Politik
Pemilihan PKR: Rafizi diberi surat amaran

- Pengerusi JPP PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan dilakukan Ahli Parlimen Pandan itu secara terbuka bercanggah Garis Panduan Pemilihan 2025 yang telah ditetapkan JPP.
- “Kita sudah menegaskan dalam Majlis Perwakilan Pusat bahawa JPP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana aduan termasuk kempen sendiri. Buat masa ini, JPP akan memberikan amaran keras kepada pihak-pihak yang terbabit.
- “Seterusnya aduan ini akan diangkat kepada Jawatankuasa Disiplin dan itu adalah keputusan yang telah dipersetujui MPP,” katanya.
KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengeluarkan surat amaran kepada calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli susulan beliau mengumumkan senarai penuh ‘cai’ pilihan atau panduan pengundian calon membabitkan beberapa jawatan penting parti sebelum pemilihan, esok.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan dilakukan Ahli Parlimen Pandan itu secara terbuka bercanggah Garis Panduan Pemilihan 2025 yang telah ditetapkan JPP.
“Kita sudah menegaskan dalam Majlis Perwakilan Pusat (MPP) bahawa JPP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana aduan termasuk kempen sendiri. Buat masa ini, JPP akan memberikan amaran keras kepada pihak-pihak yang terbabit.
“Seterusnya aduan ini akan diangkat kepada Jawatankuasa Disiplin dan itu adalah keputusan yang telah dipersetujui MPP,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media sempena Kongres Nasional Keadilan PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Khamis.
Semalam, Rafizi dilapor mengumumkan senarai ‘cai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu.
Bagi perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi menyenaraikan empat nama yang menjadi pilihannya daripada senarai 12 calon yang mengesahkan bertanding. Mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan.
Untuk jawatan MPP pula, Menteri Ekonomi itu menyenaraikan 25 nama yang mana barisan tersebut menggabungkan mereka dalam kalangan wakil rakyat, pemimpin muda termasuk penyandang jawatan berkenaan.
Menurut media, walaupun penggunaan ‘chai’ dalam bentuk digital dibenarkan secara terhad, pengumuman terbuka dan agresif Rafizi melalui Facebook memperlihatkan unsur kempen berkumpulan yang dilarang keras.
Sementara itu, Zaliha yang juga Menteri Wilayah berkata pihaknya telah menurunkan beberapa kain rentang (banner) calon yang diletakkan di kawasan pusat pemilihan.
“Kita telah adakan lawatan di lokasi berlangsungnya kongres, ada beberapa banner dinaikkan di kawasan pengundian dan kita telah minta diturunkan. Calon-calon juga telah diarahkan mengeluarkan banner bahan kempen keluar dari kawasan pengundian,” katanya. — The Merdeka Times
