Terkini
Tiada kompromi dalam keselamatan & kedaulatan negara – KP Imigresen
Kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.
- Kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.
- Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, perkara itu termasuk keperluan memiliki dokumen perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan dibenarkan serta pematuhan kepada syarat pas dikeluarkan.
- “Kita akan sentiasa memastikan perkara ini dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan elemen keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi,” katanya.
PUTRAJAYA: Kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, perkara itu termasuk keperluan untuk memiliki dokumen perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat pas yang dikeluarkan.
“Kita akan sentiasa memastikan perkara ini dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan elemen keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Khairul Dzaimee mengulas laporan sebuah portal berita mendakwa Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) mengecam serbuan pekerja asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan pada 1 Februari lalu.
Beliau berkata, pihaknya mendapati seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan itu tidak berniat untuk pulang ke negara asal, sebaliknya ingin terus berada di sini dalam tempoh yang panjang walaupun tanpa dokumen yang sah.
“Ia adalah berdasarkan penempatan tersebut merupakan sebuah perkampungan yang telah lama wujud di dalam hutan dan berada di kawasan yang tidak rata dan berpaya.
“Akses ke kawasan tersebut dengan berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer, dikelilingi besi serpihan jerat serta anjing liar dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti beberapa unit genset dan sekolah yang menggunakan silibus pendidikan negara jiran,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, operasi yang dilaksanakan oleh pihak Imigresen ini juga adalah teratur dan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Operasi penguatkuasaan ini tidak terkait dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Januari lalu.
“RTK 2.0 ini antara lain bertujuan untuk memastikan warga asing yang berada dan bekerja dalam negara secara tidak sah diregularisasi untuk bekerja secara sah,” katanya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan di kawasan itu dilaksanakan setelah mendapat aduan daripada orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat serta hasil risikan yang telah dilaksanakan oleh Imigresen selama sebulan.
“Seramai 68 orang warga Indonesia telah diperiksa dan seramai 67 orang berusia antara dua bulan hingga 72 tahun yang terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan.
“Antara kesalahan yang telah dikenal pasti ialah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Menurutnya, Imigresen turut menjumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang.
“Terdapat cubaan daripada beberapa PATI untuk meloloskan diri daripada ditahan malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap, namun dapat dipatahkan oleh pasukan operasi Imigresen,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tahanan itu telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Berkenaan aspek kebajikan tahanan di depot-depot tahanan Imigresen, kita sentiasa komited memastikan kesemua aspek kebajikan tahanan sentiasa terjaga dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan termasuk kebajikan kepada tahanan wanita dan kanak-kanak.
“Kita sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan pada kadar segera,” katanya.
Sumber: Astro Awani