Connect with us

Terkini

Tiada sebarang kuota ikut kaum dalam pengambilan ATM – Mohamad Hasan

Tiada sebarang kuota khusus berasaskan kaum ditetapkan berhubung pengambilan anggota dan pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tiada sebarang kuota ikut kaum dalam pengambilan ATM – Mohamad Hasan
Foto: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) di Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Wisma Pertahanan hari ini.
  • Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, sekali gus mengesahkan peratusan rendah penyertaan bukan Bumiputera dalam ATM bukan berpunca daripada faktor kuota.
  • “Kami tidak mengenakan kuota mengikut kaum. Peratusan penyertaan mereka (bukan Bumiputera) amat rendah dalam ATM.”
  • “Mereka nampak ada kerja lain seperti berniaga yang memberikan dan menjanjikan pulangan yang lumayan…jadi ia bukan disebabkan tidak ada pelan persaraan,” katanya ketika sidang selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kuota khusus berasaskan kaum ditetapkan berhubung pengambilan anggota dan pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, sekali gus mengesahkan peratusan rendah penyertaan bukan Bumiputera dalam ATM bukan berpunca daripada faktor kuota.

“Kami tidak mengenakan kuota mengikut kaum. Peratusan penyertaan mereka (bukan Bumiputera) amat rendah dalam ATM.

“Mereka nampak ada kerja lain seperti berniaga yang memberikan dan menjanjikan pulangan yang lumayan…jadi ia bukan disebabkan tidak ada pelan persaraan,” katanya ketika sidang selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pengambilan dibuat ATM dua kali dalam setahun yang membabitkan 6,000 hingga 7,000 anggota.

Sementara itu, beliau berkata ATM mempunyai banyak perancangan bagi mempersiapkan anggotanya untuk persaraan, antaranya pelbagai kursus peralihan yang dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Selain itu, katanya, pelbagai perancangan dibuat untuk menarik golongan bukan Bumiputera menyertai ATM antaranya membuka permohonan secara dalam talian dan mengadakan jerayawara di seluruh negara.

“Nampaknya ia amat tidak menggalakkan dan masih rendah. Oleh itu, kami tidak mahu perkara ini berterusan dan berharap kerjaya sebagai anggota tentera akan lebih menarik minat semua kaum,” katanya.

Mengulas isu pembelian meriam mudah gerak (SPH) 155mm, Mohamad berkata, walaupun proses perolehan aset itu dibatalkan, senjata berkenaan tetap akan dibeli menerusi tender terbuka.

“Meriam berkenaan diperlukan tentera darat terutamanya Kor Artileri, tetapi proses perolehannya kami batalkan kerana ia dulu melalui runding terus, jadi kami telah buat tender terbuka.

“Pembelian meriam berkenaan selepas ini akan dibuat dengan memastikan ia benar-benar mengikut spesifikasi diperlukan ATM,” katanya.

Perolehan SPH sebahagian daripada rancangan ATM untuk mempertingkat ketumbukan Tentera Darat Malaysia.

Terdahulu, Mohamad menyampaikan 15,000 bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota tentera yang bertugas di perbatasan dan perairan negara yang akan diedarkan sebelum perayaan itu.

Turut hadir Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

Sumber: Berita Harian

Author