Terkini
(VIDEO) Panel program perubatan asnaf, LZS tidak utamakan farmasi Muslim?
Lembaga Zakat Selangor (LZS) didakwa tidak mengutamakan farmasi Muslim dalam pelantikan farmasi panel bagi program bantuan perubatan asnafnya di negeri itu.
KUALA LUMPUR — Lembaga Zakat Selangor (LZS) didakwa tidak mengutamakan farmasi Muslim dalam pelantikan farmasi panel bagi program bantuan perubatan asnafnya di negeri itu.
Situasi itu menimbulkan persoalan kerana program bantuan perubatan asnaf membabitkan penggunaan duit zakat dan seharusnya memberikan keutamaan kepada orang Islam berbanding bukan Islam yang tidak membayar zakat.
Siasatan The Merdeka Times sejak awal Januari lalu mendapati ada daerah di Selangor yang menunjukkan lebih separuh daripada farmasi yang dilantik sebagai panel atau vendor LZS bagi program itu adalah farmasi bukan Muslim.
Antara kawasan terbabit adalah Hulu Langat dan Gombak.
Sumber industri farmasi memberitahu hasil maklumat dikumpul pihaknya menerusi senarai panel bantuan perubatan LZS mendapati 50 peratus farmasi bukan Muslim dilantik menjadi vendor (panel) di Hulu Langat.
Beliau mendakwa lembaga zakat itu sebelum ini memberikan alasan jumlah farmasi Muslim yang tidak banyak di Selangor menyebabkan kenapa farmasi bukan Muslim diberikan keutamaan sebagai panel/vendor.
“Tapi sekarang owner Muslim dah banyak… database dari seluruh Selangor menunjukkan masih ramai hendak menjadi panel tetapi ada apply tak dapat, ada tak tahu langsung pasal panel (panel farmasi),” katanya kepada The Merdeka Times di sini, baru-baru ini.
Difahamkan, LZS juga tidak mempunyai pangkalan data yang jelas berhubung jumlah keseluruhan farmasi Muslim di negeri itu.
Sumber berkata sekiranya LZS mempunyai data yang jelas, maka entiti itu boleh mengeluarkan farmasi bukan Muslim daripada menjadi vendor atau panel di daerah terbabit dengan alasan mengutamakan farmasi Muslim dalam program perubatan asnaf lembaga zakat itu.
“(Syarat jadi panel) Agak longgar daripada segi aliran duit masuk, satu lagi tak ada pemantauan mengenai aliran keluar duit zakat ke asnaf dari segi amanah dan sebagainya.
“Yang seterusnya dari segi kemasukan semula duit zakat itulah. Kenapa dia orang bagi projek kepada non-Muslim yang terang-terang tak akan sumbangkan balik duit ke LZS?
“….(Farmasi bukan Muslim) Dia orang terlalu ramai, terlalu banyak tapi dalam terlalu banyak pun, zakat patut prioritize (beri keutamaan) satu farmasi Muslim yang duduk di kawasan kelompok non-Muslim yang ramai tu.. itu sahaja patut dapat bisnes, berbanding lima lagi non-Muslim lain di kawasan sama,” kata sumber yang enggan namanya didedahkan atas faktor tertentu.
Sumber berkata LZS sepatutnya menetapkan syarat hanya Muslim boleh menjadi farmasi panel dan kelompok lain tidak boleh mempertikaikan syarat tersebut kerana ia melibatkan agihan duit kutipan zakat masyarakat Muslim.
Seorang lagi sumber industri yang hanya mahu dikenali sebagai Wati turut meminta penjelasan LZS berhubung tindakannya yang dilihat lebih banyak melantik farmasi panel bukan Muslim.
“Dia (LZS) tak perlu lantik pun (farmasi bukan Muslim) sebab dia orang tanpa (menjadi farmasi panel) zakat pun, tanpa walk in dia orang dah memang ramai (pelanggan) tapi yang Muslim ni you bayangkan, contoh ada satu xxxxxxxx ni satu outlet dia sahaja sebulan 50 ribu daripada zakat sahaja.
“Tapi untuk farmasi Muslim kadang-kadang outlet dia jualan walk in dia pun tak sampai 50 ribu, kalau duit (zakat) itu disalurkan kepada (farmasi) Muslim, dia ini boleh berkembang lagi banyak dia boleh buka cawangan tapi bila duit itu disalurkan pada non-Muslim, dia yang banyak cawangan,” katanya.
Sumber itu berkata sekiranya keutamaan diberikan kepada farmasi Muslim sebagai panel/vendor program bantuan perubatan asnaf LZS, keuntungannya akan kembali kepada agensi Islam dalam bentuk zakat perniagaan.
Situasi itu tentunya akan membentuk kitaran ekonomi lebih sihat dan kukuh bagi orang Islam negara ini membabitkan penggunaan dan pengaliran wang zakat, kata sumber industri itu.
The Merdeka Times akan mendapatkan reaksi zakat Selangor untuk mendapatkan penjelasan mereka berhubung isu ini. – The Merdeka Times