Connect with us

Politik

Hasrat PN gabung dengan UMNO hanya mimpi di siang hari – Ahmad Zahid

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
  • Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penggabungan itu tidak perlu kerana setakat ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah berkhidmat dengan baik dan yakin segala masalah pembangunan serta keperluan rakyat dapat diselesaikan di bawah kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu.
  • “…kalau di Ayer Kuning ini baru ada cadangan itu, saya ingat ketika ini 12.30 tengah hari, kalau kita mimpi tentunya mimpi di siang hari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santuni Kasih Syawal Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di Tapah hari ini.
  • Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata masalah ladang babi di Perak terutama di Ayer Kuning boleh diselesaikan sekiranya UMNO bergabung dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri.

TAPAH — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk bergabung dengan parti itu bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak, ibarat mimpi di siang hari.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata cadangan itu timbul kerana PN mungkin menyedari mereka telah kehilangan sokongan di Ayer Kuning.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata penggabungan itu tidak perlu kerana setakat ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah berkhidmat dengan baik dan yakin segala masalah pembangunan serta keperluan rakyat dapat diselesaikan di bawah kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu.

“…kalau di Ayer Kuning ini baru ada cadangan itu, saya ingat ketika ini 12.30 tengah hari, kalau kita mimpi tentunya mimpi di siang hari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santuni Kasih Syawal Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata masalah ladang babi di Perak terutama di Ayer Kuning boleh diselesaikan sekiranya UMNO bergabung dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri.

Berkenaan pengulangan isu nasional yang sering dimainkan PN ketika berkempen, Ahmad Zahid berkata kesemua permasalahan itu tidak relevan kerana isu dibangkitkan telah diselesaikan, sama seperti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau tidak pernah menyebut nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik UMNO.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik UMNO.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi bagi PRK DUN itu. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *