Connect with us

Terkini

Tangani segera isu kad UNHCR sebelum parah – PEKA

Malaysia dibimbangi menjadi tempat lambakan pelarian jika isu pemilikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak ditangani secara serius oleh kerajaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tangani segera isu kad UNHCR sebelum parah – PEKA
Foto: Presiden PEKA, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir.
  • Malaysia dibimbangi menjadi tempat lambakan pelarian jika isu pemilikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak ditangani secara serius oleh kerajaan.
  • Berselindung di sebalik kad ‘kebal’ UNHCR, pelarian terutama etnik Rohingya sudah membina kehidupan, identiti, komuniti dan penempatan sendiri yang dilihat semakin hari semakin berkembang.
  • Paling dibimbangi Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (PEKA), kad tersebut tidak melalui sebarang tapisan oleh pihak berkuasa, sesiapa saja pelarian mudah memilikinya, bolos dan ‘bersuka ria’ di negara ini.
  • Presiden PEKA, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, rakyat Malaysia ketika ini tersepit antara sifat kemanusiaan dengan Perlembagaan negara.
  • “Malaysia akan dibanjiri oleh jutaan pelarian. Itu belum lagi diambil kemasukan warga asing dari negara China, Indonesia dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan di sini.

KUANTAN: Malaysia dibimbangi menjadi tempat lambakan pelarian jika isu pemilikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak ditangani secara serius oleh kerajaan.

Berselindung di sebalik kad ‘kebal’ UNHCR, pelarian terutama etnik Rohingya sudah membina kehidupan, identiti, komuniti dan penempatan sendiri yang dilihat semakin hari semakin berkembang.

Paling dibimbangi Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (PEKA), kad tersebut tidak melalui sebarang tapisan oleh pihak berkuasa, sesiapa saja pelarian mudah memilikinya, bolos dan ‘bersuka ria’ di negara ini.

Presiden PEKA, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, rakyat Malaysia ketika ini tersepit antara sifat kemanusiaan dengan Perlembagaan negara.

“Tiada satu pun negara di dunia ini boleh terima pelarian semudah Malaysia. Bila pelarian sudah hidup sebati dengan rakyat kita, tentu lebih sukar untuk menanganinya.

“Malaysia akan dibanjiri oleh jutaan pelarian. Itu belum lagi diambil kemasukan warga asing dari negara China, Indonesia dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Untuk rekod, Malaysia langsung tidak ada data mengenai pelarian, malah tiada mekanisme penyusunan yang mengakibatkan sukar mengesan kes jenayah dan penjenayah dalam kalangan kumpulan itu.

Berdasarkan statistik UNHCR, terdapat 182,990 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dari 59 negara sehingga Disember 2022.

Daripada jumlah itu, seramai 135,440 orang (74.01 peratus) adalah pelarian dan 47,550 orang (25.99 peratus) adalah pemohon suaka.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, statistik UNHCR terdapat 182,990 pelarian di negara ini sehingga Disember 2022 hanya melibatkan individu yang berdaftar.

“Statistik itu hanya yang berdaftar, pelarian haram belum diambil kira lagi sehingga ada yang sudah berkahwin dengan warga tempatan dan memiliki perniagaan sendiri di negara ini.

“Pemilikan kad UNHCR palsu pun ramai sebab ada ejen yang jual kad ini demi mengaut keuntungan dan kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, rakyat Malaysia menunggu apa sebenarnya pelan jangka panjang kerajaan untuk menguruskan isu lambakan warga asing terutama Rohingya.

“Adakah mereka akan terus dibiarkan mendiami negara ini dan beranak-pinak sehingga tujuh keturunan dan tidak mustahil menguasai sumber ekonomi sekali gus merampas peluang ekonomi rakyat tempatan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Perpaduan ketika ini yang berteraskan prinsip Malaysia Madani wajib menangani isu pemilikan kad UNHCR dengan lebih serius supaya ia tidak menjadi barah yang tidak boleh dikawal.

“Peka juga meminta kerajaan menyiasat jika ada pihak-pihak yang cuba melindungi pelarian haram ini untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Author