Terkini
NGO bawah KBS anjur program ziarah gereja sasar belia selain Kristian
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya.
- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya.
- Program itu bertujuan memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.
- Program itu dijadualkan berlangsung pada 18 Mac, Sabtu ini di Church Of Our Lady Of Louders, Klang.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya.
Program NGO bernaung di bawah agensi pembangunan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjemput belia, khususnya bukan Kristian, terlibat bersama dengan matlamat memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.
“Perlukan belia bukan Kristian!
“Program kali ini akan memberi pendedahan, terutama buat belia untuk mengetahui lebih tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawanan.
“Berminat? Klik link di bio untuk daftar,” menurut poster dikongsikan dalam akaun Instagram, Impact Malaysia sebelum ini.
Bagaimanapun, tinjauan The Merdeka Times hari ini mendapati poster berkenaan telah dialih keluar dari laman Instagram itu.
Program itu dijadualkan berlangsung pada 18 Mac, Sabtu ini di Church Of Our Lady Of Louders, Klang.
Terdahulu, Impact Malaysia menganjurkan program serupa di Masjid pada 4 Mac lalu menyasarkan belia bukan Muslim dan di Gurdwara pada 11 Mac lalu menyasarkan belia bukan Sikh.
Kedua-dua poster bagi program di Masjid dan Gurdwara itu masih kekal di akaun IG NGO berkenaan. – The Merdeka Times