Terkini
Tidak patut Aliff Ahmad disiasat SKMM – Nurul Izzah

- Kenyataan itu dilihat dikeluar selepas Aliff mendakwa beliau menerima Notis Arahan Kehadiran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya ke ibu pejabat suruhanjaya tersebut bagi soal siasat berkenaan hantaran Facebook beliau yang menawar untuk ‘scrut’ atau menyiasat secara terperinci latar belakang Nurul Izzah.
- “Saya tidak mengenali beliau (Aliff) ataupun pernah bertemu dengan beliau. Saya juga tidak pasti cara beliau mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang.
- “Namun yang pasti, beliau tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti dinyatakan mengenai saya.
- “Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap saudara Aliff Ahmad, seperti yang didakwa,” — Nurul Izzah.
KUALA LUMPUR — Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berpendirian, pempengaruh Aliff Ahmad yang juga pengasas bersama SCRUT tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan berkenaan beliau sebelum ini.
Kenyataan itu dibuat Izzah selepas Aliff mendakwa beliau menerima Notis Arahan Kehadiran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya ke ibu pejabat suruhanjaya tersebut bagi soal siasat berkenaan hantaran Facebook beliau yang menawar untuk ‘scrut’ atau menyiasat secara terperinci latar belakang Izzah.
Menurut Izzah, beliau tidak mengenali mahupun pernah bertemu Aliff, serta tidak pasti cara pempengaruh itu mencari rezeki.
“Saya tidak mengenali beliau (Aliff) ataupun pernah bertemu dengan beliau. Saya juga tidak pasti cara beliau mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang.
“Namun yang pasti, beliau tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti dinyatakan mengenai saya.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap saudara Aliff Ahmad, seperti yang didakwa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Foto: Tangkap hantaran Facebook Nurul Izzah Anwar.
Sebelum ini, Aliff Ahmad mendakwa beliau dipanggil SKMM bagi disoal siasat berkenaan hantaran Facebook yang menawar untuk menyiasat secara terperinci latar belakang Izzah jika mendapat 20,000 perkongsian hantaran tersebut.
Katanya, beliau menerima Notis Arahan Kehadiran daripada SKMM yang memanggilnya untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya pada 8 malam semalam.
Bagaimanapun, Aliff berkata beliau memaklumkan kepada pegawai itu bahawa beliau tidak dapat hadir untuk sesi soal siasat, sebaliknya menuntut pihak berkuasa mengemukakan waran tangkap.
Sementara itu, Izzah turut mengingatkan bahawa penting untuk semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas kukuh. — The Merdeka Times
