Connect with us

Terkini

Pemuda PN tetap teruskan guna logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza

Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan tetap akan meneruskan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan yang dicadangkan oleh mereka sebelum ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pemuda PN tetap teruskan guna logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza
Foto: Gambar Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.
  • Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan tetap akan meneruskan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan dicadangkan mereka sebelum ini.
  • Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tidak ada majlis sambutan berasingan bagi menyambutnya, selain ia hanyalah kempen melalui media sosial agar rakyat lebih menghayati dan bersifat patriotik serta tidak berbaur unsur politik kepartian.
  • Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pihaknya tidak akan berunding dengan kerajaan negeri ditadbir PN untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan dicadangkan berkenaan.
  • “Kalau kerajaan negeri nak ambil, boleh ambil. Tidak ada masalah. Kalau kerajaan negeri bawah PN merasakan bahawa mereka lebih berminat atau tidak ada masalah dengan tema Kerajaan Persekutuan, tidak ada masalah,” katanya. 
  • Mengulas kenyataan Fahmi yang akan meneliti serta menyiasat perkara itu pula, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan sedemikian dan menggesa ia bermula dengan siasatan terhadap tindakan pada tahun lalu oleh Kerajaan Selangor bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan tetap akan meneruskan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan yang dicadangkan oleh mereka sebelum ini.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, bagaimanapun berkata tidak ada majlis sambutan yang berasingan bagi menyambutnya, selain ia hanyalah kempen melalui media sosial agar rakyat lebih menghayati dan bersifat patriotik serta tidak berbaur unsur politik kepartian.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pihaknya juga tidak akan berunding dengan kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan dicadangkan berkenaan.

“Bukan soal kita pergi berunding dari satu negeri ke satu negeri. Tidak. Tetapi hanya sekadar melontarkan (idea) ke khalayak.

“Kalau kerajaan negeri nak ambil, boleh ambil. Tidak ada masalah. Kalau kerajaan negeri bawah PN merasakan bahawa mereka lebih berminat atau tidak ada masalah dengan tema Kerajaan Persekutuan, tidak ada masalah.

“Bagi pihak kita, itu bukan satu isu yang besar,” katanya kepada Harian Metro, semalam. 

Semalam, Ahmad Fadhli mengumumkan empat negeri bawah pentadbiran PN mungkin akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri.

Beliau dilaporkan berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan akan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata pihaknya akan meneliti dan menyiasat perkara berkenaan kerana tidak mahu perbezaan berlaku yang akan mewujudkan jurang serta suasana tidak bersatu padu.

Fahmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politik, sebaliknya ia adalah sambutan yang diadakan pada peringkat negara.

Mengulas kenyataan Fahmi yang akan meneliti serta menyiasat perkara itu pula, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan sedemikian dan menggesa ia bermula dengan siasatan terhadap tindakan pada tahun lalu oleh Kerajaan Selangor bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Saya fikir, menteri bolehlah menyiasat bermula daripada tindakan kerajaan negeri bawah PH menggunakan logo dan tema yang berlainan ketika Kerajaan Persekutuan ditadbir oleh PN.

“Sebagai contoh pada tahun lalu, Kerajaan Selangor juga menggunakan tema dan logo berlainan untuk sambutan kemerdekaan peringkat negeri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author