Terkini
(VIDEO) Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 ‘cukup’ untuk pekerja bujang, bukan berkeluarga — Tinjauan
Pengumuman Kerajaan Madani mengenai kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 berkuat kuasa Februari depan disambut baik pekerja dan majikan di sekitar ibu kota di sini.
KUALA LUMPUR — Pengumuman Kerajaan Madani mengenai kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 berkuat kuasa Februari depan disambut baik pekerja dan majikan di sekitar ibu kota di sini.
Tinjauan The Merdeka Times di sekitar Wangsa Maju mendapati rata-rata kelompok itu dilihat agak berpuas hati dengan kenaikan gaji minimum itu bagi menghadapi kos sara hidup meningkat, tetapi ada juga mengatakan ia tidak mencukupi untuk individu berkeluarga.
Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 26, menyifatkan kenaikan gaji minimum itu sebagai ‘okey’ dan memadai, tetapi bukan untuk mereka yang mempunyai tanggungan hidup berkeluarga.
“Ok lah untuk saya… Sebab saya pun tak banyak komitmen sangat untuk saya lah tapi bergantung dengan orang lah, ada yang berkeluarga mungkin tak cukup.
“Mungkin dia nak lagi tinggi. Kalau bagi bujang, macam saya, mungkin sudah memadai lah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Peniaga, Iqbal, 24, berkata sama ada kenaikan gaji minimum itu mencukupi ataupun tidak ia bergantung kepada seseorang individu, tetapi bagi beliau kenaikan gaji itu boleh diterima buat masa ini.
“So far, bagi saya ok lah… So berkaitan dengan kerja lama saya, boleh kata dulu gaji RM2,000 juga lah daripada starting RM1,500 kerja setahun, naik RM1,700, naik lagi RM2,000 so, RM1,700 ni untuk basic, katakan ok lah.
“Dia bergantung kepada certain orang lah. Kalau orang tu, dia ok, tak banyak sangat kos sara hidup, RM1,700 mungkin cukuplah. Kalau lebih, macam ada keluarga, RM1,700 tu mungkin tak cukup,” kata Iqbal ketika ditanya apakah kenaikan gaji itu mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Jurugambar, Hiew Soon Wei, 46, berkata kenaikan gaji itu sememangnya perlu dilakukan oleh kerajaan hari ini dan baginya angka tersebut mungkin tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Saya rasa naik gaji memang perlu. Asalkan negara kita mendapat pendapatan yang sepatutnya.
“Mungkin (kenaikan gaji itu) belum cukup (untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat),” kata Soon Wei yang tidak menjelaskan lebih lanjut mengapa beliau merasakan kenaikan itu tidak mencukupi.
Pengusaha restoran, Faisal, 43, berpuas hati dengan kenaikan gaji minimum itu memandangkan harga barangan ketika ini kebanyakannya mahal dan ia pasti menggembirakan pekerja yang berdepan kesusahan.
“Ya (berpuas hati) RM1,700 sekarang. Ok, bolehlah itu kerja (pekerja sekarang pun) punya orang sekarang sikit susah. Itu barang semua mahal, bolehlah, RM1700 bolehlah,” katanya.
Juruwang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 49, menyatakan ketidakpuasan hati dengan kenaikan gaji minimum itu yang disifatkannya sebagai tidak mencukupi ekoran harga barangan yang selalu naik.
Ida berkata beliau mengharapkan kadar gaji minimum itu dinaikkan kepada RM2,000.
“Tak puas hati lah. Sebab tak cukupkan. Harga selalu naik. Sekarang ni, tiap-tiap bulan naik. Tak cukuplah. Akak tak setuju lah.
“Sebab kan, barang semua mahal. Jadi, kalau boleh naik, gaji tu tinggi sikit lah. Maksudnya, RM2,000 macam tu lah,” kata Ida.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu dilaporkan berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025. — The Merdeka Times
View this post on Instagram