Terkini
Satu kelas bahasa Melayu sepenuhnya dimulakan tahun depan
Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan (KPM) mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran sepenuhnya dalam bahasa Melayu untuk murid Tahun Satu di sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP).

- Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan wajibkan sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran sepenuhnya dalam bahasa Melayu untuk murid Tahun Satu di sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP).
- Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata keputusan dibuat selepas ambil kira usaha memperkasa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.
- “Kita akan mulakan balik kelas ‘non DLP’ (tanpa DLP) pada tahun depan. Ini untuk pastikan komitmen kerajaan menjaga bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu terus dipertahan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) Peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu, di sini, semalam.
- Program DLP dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan secara rintis pada 2016 membabitkan 300 sekolah dan mata pelajaran yang terbabit adalah Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Reka bentuk dan Teknologi bagi Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1.
KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan (KPM) mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran sepenuhnya dalam bahasa Melayu untuk murid Tahun Satu di sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP).
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira usaha memperkasa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.
“Kita akan mulakan balik kelas ‘non DLP’ (tanpa DLP) pada tahun depan. Ini untuk pastikan komitmen kerajaan menjaga bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu terus dipertahan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) Peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu, di sini, semalam.
Memperincikan keputusan itu, beliau berkata, hasil lawatan di lapangan turut menunjukkan ada sekolah yang tidak mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu dan bahasa ibunda mereka.
“Sebab itu kelas ‘non DLP’ ini masih penting. Dalam sesi kunjung bantu (KPM) ke lima sekolah, kita dapati ada sekolah yang tak capai tahap penguasaan diinginkan, baik dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka.
“Jadi tugas kita sebagai penjaga bahasa Melayu adalah untuk mempertahankan bahasa kebangsaan kita, khususnya untuk pastikan anak-anak kita mendapat peluang, dan pada masa sama, penguasaan bahasa Inggeris dapat diperkukuh,” katanya.
Fadhlina berkata, langkah dilaksanakan KPM itu tidak bermakna usaha untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah akan diabaikan.
“Jangan risau mengenai bahasa Inggeris, kita ada banyak dasar lain untuk memperkukuh bahasa Inggeris. DLP hanya program, kita ada pendekatan lain untuk perkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.
Pada 3 Disember 2015, KPM memaklumkan mengenai pelaksanaan program DLP di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Program DLP dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan secara rintis pada 2016 membabitkan 300 sekolah dan mata pelajaran yang terbabit bagi tujuan itu adalah Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Reka bentuk dan Teknologi bagi Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1.
Sumber: Berita Harian
