Antarabangsa
Lebih 2,000 lelaki ditahan banteras kahwin kanak-kanak bawah umur di India
Polis India menahan lebih 2,000 lelaki dalam usaha membanteras perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun di negeri timur laut.
- Polis India menahan lebih 2,000 lelaki dalam usaha membanteras perkahwinan kanak-kanak secara haram membabitkan kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun di negeri timur laut.
- Mereka yang ditahan termasuk lebih 50 sami Hindu dan pendakwah Islam kerana melaksanakan perkahwinan untuk gadis bawah umur di Assam. – Ketua Polis Gyanendra, Pratap Singh
- “Setakat ini kami sudah menahan 2,169 lelaki berdasarkan 4,074 kes dilaporkan membabitkan seramai kira-kira 8,000 lelaki.”
- “Perkahwinan kanak-kanak menjadi antara punca kematian bayi dan kadar kematian ibu yang tinggi di negeri ini,” katanya.
GUWAHATI, INDIA: Polis India menahan lebih 2,000 lelaki dalam usaha membanteras perkahwinan kanak-kanak secara haram membabitkan kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun di negeri timur laut.
Ketua Polis Gyanendra, Pratap Singh, berkata mereka yang ditahan termasuk lebih 50 sami Hindu dan pendakwah Islam kerana didakwa melaksanakan perkahwinan untuk gadis bawah umur di Assam.
“Setakat ini kami sudah menahan 2,169 lelaki berdasarkan 4,074 kes dilaporkan membabitkan seramai kira-kira 8,000 lelaki.
“Perkahwinan kanak-kanak menjadi antara punca kematian bayi dan kadar kematian ibu yang tinggi di negeri ini,” katanya.
Menurut Biro Rekod Jenayah Kebangsaan, kebanyakan kes perkahwinan kanak-kanak di Assam yang mempunyai 35 juta orang penduduk, tidak dilaporkan.
Hanya 155 kes perkahwinan kanak-kanak di negeri ini didaftarkan pada 2021 dan 138 pada 2020.
Di India umur sah berkahwin adalah 21 tahun untuk lelaki dan 18 tahun untuk wanita, namun kemiskinan, kekurangan pendidikan dan norma serta amalan sosial, khususnya di kawasan luar bandar, dianggap sebagai punca perkahwinan kanak-kanak berlaku di seluruh negara.
Susulan penahanan itu, beberapa wanita muda bersama bayi menangis dan membantah penahanan mengejut suami masing-masing.
Parlimen India sedang mempertimbangkan undang-undang untuk meningkatkan umur perkahwinan bagi wanita kepada 21 daripada 18 tahun, sekali gus menyamai had umur lelaki.
Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak India, Smriti Irani, berkata di Parlimen pada Jumaat, langkah itu akan membolehkan kanak-kanak perempuan menamatkan pendidikan mereka dan mencapai kemerdekaan ekonomi selain mencapai kematangan fizikal dan psikologi. – AP
Sumber: Berita Harian