Antarabangsa
Masjid di UK terima surat layang rai kematian mangsa gempa di Turkiye, Syria
Masjid-masjid di London menerima surat tanpa nama yang meraikan kematian beribu-ribu orang di Turkiye dan Syria dalam gempa bumi dua minggu lalu dan berharap lebih banyak musibah menimpa umat Islam di rantau itu.

- Masjid-masjid di London menerima surat tanpa nama yang meraikan kematian beribu-ribu orang di Turkiye dan Syria.
- Saya ingin memberitahu dengan jelas bahawa saya tidak merasakan kesedihan yang mendalam beribu-ribu orang mati. Saya hanya benar-benar kesal kerana lebih ramai orang Islam tidak mati. – tulis surat itu.
- Penulis yang belum dikenal pasti itu berharap agar lebih banyak kematian berlaku di rantau itu.
Masjid-masjid di London menerima surat tanpa nama yang meraikan kematian beribu-ribu orang di Turkiye dan Syria dalam gempa bumi dua minggu lalu dan berharap lebih banyak musibah menimpa umat Islam di rantau itu.
Masjid Ramadan dan Masjid Aziziye menerima surat penuh kebencian itu semasa seluruh dunia menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa di negara terbabit.
“Saya ingin memberitahu dengan jelas bahawa saya tidak merasakan kesedihan yang mendalam beribu-ribu orang mati. Saya hanya benar-benar kesal kerana lebih ramai orang Islam tidak mati,” tulis surat itu.
Menyatakan rasa gembira atas penderitaan dan kematian yang disebabkan gempa bumi pada 6 Februari lalu, penulis yang belum dikenal pasti itu berharap agar lebih banyak kematian berlaku di rantau itu.
Pengerusi Masjid Ramadan, Erkin Gurney, berkata kepada agensi berita Anadolu bahawa kandungan surat itu “sangat gelap, menjengkelkan dan sangat mengganggu”.
Turut menerima surat itu adalah Ebu Bekir Tezgel, seorang Imam di Masjid Aziziye di Stoke Newington, yang mengatakan beliau menerima sepucuk surat mempunyai “kenyataan yang membimbangkan” tentang Muslim.
“Terkejut untuk menerima surat sebegini di kala semua masyarakat di dunia bersatu untuk menunjukkan sokongan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria,” katanya.
Mereka pernah menerima ancaman sama pada masa lalu, namun kali ini kebenciannya adalah “pada tahap lain,” kata Tezgel.
Sumber: TRT World
