Antarabangsa
China sokong Pakistan, Seru India-Pakistan elak ketegangan

- “China sentiasa menyokong tindakan tegas Pakistan dalam membanteras keganasan. Sebagai rakan sejati dan rakan strategik sepanjang masa, China memahami sepenuhnya kebimbangan keselamatan Pakistan dan menyokong usaha mempertahankan kedaulatan dan kepentingan keselamatannya,” – Kementerian Luar China.
- Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Pakistan berkata Dar menolak tindakan unilateral dan tidak sah oleh India serta propaganda tidak berasas terhadap Pakistan.
- Setakat ini, tiada maklum balas segera daripada pegawai India terhadap kenyataan Menteri Luar China dan Pakistan.
China pada Ahad menyatakan sokongan kepada sekutunya, Pakistan, dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara itu, sambil menyeru India dan Pakistan supaya bertindak secara berhemah susulan serangan pengganas di Pahalgam.
Menurut kenyataan Kementerian Luar China, dalam satu panggilan telefon bersama rakan sejawatnya dari Pakistan, Ishaq Dar, Menteri Luar China Wang Yi berkata bahawa China mengikuti rapat perkembangan selepas serangan tersebut dan menyokong siasatan yang adil terhadap insiden itu.
Komen Wang dibuat di tengah ketegangan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan selepas serangan pengganas ke atas pelancong di Pahalgam pada 22 April lalu yang mengorbankan 26 orang.
Serangan itu didakwa dilakukan oleh The Resistance Front, kumpulan proksi kepada Lashkar-e-Taiba yang berpusat di Pakistan.
India bertindak balas dengan mengenakan beberapa tindakan keras terhadap Pakistan, termasuk menggantung Perjanjian Air Indus dan menutup satu-satunya pintu sempadan darat yang beroperasi di Attari.
Pakistan pula memberi amaran bahawa sekatan air sungai akan dianggap sebagai “tindakan perang” dan mengambil langkah balas seperti menutup ruang udaranya kepada penerbangan India serta menghentikan semua perdagangan.
“China sentiasa menyokong tindakan tegas Pakistan dalam membanteras keganasan. Sebagai rakan sejati dan rakan strategik sepanjang masa, China memahami sepenuhnya kebimbangan keselamatan Pakistan dan menyokong usaha mempertahankan kedaulatan dan kepentingan keselamatannya,” kata Wang dalam kenyataan tersebut.
Wang turut menegaskan bahawa China akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan menegaskan sokongan terhadap pelaksanaan siasatan yang adil secepat mungkin.
Beliau berkata konflik bukanlah kepentingan asas kepada India dan Pakistan, serta tidak membantu dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau. Oleh itu, kedua-dua negara diseru supaya bertindak secara berhemah, bertolak ansur, dan berusaha meredakan ketegangan.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Pakistan berkata Dar menolak tindakan unilateral dan tidak sah oleh India serta propaganda tidak berasas terhadap Pakistan.
Dar turut merakamkan penghargaan atas sokongan China yang konsisten dan tidak berbelah bahagi serta mengulangi komitmen kukuh Pakistan terhadap visi bersama dalam menjalin perkongsian strategik sepanjang masa.
Kedua-dua negara mengulangi komitmen untuk mempertahankan keamanan dan kestabilan serantau, menggalakkan rasa saling menghormati dan persefahaman, serta menentang sebarang dasar unilateral dan hegemoni.
Setakat ini, tiada maklum balas segera daripada pegawai India terhadap kenyataan Menteri Luar China dan Pakistan.-The Merdeka Times
