Connect with us

Antarabangsa

Rejim Zionis buka 9 penempatan haram baharu di Tebing Barat

Israel meneruskan pembukaan sembilan lagi pos penempatan haram Yahudi di Tebing Barat semalam tanpa mempedulikan teguran Amerika Syarikat (AS).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Rejim Zionis buka 9 penempatan haram baharu di Tebing Barat
Gambar sekadar hiasan.
  • Rejim Zionis mengumumkan pembinaan besar-besaran kediaman baharu di kawasan penempatan ditetapkan, meskipun langkah itu mungkin mendapat tentangan AS.
  • Dua pemimpin haluan kanan pro penerokaan haram dalam kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, umum pelaksanaan keputusan Kabinet Keselamatan pada 1 November lalu memperlihatkan tindakan keras mereka.
  • Kebanyakan kuasa dunia anggap penempatan itu sebagai haram dan menyalahi undang-undang kerana mengambil tanah di mana rakyat Palestin tinggal dan mahu menjadikan negara mereka, namun Israel mempertikaikannya.

BAITULMAQDIS: Israel meneruskan pembukaan sembilan lagi pos penempatan haram Yahudi di Tebing Barat semalam tanpa mempedulikan teguran Amerika Syarikat (AS).

Rejim Zionis itu turut mengumumkan pembinaan besar-besaran kediaman baharu di kawasan penempatan yang sudah ditetapkan, meskipun langkah terbabit mungkin mendapat tentangan AS.

Dua pemimpin haluan kanan pro penerokaan haram dalam kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mengumumkan pelaksanaan keputusan Kabinet Keselamatan pada 1 November lalu itu, sekali gus memperlihatkan tindakan keras mereka.

Kebanyakan kuasa dunia menganggap penempatan itu sebagai haram dan menyalahi undang-undang kerana mengambil tanah di mana rakyat Palestin tinggal dan mahu menjadikan negara mereka, namun Israel mempertikaikannya.

Sejak menawan Tebing Barat dalam perang 1967, Israel mewujudkan 132 penempatan haram di wilayah Palestin, menurut kumpulan pemerhati, Peace Now.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai peneroka Yahudi mendirikan banyak pos tanpa kebenaran kerajaan, dengan ada yang sudah dibakar polis, sementara yang lain diberi kuasa secara retroaktif.

Sembilan kelulusan yang diberikan secara retroaktif pada Ahad lalu adalah yang pertama di bawah kerajaan Netanyahu.

Kenyataan dari pejabat Netanyahu juga memaklumkan jawatankuasa perancangan akan bersidang dalam beberapa hari akan datang untuk meluluskan rumah di penempatan baharu.

Menteri Kewangan sayap kanan, Bezalel Smotrich, berkata jumlah perumahan yang dibenarkan adalah sekitar 10,000 unit.

Sementara itu, pentadbiran Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata pengumuman Israel pada Ahad lalu itu harus dikecam dan ditolak.

“Ia satu cabaran kepada usaha AS dan Arab serta provokasi kepada rakyat Palestin, sekali gus membawa kepada lebih banyak ketegangan,” kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeineh.

Tiada komen segera daripada Kedutaan AS, namun Duta AS, Thomas Nides, sudah menjelaskan bulan lalu bahawa pentadbiran AS akan menentang langkah sedemikian.

“Kami mahu mengekalkan visi penyelesaian dua negara. Beliau (Netanyahu) memahami kami bahawa pertumbuhan penempatan besar-besaran tidak akan mencapai matlamat itu,” katanya.

Kenyataan Smotrich, rakan ultranasionalis Itamar Ben-Gvir dan pejabat Netanyahu menganggap desakan penempatan itu sebahagiannya sebagai tindak balas terhadap serangan Palestin baru-baru ini.

Bagaimanapun, mereka sudah bersetuju dengan rancangan sedemikian sebelum kerajaan gabungan parti campuran Israel mengangkat sumpah pada 29 Disember lalu.

Sambil mengalu-alukan pengumuman oleh kerajaan Netanyahu, pemimpin peneroka di Tebing Barat, Yossi Dagan, menggesa penarikan sepenuhnya sekatan pembinaan, untuk membolehkan rancangan pembinaan berjalan lancar.

Wilayah Palestin lain, Gaza, berada di bawah kumpulan Islam Hamas yang menolak perdamaian dengan Israel.

Sumber: Berita Harian

Author