Terkini
Bukan mudah untuk tambah baik status perjawatan guru KAFA – Menteri Agama
Bukan suatu proses yang mudah dan singkat bagi menambah baik status perjawatan kontrak guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) ke jawatan tetap dan berpencen, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
- Mahu tambah baik status perjawatan kontrak guru KAFA bukan mudah kerana terdapat perkara-perkara perlu dikaji.
- Kerajaan sentiasa berusaha untuk menjaga dan membela nasib 35,000 guru KAFA di seluruh negara – Menteri Agama
- Antaranya, aspek kenaikan elaun, caruman KWSP dan caruman PERKESO yang dinikmati oleh guru-guru KAFA.
- Ini membuktikan komitmen kerajaan sehingga ke hari ini memberikan yang terbaik untuk guru KAFA.
- Bagaimanapun, ketika diberi pilihan sama ada kadar elaun dinaikkan atau perjawatan tetap dalam perkhidmatan guru KAFA, rata-rata guru yang ditemu bual mahukan perjawatan tetap.
KUALA LUMPUR – Bukan suatu proses yang mudah dan singkat bagi menambah baik status perjawatan kontrak guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) ke jawatan tetap dan berpencen, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut beliau, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan dikaji untuk kebolehlaksanaan kepada semua guru KAFA.
“Kerajaan sentiasa menaruh harapan tinggi agar usaha untuk menaik taraf perkhidmatan Guru KAFA dapat direalisasikan dengan sokongan padu daripada semua pihak,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir berhubung kajian semula elaun guru KAFA dan langkah proaktif bagi membantu mereka mendapat perjawatan tetap serta berpencen.
Selain itu, Shahidan dan Mohd Misbahul juga mencadangkan kepada Mohd Na’im agar elaun guru KAFA dinaikkan dari RM1,100.00 ke RM1,500.00 bagi mencapai paras garis gaji minimum.
Mohd Na’im berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk menjaga dan membela nasib 35,000 guru KAFA di seluruh negara.
Antaranya, dari aspek kenaikan elaun, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dinikmati oleh guru-guru KAFA.
“Pada tahun 2016 elaun guru KAFA sebanyak RM800.00 sebulan dan pada 2017 kerajaan telah meluluskan tambahan elaun sebanyak RM100.00 menjadikan elaun guru KAFA berjumlah RM900.00 sebulan.
“Tahun 2020, kerajaan telah meluluskan tambahan elaun sebanyak RM100.00 menjadikan elaun guru KAFA berjumlah RM1,000.00 sebulan, caruman KWSP berjumlah RM130.00 sebulan dan caruman PERKESO berjumlah RM16.65 sebulan.
“Pada 2023 kerajaan telah meluluskan tambahan elaun RM100.00 menjadikan elaun guru KAFA berjumlah RM1,100.00, caruman KWSP berjumlah RM143.00 sebulan dan caruman PERKESO berjumlah RM18.35 sebulan,” katanya.
Katanya, kronologi ini membuktikan komitmen kerajaan sehingga ke hari ini memberikan yang terbaik untuk guru KAFA.
Pada 20 Februari lalu, The Merdeka Times melaporkan rintihan guru KAFA menerusi artikel guru KAFA terkilan gaji warga asing lebih tinggi, nasib tidak terbela.
Ketika diberi pilihan sama ada kadar elaun dinaikkan atau perjawatan tetap dalam perkhidmatan guru KAFA, rata-rata guru yang ditemu bual mahukan perjawatan tetap.
Menurut mereka perjawatan ini lebih menjamin hari tua berbanding upah bulanan yang diterima kerana elaun hanya boleh dapat pada masa itu sahaja.
Tambahan lagi, semua guru KAFA tertakluk di bawah terma dan syarat Contract For Service (CFS) dan bukannya Contract Of Service (COS). – The Merdeka Times