Terkini
Muslim tidak boleh gadai pegangan Islam untuk diterima – Prof Mohamad Abdalla
Seseorang Muslim itu tidak sesekali akan menggadaikan nilai Islam dalam dirinya hanya supaya dirinya diterima.

- Seseorang Muslim itu tidak sesekali akan menggadaikan nilai Islam dalam dirinya hanya supaya dirinya diterima.
- Itu jawapan Pengasas dan Pengarah Pusat Pemikiran dan Pendidikan Islam di University of South Australia, Prof Dr Mohamad Abdalla ketika ditanya reaksinya terhadap Indeks Hak Trans Global yang meletakkan Malaysia sebagai negara kedua teruk bagi transgender.
- Adalah mustahil kelakuan songsang itu diterima umat Islam kerana ia tidak diterima dalam ajaran agama.
- Bagaimanapun, Prof Mohamad Abdalla berkata, Malaysia perlu memikirkan kaedah lebih inklusif berdepan kelompok LGBT secara positif.
Kuala Lumpur – Seseorang Muslim itu tidak sesekali akan menggadaikan nilai Islam dalam dirinya hanya supaya dirinya diterima.
Itu jawapan Pengasas dan Pengarah Pusat Pemikiran dan Pendidikan Islam di University of South Australia, Prof Dr Mohamad Abdalla ketika ditanya reaksinya terhadap Indeks Hak Trans Global yang meletakkan Malaysia sebagai negara kedua teruk bagi kelompok transgender.
Beliau berkata adalah mustahil kelakuan songsang itu diterima umat Islam kerana ia tidak diterima dalam ajaran agama.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia perlu memikirkan kaedah lebih inklusif berdepan dengan kelompok LGBT secara positif.
“Ia antara cabaran baharu yang dihadapi komuniti Muslim dan mereka masih bertungkus lumus mencari kaedah untuk menghadapinya,” katanya kepada The Merdeka Times selepas program syarahan Distinguished Scholar Lecture mengenai Islam di Australia anjuran International Institute of Islamic Thought and Civilization-IIUM dan Australian High Commission Malaysia di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan Indeks Hak Trans Global meletakkan Malaysia di kedudukan kedua, di belakang negara Amerika Selatan, Guyana, dalam senarai negara paling teruk bagi transgender.
Menerusi data direkodkan dalam indeks itu, Malaysia mencatat -105 mata dengan rating ‘F’ di mana golongan transgender dikatakan berdepan pelbagai halangan dalam negara, sekaligus menjadi sasaran pihak polis.
Prof Mohamad Abdalla berkata mendepani isu kelompok LGBT adalah cabaran bagi komuniti Muslim, termasuk di Australia.
“Sesetengah keluarga tidak pasti bagaimana menanganinya dan kini sekolah-sekolah Islam sedang memikirkan apa boleh dilakukan untuk mendidik golongan muda tentang isu ini tanpa melanggar sebarang undang-undang,” katanya.
Merujuk kepada situasi di Australia, beliau berkata “sesetengah keluarga berasa sukar berdepan dengan situasi ini sehingga ada membuat keputusan berhijrah ke negara lain”.
Prof Mohamad Abdalla merupakan penerima pingat anugerah Member of the Order of Australia (AM) atas pencapaian dan kecemerlangan khidmat baktinya terhadap pendidikan dalam bidang pengajian Islam di Australia. – The Merdeka Times
