Connect with us

Terkini

Isu wanita mualaf: NGO MRM sedia santuni, inginkan info tepat – Firdaus Wong

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengasas MRM, Firdaus Wong Wai Hung
  • Pengasas MRM, Firdaus Wong Wai Hung petang semalam sudah hubungi nombor di akaun TikTok Ariff Peter yang memuat naik video wanita tersebut untuk mendapatkan info lanjut, tetapi tiada maklum balas setakat jam 7.42 pagi ini.
  • Ramai pihak hubungi dan sebut nama Firdaus di ruangan komen tular itu.
  • Firdaus enggan ulas lanjut buat masa ini sehingga berjaya dapat informasi terkini, tepat dan menyeluruh dari Ariff Peter tentang kes wanita mualaf itu.
  • “Ini tidak bermaksud saya menafikan kes sebegini boleh berlaku tetapi Islam mengajar saya untuk ‘tabayyun’ dulu dan andai benar, kami di Multiracial Reverted Muslims – MRM akan berusaha menyantuni beliau.” –  Firdaus

KUALA LUMPUR — Susulan isu tular wanita mualaf nekad murtad selepas didakwa ditinggalkan suami dan masjid serta zakat pula tidak membantunya, Pengasas Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung memaklumkan pihaknya sedia menyantuni wanita tersebut sekiranya dakwaan itu sahih, namun perlu mendapatkan informasi terkini dan tepat terlebih dahulu.

Jelas Firdaus, beliau secara peribadi pada jam 3.31 petang semalam telah berusaha menghubungi nombor yang tertera di akaun TikTok Ariff Peter yang memuat naik video wanita tersebut untuk mendapatkan info lanjut.

Bagaimanapun, menurut pendakwah bebas itu sehingga jam 7.42 pagi ini kedua-dua mesej beliau yang dihantar menerusi WhatsApp tersebut belum mendapat maklum balas, tetapi dalam tempoh tersebut juga individu berkenaan dilihat memuat naik satu lagi video baharu membabitkan kes lain.

Firdaus berkata demikian susulan ramai pihak yang menghubungi dan meninggalkan komen menyebut namanya di ruangan komen video tular itu, di mana seorang wanita mualaf Cina mengadu kononnya ditinggalkan suami, pada masa sama masjid dan zakat tidak membantu dia, sebaliknya dia dibantu pihak gereja.

“Saya enggan mengulas lanjut buat masa ini sehingga saya berjaya mendapatkan informasi terkini, tepat dan menyeluruh dari Ariff Peter tentang kes wanita mualaf ini.

“Ini tidak bermaksud saya menafikan kes sebegini boleh berlaku tetapi Islam mengajar saya untuk ‘tabayyun’ dulu dan andai benar, kami di Multiracial Reverted Muslims – MRM akan berusaha menyantuni beliau.

“Kami mahu membantu wanita mualaf ini tetapi kami juga perlu berlaku adil kepada masjid dan lembaga zakat (walaupun tidak disebut secara spesifik nama masjid & lembaga zakat).

“Jikalau saudara Ariff Peter sendiri telah membantu wanita mualaf ini, Alhamdulilah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini berserta tangkap layar WhatsApp dan video TikTok terbabit.



Foto: Tangkap layar WhatsApp yang dimuat naik Firdaus di Facebook.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), khususnya Unit Jejak Asnaf semalam dilapor telah diarah menjejaki wanita mualaf yang tular di media sosial baru-baru ini selepas meluahkan hasrat keluar daripada agama Islam kerana didakwa tidak menerima bantuan dan dianiaya suami.

Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ini bagi membolehkan bantuan disalur dengan segera dan pada masa sama terdapat keperluan untuk berjumpa wanita tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut kerana banyak perkara masih tidak jelas. — The Merdeka Times

Author