Terkini
JAIPk siasat dakwaan pasaraya jual ayam sembelihan tidak ikut syarak
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan, sebuah pasar raya di sini menjual ayam segar secara pembungkusan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

- Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan, sebuah pasar raya di sini menjual ayam segar secara pembungkusan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
- Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata siasatan bakal dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk walaupun pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi, sebaliknya hanya berdasarkan dakwaan di media sosial.
- “Insya-Allah kita akan siasat. JAIPk akan tetap menyiasatnya kerana kita akan pastikan umat Islam makan hanya yang halal lagi Toiyiba (baik),” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.
- Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pengguna Facebook (FB) menggunakan akaun bernama Fathin Elida yang memuat naik hantaran di kumpulan FB ‘Anak Kuala Kangsar’ mengenai isu terbabit, semalam.
- Pengguna FB itu mendakwa, terdapat kesan tebukan atau cucukan pada leher ayam yang dibelinya, sekali gus menyimpulkannya ia tidak halal.
KUALA KANGSAR: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan, sebuah pasar raya di sini menjual ayam segar secara pembungkusan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata siasatan bakal dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk walaupun pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi, sebaliknya hanya berdasarkan dakwaan di media sosial.
“Insya-Allah kita akan siasat. JAIPk akan tetap menyiasatnya kerana kita akan pastikan umat Islam makan hanya yang halal lagi Toiyiba (baik),” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pengguna Facebook (FB) menggunakan akaun bernama Fathin Elida yang memuat naik hantaran di kumpulan FB ‘Anak Kuala Kangsar’ mengenai isu terbabit, semalam.
Berdasarkan hantaran yang disertakan dengan gambar ayam segar dibungkus itu, pengguna FB berkenaan meminta warga FB lain membincangkan mengenai tindakan pekerja pasar raya terbabit yang sering berdalih apabila diminta memberikan bersama kepala ayam segar ketika ia dibeli.
Pengguna FB itu mendakwa, terdapat kesan tebukan atau cucukan pada leher ayam yang dibelinya, sekali gus menyimpulkannya ia tidak halal.
Pengguna Facebook itu juga memaklumkan, sudah cuba melaporkan hal itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi tidak berjaya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata berdasarkan sistem e-aduan KPDN, jabatan itu setakat semalam belum menerima sebarang aduan rasmi berkenaan isu terbabit.
Sumber: Berita Harian
