Terkini
Autonomi kepada guru pada 2027, KPM perlu mulakan perbincangan sekarang – Anuar Ahmad

- Nyahpusat, desentralisasi atau ia juga dipanggil sebagai autonomi pendidikan penting untuk dilaksanakan kerana ia akan menjadikan pembelajaran dan pendidikan lebih dinamik serta lebih sesuai dengan keperluan setempat.
- Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata dengan desentralisasi juga guru-guru boleh berinovasi, berkreativiti dan sebagainya malah ia dilihat akan mempercepatkan proses memandaikan murid sekolah.
- Mengulas berkenaan kerajaan dijangka memberikan autonomi kepada warga pendidik terutama guru dalam pengenalan Kurikulum Persekolahan 2027, Anuar berkata beliau memahami jika ia ingin dilaksanakan pada 2027, namun dalam masa sama beliau ingin melihat komitmen kerajaan untuk merealisasikannya.
- “Jadi autonomi yang bagaimana yang dihasratkan oleh KPM yang kita ingin bincangkan, jadi kalau kita nak laksanakan pada tahun 2027 kita sepatutnya bermula perbincangan, libat urus tentang konsep autonomi yang kita nak beri ni mulai sekarang barulah kita nampak dia punya proses itu sedang berjalan kan? Jadi rakyat sekarang ni tak nampak proses itu sedang berjalan,” kata Anuar kepada The Merdeka Times semalam.
KUALA LUMPUR — Nyahpusat, desentralisasi atau ia juga dipanggil sebagai autonomi pendidikan penting untuk dilaksanakan kerana ia akan menjadikan pembelajaran dan pendidikan lebih dinamik serta lebih sesuai dengan keperluan setempat.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata dengan desentralisasi juga guru-guru boleh berinovasi, berkreativiti dan sebagainya malah ia dilihat akan mempercepatkan proses memandaikan murid sekolah.
Anuar yang juga penyelidik pendidikan berkata, ketika ini sistem pendidikan negara mempunyai pelbagai aliran sekolah dan masyarakat yang ada keperluan masing-masing sekali gus memerlukan kaedah penyelesaian dan cara pengurusan berbeza jika ingin memajukan pelajar.
“…Kepelbagaian aliran pendidikan ni menuntut kita untuk memastikan autonomi yang lebih itu diberi pada sekolah untuk mereka memajukan anak-anak di sekolah-sekolah mereka tapi tentu saja autonomi ni bukanlah bersifat mutlak, mestilah ada perkara-perkara yang akan diuruskan ataupun di bawah bidang kuasa KPM (Kementerian Pendidikan) misalnya tentang kewangan, urusan berkaitan perundangan dan audit.
“Tapi banyak lagi perkara-perkara lain yang kita mahu dinyahpusatkan misalnya pengetua boleh membuat inovasi di sekolah mereka dari segi pelantikan guru kita nak supaya sekolah yang mengenal pasti calon yang sesuai kemudian mereka hantar nama kepada pihak KPM dan KPM kemudian hantar kepada SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan).
“Kadang-kadang apa yang berlaku hari ini kita lihat di sekolah bila guru dihantar oleh KPM ke sekolah posting (penempatan), kadang-kadang yang diperlukan itu guru bahasa Melayu tapi yang dihantar itu guru Matematik dia tak ‘tally’ jadi sebab itu dekat negara kita ini ada masalah besar berkaitan guru bukan opsyen.
“Guru itu dilatih dalam bidang lain tapi dihantar dalam bidang lain tetapi kalau pihak sekolah yang proses melantik itu mereka tahu apa keperluan sekolah mereka jadi saya rasa itu akan meningkatkan lagi kualiti sebab sekolah tahu apa yang terbaik untuk sekolah dia,” katanya kepada The Merdeka Times di sini semalam.
Anuar berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut berkenaan apa yang dimaksudkan dengan desentralisasi pendidikan negara susulan beliau pada 20 Januari lalu membuat hantaran Facebook yang menyatakan nyahpusat, desentralisasi dan autonomi pendidikan yang menyeluruh adalah teras utama jika kita benar-benar mahu menjayakan Reformasi Pendidikan Negara.
Dalam hantaran itu, beliau juga menjelaskan bahawa sistem Pendidikan Malaysia sudah lama ‘terperangkap’ dalam pemusatan kuasa (warisan kolonial) yang sangat tinggi di mana Bank Dunia mengesahkan keadaan itu.
Katanya, akibat pemusatan kuasa, sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan menjadikan lambat, rigid dan kurang dinamik malah inovasi dan kreativiti dalam pengurusan pendidikan juga sukar berkembang dengan baik yang akhirnya membuatkan kita ketinggalan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Anuar Ahmad.
Mengulas berkenaan kerajaan dijangka memberikan autonomi kepada warga pendidik terutama guru dalam pengenalan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Persekolahan 2027, Anuar berkata beliau memahami jika ia ingin dilaksanakan pada 2027, namun dalam masa sama beliau ingin melihat komitmen kerajaan untuk merealisasikannya.
Beliau menggesa KPM memulakan usaha menjayakan dasar pemberian autonomi mulai sekarang dengan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh, walaupun ia disasarkan dilaksanakan dua tahun lagi.
“Kita nak melihat di mana yang kita kata nak beri autonomi tu. Autonomi dalam bentuk apa? Kewangan ke? Membuat keputusan ke? Pengurusan ke? Pelantikan guru ke misalnya? Ataupun apa? Autonomi dalam bentuk apa? Kaedah pengajaran ke? Dan komitmen yang akan diberikan oleh KPM kepada sekolah.
“Kita tidak ada isu 2027 tu akan dilaksanakan autonomi… Kita faham…Kita buat persiapan yang rapi tetapi kita mahu melihat komitmen KPM dalam melaksanakan autonomi ini. Autonominya kepada guru bagaimana? Autonomi kepada guru besarnya bagaimana? Autonomi kepada PIBG-nya bagaimana? Autonomi kepada pihak PPD, JPN-nya bagaimana?
“Jadi autonomi yang bagaimana yang dihasratkan oleh KPM yang kita ingin bincangkan, jadi kalau kita nak laksanakan pada tahun 2027 kita sepatutnya bermula perbincangan, libat urus tentang konsep autonomi yang kita nak beri ni mulai sekarang barulah kita nampak dia punya proses itu sedang berjalan kan? Jadi rakyat sekarang ni tak nampak proses itu sedang berjalan,” kata Anuar.
Pada Mei 2024, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan mengumumkan warga pendidik akan diberi autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu pada 2027, berserta tanggungjawab dan integriti.— The Merdeka Times
