Terkini
(VIDEO) Mentega Terbang: Kandungan kreatif tidak perlu nasihat agama
Itu antara gesaan sebilangan kumpulan masyarakat sivil, pertubuhan kreatif dan individu yang mengeluarkan kenyataan bersama meminta kerajaan Malaysia berhenti memburu filem Mentega Terbang.
- Satu kenyataan bersama oleh 42 pihak merangkumi kumpulan masyarakat sivil, pertubuhan kreatif dan individu menggesa kerajaan Malaysia untuk berhenti memburu filem Mentega Terbang.
- “Kami berpendirian bahawa penyelesaian jangka panjang tidak terletak pada penapisan filem yang lebih ketat, atau pelaksanaan hukuman terhadap penggiat seni dan bukan sama sekali dengan memberi kuasa kepada penasihat agama ke atas kandungan kreatif.” – Kenyataan
- Filem Mentega Terbang ditayangkan di platform penstriman digital Viu selama lebih sebulan sebelum dialih keluar akibat dikritik kerana kandungannya yang mempersenda agama.
“Usah beri kuasa kepada penasihat agama ke atas kandungan kreatif.”
Itu antara gesaan sebilangan kumpulan masyarakat sivil, pertubuhan kreatif dan individu yang mengeluarkan kenyataan bersama meminta kerajaan Malaysia berhenti memburu filem Mentega Terbang.
View this post on Instagram
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh 42 pihak termasuk Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Amnesty International Malaysia, Freedom Film Network, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Justice for Sisters, Iman Research, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), ahli akademik Zaharom Nain, penerbit filem Zarul Albakri, pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin, penulis Faisal Tehrani, pencipta lagu Azmyl Yunor dan banyak lagi.
Menurut kenyataan itu, kerajaan perlu memastikan kandungan kreatif yang dianggap menyinggung oleh segelintir individu dan kumpulan tertentu mesti dikendalikan secara bebas, profesional dan telus untuk melindungi kebebasan kreativiti artis dan juga kanak-kanak bawah umur.
“Kami berpendirian bahawa penyelesaian jangka panjang tidak terletak pada penapisan filem yang lebih ketat, atau pelaksanaan hukuman terhadap penggiat seni dan bukan sama sekali dengan memberi kuasa kepada penasihat agama ke atas kandungan kreatif.”
Mereka turut kesal apabila kerajaan dijangka akan campur tangan akibat rungutan yang diperbesarkan melalui media sosial dan laporan polis.
Selain itu, mereka mempersoalkan siasatan polis terhadap pembikin filem tersebut, berkemungkinan di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Penggunaan undang-undang ini menyatakan secara tidak langsung bahawa pembikin filem Mentega Terbang sengaja mencetuskan ketidakharmonian dalam negara.”
Mereka juga percaya persekitaran yang memupuk kepelbagaian sudut pandangan, perdebatan yang sihat, penglibatan yang penuh hormat, dan semangat kreativiti dan inovasi tanpa rasa takut perlu diwujudkan demi menjayakan aspirasi Malaysia Madani.
Filem Mentega Terbang yang dihasilkan pada 2021 mencetuskan kontroversi sejak ia ditayangkan menerusi platform penstriman digital Viu pada 19 Januari lalu.
Ia dikritik kerana kandungannya yang mempersenda agama dan bertentangan akidah, sebelum dialih keluar dari Viu pada 27 Februari.
Penolakan terhadap tayangan filem indie itu bukan sahaja dari kalangan umat Islam, malah penganut agama lain juga menganggap kandungannya mampu menjejaskan nilai keaslian agama. – The Merdeka Times