Connect with us

Terkini

Kerajaan kaji pindaan Akta 792 untuk hadapi cabaran baharu

Kerajaan sedang membuat kajian bagi meminda Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) tahun depan, dengan mengambil kira cabaran yang muncul dalam teknologi hari ini, termasuk dalam aspek berkaitan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan sedang buat kajian meminda Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) tahun depan, dengan mengambil kira cabaran muncul dalam teknologi hari ini, termasuk aspek penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini kerana ketika ini ada pihak menggunakan teknologi Al bagi tujuan jenayah, contohnya pengantunan kanak-kanak, yang mewujudkan cabaran kepada undang-undang sedia ada.
  • “Saya tidak nafikan bahawa apa kita lakukan pada 2017 lepas mungkin tidak mengambil kira cabaran berkaitan penggunaan Al… sekarang ini jika saya bercakap dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), salah satu cabaran besar adalah apabila ada pihak menjual visual kanak-kanak di ‘dark web’ dan sekarang tidak perlu lagi, mereka boleh terus ke laman web biasa, terus ke dalam talian.
  • “Apabila bercakap mengenai antun (grooming) membabitkan Al, satu lagi cabaran adalah mengenai bayaran, mereka bayar guna bitcoin dan matawang kripto, kita tidak boleh kesan siapa buat pembayaran untuk kegiatan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program International Symposium on Empowerment of Children’s Commission: Strengthening Rights and Safeguarding Future, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini.

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang membuat kajian bagi meminda Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) tahun depan, dengan mengambil kira cabaran yang muncul dalam teknologi hari ini, termasuk dalam aspek berkaitan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini kerana ketika ini ada pihak yang menggunakan teknologi Al bagi tujuan jenayah, contohnya pengantunan kanak-kanak, yang mewujudkan cabaran kepada undang-undang sedia ada.

“Saya tidak nafikan bahawa apa kita lakukan pada 2017 lepas mungkin tidak mengambil kira cabaran berkaitan penggunaan Al… sekarang ini jika saya bercakap dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), salah satu cabaran besar adalah apabila ada pihak menjual visual kanak-kanak di ‘dark web’ dan sekarang tidak perlu lagi, mereka boleh terus ke laman web biasa, terus ke dalam talian.

“Apabila bercakap mengenai antun (grooming) membabitkan Al, satu lagi cabaran adalah mengenai bayaran, mereka bayar menggunakan bitcoin dan matawang kripto, kita tidak boleh kesan siapa yang buat pembayaran untuk kegiatan ini.

“… jadi kita perlu faham segalanya mengenai perkembangan teknologi ini dan tampil undang-undang yang boleh meliputi cabaran-cabaran yang muncul,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program International Symposium on Empowerment of Children’s Commission: Strengthening Rights and Safeguarding Future, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini.

Azalina berkata simposium hari ini bertujuan membuat perbandingan dan belajar dari negara lain mengenai peranan yang dimainkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di negara masing-masing.

“Saya tekankan OCC tak akan bersifat konfrontasi, kita lebih kepada menilai isu undang-undang dalam negara kita dan peranan yang kita nak belajar dari negara lain. Simposium ini adalah langkah pertama untuk kita dengar dan lihat cara mereka (negara lain) dan belajar cara mereka, kelebihan dan kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata kerajaan juga mengkaji keperluan untuk mewujudkan OCC di peringkat negeri bagi memastikan pemantauan yang lebih menyeluruh.

“Sebab isu kanak-kanak ini tak boleh di pusat sahaja, pemantauan juga perlu di peringkat negeri. Bagaimanapun, kita nak gerak tidak secara agresif tetapi secara perlahan,” katanya. — BERNAMA

Author

Terkini

Malaysia desak Israel henti kekejaman terhadap rakyat Palestin, setuju pelan perdamaian – Anwar

Malaysia teguh dengan pendirian mendesak Israel menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh (kanan).
  • Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau memaklumkan perkara itu ketika bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya Ismail Haniyeh dan bekas pengerusi Hamas Khaled Mashal di Qatar.
  • Beliau berkata Malaysia juga akan terus komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam menghentikan serangan ke atas Rafah termasuk menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.
  • “Malaysia menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan masyarakat antarabangsa,” kata Anwar.
  • Semalam, Anwar yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari di Qatar bertemu dua pemimpin tertinggi kerajaan negara itu bagi membincangkan secara mendalam konflik Palestin-Israel dengan mengambil kira perkembangan terkini di Semenanjung Gaza.

KUALA LUMPUR — Malaysia teguh dengan pendirian mendesak Israel menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau memaklumkan perkara itu ketika bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya Ismail Haniyeh dan bekas pengerusi Hamas Khaled Mashal di Qatar.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam menghentikan serangan ke atas Rafah termasuk menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Sejak konflik meletus (hampir) lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal kerana kekejaman rejim Zionis.

“Malaysia menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan masyarakat antarabangsa,” kata Anwar.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Beliau turut menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

Semalam, Anwar yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari di Qatar bertemu dua pemimpin tertinggi kerajaan negara itu bagi membincangkan secara mendalam konflik Palestin- Israel dengan mengambil kira perkembangan terkini di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju semua pihak perlu memainkan peranan untuk mencari penyelesaian bagi mengakhiri penderitaan warga Palestin.

Malaysia, merupakan antara negara yang lantang mengutuk kekejaman zionis dan menyokong usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Pertempuran antara Palestin dan rejim zionis, yang kini memasuki tempoh lebih tujuh bulan sejak 7 Okt tahun lepas, kian memuncak dengan pencerobohan terbaharu Israel ke atas Rafah, meragut lebih 35,000 nyawa rakyat Palestin sehingga kini.

Dalam pada itu, wartawan Bernama di QATAR melaporkan pertemuan antara Anwar dan

Haniyeh berlangsung lebih sejam.

Ini merupakan pertemuan kali pertama Anwar dengan Haniyeh sebagai Perdana Menteri Malaysia secara bersemuka.

Anwar pernah bertemu pemimpin tertinggi Hamas itu sebanyak dua kali iaitu pada 2020 ketika Haniyeh berkunjung ke Malaysia dan sebelum itu pada 2019. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending