Connect with us

Kolumnis

Apa itu Perayaan Wesak?

Hari Wesak merupakan hari perayaan bersifat keagamaan dalam agama Buddha yang akan diadakan pada Rabu ini. Tanpa mengira aliran Mahayana atau Theravada, semua penganut Buddha akan merayakan perayaan Hari Wesak. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Hari Wesak merupakan hari perayaan bersifat keagamaan dalam agama Buddha yang akan diadakan pada Rabu ini. Tanpa mengira aliran Mahayana atau Theravada, semua penganut Buddha akan merayakan perayaan Hari Wesak. 

Ini adalah salah satu perayaan terpenting bagi memperingati Siddharta Gautama Buddha iaitu tokoh penting dalam agama Buddha yang dilahirkan di Lumbini, Nepal, sekitar 563-483 SM. 

Walaupun terdapat Buddha-Buddha lain dalam kepercayaan Buddhisme, Hari Wesak dikhususkan untuk memperingati Siddharta Gautama atau Sang Buddha sahaja.

Asal-Usul Hari Wesak 

Perkataan Wesak berasal daripada perkataan Pali “vesākho” dan dalam bahasa Sanskrit disebut sebagai “vaisākha”, iaitu merujuk kepada nama bulan dalam kalendar Hindu yang menandakan bulan kelima.

Menurut Ven. Dr. Madawela Punnaji dalam bukunya The Philosophy of Vesak, penganut Buddha merayakan bulan ini bagi memperingati Siddharta Gautama Buddha sempena tiga peristiwa penting dalam kehidupan Siddharta Gautama Buddha:  

  1. Hari Kelahiran Buddha.  

Buddha dipercayai lahir secara ajaib pada hari purnama bulan Vaisākha. Dikatakan telah berlaku keajaiban sewaktu lahir, bayi Buddha boleh berjalan sebanyak tujuh langkah dengan setiap langkahnya, muncul bunga teratai di bawah kakinya dan tubuhnya telah disirami  dengan dua air suci dari langit. 

Lalu, beliau mengucapkan dengan jari telunjuknya ditegakkan ke langit, bahawa: 

“Akulah pemimpin dalam dunia ini, Akulah Tertua dalam dunia ini, Akulah Teragung dalam dunia ini. Inilah kelahiranku yang terakhir. Tidak akan ada kelahiran semula untukku setelah ini.” 

Foto: Legenda keajaiban kelahiran bayi Sang Buddha

       2.Hari Pencerahan Sempurna Buddha

Sama seperti bulan kelahirannya, Buddha dikatakan berjaya mencapai Pencerahan Sempurna juga pada bulan Vaisākha melalui meditasi. 

Walaupun jalan pencerahan sangat sukar untuk dicapai hatta Mahaguru sekalipun. Buddha berjaya menemukannya dengan kekuatan sendiri tanpa mengikuti ajaran lain pada usia yang muda.     

      3.Hari terakhir Buddha 

Hari terakhir Sang Buddha di dunia dinamakan peristiwa Parinibbana, di mana beliau meninggal dunia juga pada bulan Vaisākha setelah 45 tahun menyebarkan ajarannya.   

Oleh sebab itu, bulan Vaisākha dianggap bulan teristimewa yang didedikasikan kepada Buddha yang wajar dirai.

Maka, satu persidangan World Fellowship of Buddhists pada 1950 antara tokoh agamawan  dari seluruh dunia telah sebulat suara menetapkan tarikh rasmi untuk meraikan Hari Wesak iaitu pada hari pertama bulan purnama pada setiap bulan Mei.

Jadi boleh disimpulkan sambutan Hari Wesak ini adalah sambutan baharu yang diinovasikan penganut Buddha sendiri. 

Tiada anjuran Sang Buddha mahupun dalam kitab-kitab agama Buddha mengenai perayaan ini.   

Hari Wesak adalah perayaan keagamaan 

Walaupun cara meraikan Hari Wesak berbeza-beza mengikut budaya dan tempat, intipati perayaannya adalah sama di seluruh dunia: untuk memuliakan Sang Buddha.  

Pada hari Wesak, penganut Buddha akan berkumpul di kuil sebelum terbit fajar dan akan menghabiskan hari dengan bermeditasi dan berdikir kepada Sang Buddha serta memperbaharui kesaksian mereka kepada ajaran Buddha dengan melafazkan Triratna iaitu tiga ucapan perlindungan kepada Buddha, Dhamma dan Sangha. 

Acara kemuncak hari Wesak adalah ketika penganut Buddha mengadakan upacara Mandi Sang Buddha, di mana air dituangkan di atas bahu patung bayi Buddha. 

Foto: Upacara Mandi Sang Buddha yang dilakukan pada Hari Wesak

Upacara itu melambangkan legenda bayi Buddha yang dikatakan setelah kelahirannya, sembilan naga menyemburkan air suci dari langit untuk memandikan tubuh bayi Buddha.

Maka sehingga kini, upacara tersebut diadakan sebagai simbolik pembersihan dan penyucian diri penganut Buddha daripada perkara-perkara negatif serta cara mereka untuk memuliakan Sang Buddha. 

Malah, ada sesetengah budaya seperti di Jepun, mereka kebiasaannya akan memandikan patung Buddha dengan teh manis dan meminum air tersebut untuk memohon keberkatan. 

Ada juga mempercayai bahawa dengan meminum air tersebut dapat menyembuhkan penyakit dan memberikan ilham kerana menganggap air mandian patung Buddha adalah ‘air tuah’ dan ‘tenaga baik’ untuk mereka.     

Selain upacara keagamaan, penganut Buddha akan meraikan Hari Wesak dengan tanglung dan hiasan berwarna-warni yang menghiasi jalan dan bangunan-bangunan.  

Mereka akan mengambil bahagian dalam persembahan budaya dan perarakan yang membawa seni hias berupa patung Buddha seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan benda peninggalan Buddha serta mempamerkan simbolik Buddha seperti bunga teratai di jalan raya pada malam Wesak. 

Dari asal-usul perayaan Wesak hingga cara penganut Buddha meraikan perayaan ini, maka jelaslah bahawa Hari Wesak adalah perayaan berbentuk keagamaan dalam agama Buddha. 

Ia memperingati kelahiran, pencerahan, dan kematian Siddharta Gautama Buddha serta menjadi masa bagi penganut Buddha untuk merenung dan bersyukur atas ajaran Buddha. 

Perayaan ini bukan sahaja melibatkan upacara keagamaan tetapi juga budaya dan tradisi yang memperkukuh keimanan dan komitmen penganut Buddha terhadap prinsip-prinsip agama mereka. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *