Connect with us

Terkini

Sediakan ruang untuk pelajar salur maklumat gangguan seksual di sekolah

Ruang untuk pelajar menyalurkan maklumat gangguan seksual, secara lisan atau bertulis, perlu disediakan di sekolah, kata Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Sediakan ruang untuk pelajar salur maklumat gangguan seksual di sekolah
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Melaluinya, maklumat gangguan seksual dapat dikumpul dan tindakan bersesuaian boleh diambil pihak sekolah.
  • “Mungkin boleh dibuat dalam bentuk peti cadangan, ataupun boleh guna guru-guru kaunselor di sekolah atau tulis surat kepada pengetua… jadi ada banyak kaedah sama ada secara lisan atau tulisan”. – Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
  • Penerangan isu gangguan seksual perlu diberikan secara kerap di sekolah untuk tingkatkan kesedaran.
  • Pihak terlibat diingatkan tidak menyembunyikan isu gangguan seksual, sebaliknya jika ada maklumat tindakan drastik perlu diambil mengikut SOP ditetapkan.

KUALA LUMPUR – Ruang untuk pelajar menyalurkan maklumat gangguan seksual, secara lisan atau bertulis, perlu disediakan di sekolah, kata Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, melaluinya, maklumat berkaitan gangguan seksual dapat dikumpul dan tindakan bersesuaian boleh diambil pihak sekolah.

“Mungkin boleh dibuat dalam bentuk peti cadangan, ataupun boleh guna guru-guru kaunselor di sekolah atau tulis surat kepada pengetua… jadi ada banyak kaedah sama ada secara lisan atau tulisan,” katanya kepada The Merdeka Times ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah terbaik yang dapat diambil untuk mengatasi masalah gangguan seksual di sekolah.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan sedang memperincikan syor Jawatankuasa Anti Gangguan Seksual bagi mendapatkan penyelesaian terbaik dalam menangani isu gangguan seksual dalam kalangan pelajar sekolah.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata penerangan mengenai isu gangguan seksual itu juga perlu diberikan secara kerap di sekolah termasuk menjelaskan definisi perbuatan gangguan seksual, tindakan boleh diambil dan bagaimana cara hendak menyalurkan maklumat jika perkara itu berlaku.

“Kempen-kempen berkenaan ini perlu dibuat secara berterusan untuk meningkatkan kesedaran semua warga sekolah bahawa ini merupakan satu yang menyalahi peraturan.

“Kita tak nak timbul perasaan takut, emosi terjejas hingga tugasan menjadi tidak produktif apabila mereka (mangsa) tertekan dengan gangguan seksual ini,” katanya.

Beliau berkata pemantauan, tindakan bersesuaian dan patuh SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan dalam menangani gangguan seksual adalah langkah terbaik untuk mengatasi isu sedemikian termasuk kes liwat di asrama.

Beliau turut mengingatkan pihak terlibat untuk tidak menyembunyikan isu gangguan seksual, sebaliknya jika ada maklumat tindakan drastik perlu diambil mengikut SOP ditetapkan.

Katanya, melalui keseriusan kementerian menangani isu terbabit, maka ia akan membuatkan pelajar lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam permasalahan itu.

Diminta mengulas cadangan beberapa pihak yang menasihatkan ibu bapa menghantar anak ke asrama selepas berusia 16 tahun untuk mengelak dari menjadi mangsa ‘grooming’ homoseksual, Alimuddin berpandangan tiada keperluan untuk mengubah perkara itu.

“Pelajar-pelajar masuk ke asrama pada tingkatan satu ini bermula sejak negara kita sudah merdeka lagi.

“Tiada sebab kita nak tukar dasar-dasar itu. Apa yang penting pemantauan, tindakan bersesuaian dan juga mematuhi SOP ditetapkan itu adalah langkah terbaik untuk mengatasi isu-isu ini.

“Jadi pada pandangan saya.. tidak perlulah kita ubah peraturan itu kerana apa yang ada sekarang ini telah berjalan dengan baik kerana ia juga ada kesan-kesan lain (jika dilaksanakan),” katanya.

The Merdeka Times sebelum ini melaporkan ramai netizen lelaki di Twitter mengaku terjebak hubungan homoseksual hingga ada di antara mereka menghidap HIV ekoran menjadi mangsa gangguan seksual kaum sejenis semasa sekolah berasrama. – The Merdeka Times

 

Author