Terkini
JAIPk tangguh kebenaran mengajar, syarahan penceramah di masjid dan surau
Semua sesi mengajar dan bersyarah oleh penceramah dari luar dan dalam negeri Perak di semua masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ditangguhkan berkuatkuasa hari ini.
- Semua sesi mengajar dan bersyarah oleh penceramah dari luar dan dalam negeri Perak di semua masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ditangguhkan berkuatkuasa hari ini.
- Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu susulan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak sedang membuat penambahbaikan bagi Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau.
- Katanya, ia sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.
- Menurut beliau, ketetapan itu bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.
IPOH: Semua sesi mengajar dan bersyarah oleh penceramah dari luar dan dalam negeri Perak di semua masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ditangguhkan berkuatkuasa hari ini.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu susulan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak sedang membuat penambahbaikan bagi Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau.
Katanya, ia sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.
“Beberapa ketetapan telah diputuskan sehingga garis panduan tersebut muktamad dikuatkuasakan iaitu dengan menangguhkan jemputan mana-mana penceramah dari luar negara dan luar negeri Perak sama ada bertauliah atau tanpa tauliah.
“Jawatankuasa kariah juga dikehendaki menangguhkan jemputan penceramah dari dalam negeri Perak yang tiada tauliah mengajar di dalam masjid, surau diri Jumaat dan surau,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook di sini hari ini.
Menurut beliau, ketetapan itu bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.
“Semua pihak diminta agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Peraturan 23 (1) antara lain menyebut, peraturan-peraturan tersebut tidak terpakai bagi anggota Majlis; mufti mana-mana negeri di Malaysia; pegawai agama; guru agama yang dilantik kerajaan dan mana-mana orang yang pada pendapat Majlis mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.
Sumber: Utusan Malaysia