paru dengan ketara.

Beliau berkata menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) orang dewasa yang terdedah kepada asap rokok sekunder meningkatkan risiko mereka untuk menghidap kanser paru-paru sebanyak 20 hingga 30 peratus dan pendedahan itu juga menyebabkan ribuan kematian akibat penyakit tersebut setiap tahun dalam kalangan bukan perokok. — The Merdeka Times



Author