Terkini
Seramai 15,000 banduan, bekas banduan disasar dapat pekerjaan tahun ini
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Jabatan Penjara (JPM) menyasarkan seramai 15,000 banduan, bekas banduan dan penghuni Sekolah Henry Gurney akan mendapat pekerjaan tahun ini.
- Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Jabatan Penjara (JPM) menyasarkan seramai 15,000 banduan, bekas banduan dan penghuni Sekolah Henry Gurney akan mendapat pekerjaan tahun ini.
- “Seramai 77,000 banduan yang sedang dipenjarakan, mampu menjadi tenaga kerja produktif dan bersedia untuk ditempatkan dalam sektor pekerjaan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.” – Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
- Sivakumar berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Kolaborasi (NoC) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan JPM di Wisma Perkeso di sini hari ini.
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Jabatan Penjara (JPM) menyasarkan seramai 15,000 banduan, bekas banduan dan penghuni Sekolah Henry Gurney akan mendapat pekerjaan tahun ini.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata ketika ini terdapat seramai 77,000 banduan yang sedang dipenjarakan, mampu menjadi tenaga kerja produktif dan bersedia untuk ditempatkan dalam sektor pekerjaan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.
“Kita terlalu bergantung kepada pekerja asing. Adalah kerugian jika kita tidak memanfaat tenaga kerja negara.
“Sehubungan itu saya menyeru supaya lebih banyak majikan tampil bagi memberi peluang kedua kepada golongan ini untuk meneruskan kehidupan baharu selepas menjalani hukuman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Kolaborasi (NoC) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan JPM di Wisma Perkeso di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Beliau berkata sejak 2021 hingga Mac lepas, seramai 588 banduan, bekas banduan dan penghuni Sekolah Henry Gurney telah mendapat tawaran pekerjaan menerusi inisiatif seperti Program Penempatan Penghuni Bebas Lesen dan Program Re-Entry@MyFutureJobs.
“Jumlah itu melibatkan 409 bekas banduan, 44 orang yang diparol dan orang diselia, manakala bakinya melibatkan penghuni Sekolah Henry Gurney,
Sementara itu, Sivakumar berkata tenaga kerja asing dari Kemboja dijangka meningkat hasil dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kemboja pada 27 Mac lepas.
Dalam lawatan kerja yang turut disertai beliau itu, katanya Kemboja bersetuju memberikan latihan dan pendedahan terhadap tenaga kerja mereka, sebelum dihantar ke Malaysia.
Menurutnya mengikut rekod kementerian itu, setakat ini terdapat seramai 4,422 pekerja Kemboja di negara ini dengan 926 orang daripadanya merupakan pekerja domestik.
Sumber: Bernama