Terkini
Projek Rintis Sekolah Bangsa Johor bakal dilaksana
Projek rintis pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor kini sedang digerak dan dimulakan bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada bangsa negeri itu.
- Projek rintis pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor kini sedang digerak dan dimulakan bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada bangsa negeri itu.
- Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berpandangan usaha tersebut selari titah Tunku Ismail supaya kualiti, sistem dan fasiliti pendidikan ditingkatkan selain memperbaharui silibus mata pelajaran sedia ada.
- Ia dijangka dilaksanakan tahun depan melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang akan dikenal pasti berdasarkan beberapa indikator signifikan digariskan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), lapor Media Digital Johor pada Ahad.
- Pada 9 Mei lalu, Tunku Ismail dilaporkan bertitah supaya silibus mata pelajaran di sekolah yang tidak lagi relevan diperbaharui.
- “Jika (perubahan itu) tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarlah negeri Johor menjadi negeri yang pertama untuk mengubah silibus-silibus di sekolah-sekolah di Johor,” titah baginda.
KUALA LUMPUR — Projek rintis pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor kini sedang digerak dan dimulakan bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada bangsa negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berpandangan usaha tersebut selari titah Tunku Ismail supaya kualiti, sistem dan fasiliti pendidikan ditingkatkan selain memperbaharui silibus mata pelajaran sedia ada.
Sekolah Bangsa Johor itu dijangka dilaksanakan tahun depan melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang akan dikenal pasti berdasarkan beberapa indikator signifikan digariskan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), lapor Media Digital Johor pada Ahad.
Antara indikator itu adalah pencapaian peperiksaan memberangsangkan dan sistem pentadbiran baik, selain berupaya mengadaptasi silibus mata pelajaran tambahan serta pengenalan modul baharu untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berharap kewujudan Sekolah Bangsa Johor kelak mampu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang, menguasai bahasa Inggeris dan pakar dalam bidang STEM untuk memenuhi keperluan industri serta memiliki jati diri yang mantap.
Pada 9 Mei lalu, Tunku Ismail dilaporkan bertitah supaya silibus mata pelajaran di sekolah yang tidak lagi relevan diperbaharui.
Baginda menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada rakyat Johor kerana ia asas kemajuan negeri itu dan penting bagi menyelesaikan pelbagai isu, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi generasi akan datang.
“Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan adalah dengan memperbaharui silibus-silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.
“Jika (perubahan itu) tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarlah negeri Johor menjadi negeri yang pertama untuk mengubah silibus-silibus di sekolah-sekolah di Johor.
“Jika kita masih tidak dapat menerima hakikat seperti dilaporkan dalam laporan bank dunia baru-baru ini dan kedudukan terkini pelajar kita dalam peperiksaan Programme For International Student Assessment (PISA).
“… Maka kita tidak sepatutnya mengeluh sekiranya generasi masa hadapan kurang berdaya saing berbanding rakan sejagat mereka,” titah baginda.
Laporan baharu Bank Dunia bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills” yang dilaporkan media pada April lalu memberi gambaran membimbangkan berhubung sistem pendidikan negara ini.
Ini kerana walaupun pendidikan diperuntukkan perbelanjaan besar iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.
Laporan itu menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk berbanding rakan serantau (34 peratus berjuang dalam ekonomi serupa).
Berbanding Vietnam, sebuah negara dengan sumber lebih rendah, yang menunjukkan hasil lebih kukuh. — The Merdeka Times