Terkini
Khitan wanita disarankan Islam selamat, tidak memudaratkan – Mufti Pulau Pinang
Khitan yang ditakuti dan dianggap memudaratkan wanita bukanlah khitan disarankan Islam, sebaliknya ‘khitan Firaun’ yang berkemungkinan masih dipraktikkan di beberapa negara tertentu, terutama di Afrika.
- Khitan ditakuti dan dianggap memudaratkan wanita bukanlah khitan disarankan Islam, sebaliknya ‘khitan Firaun’ yang berkemungkinan masih dipraktikkan di beberapa negara tertentu, terutama di Afrika.
- Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata khitan cara Islam tidak boleh dianggap sebagai satu pencerobohan ke atas hak kaum Hawa.
- Beliau berkata khitan cara Islam terbukti selamat dan sudah termaklum sejak ia dipraktikkan masyarakat Islam di pelbagai negara sejak dahulu sehingga ke hari ini.
- Menurut ajaran Islam khitan termasuk salah satu daripada lima sunat fitrah selari dengan keadaan hal semula jadi manusia yang suci iaitu mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan khitan.
KUALA LUMPUR – Khitan yang ditakuti dan dianggap memudaratkan wanita bukanlah khitan disarankan Islam, sebaliknya ‘khitan Firaun’ yang berkemungkinan masih dipraktikkan di beberapa negara tertentu, terutama di Afrika.
Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata khitan cara Islam tidak boleh dianggap sebagai satu pencerobohan ke atas hak kaum Hawa.
Beliau berkata khitan cara Islam terbukti selamat dan sudah termaklum sejak ia dipraktikkan masyarakat Islam di pelbagai negara sejak dahulu sehingga ke hari ini.
Beliau menegaskan dakwaan dibuat sesetengah pihak berkenaan amalan itu adalah tidak tepat.
“Khitan yang memudaratkan dikenali sebagai “khitan Firaun” iaitu membuang daging klitoris dengan kuantiti yang banyak atau sebahagian besar daripadanya.
“Khitan sedemikian tidak diakui oleh syariat Islam.
“Dikatakan bahawa khitan yang sedikit, seperti disarankan di dalam Islam, mampu menyederhanakan syahwat wanita; menjadikannya tidak terlalu mudah terangsang dan tidak pula menjadi sejuk,” katanya kepada The Merdeka Times pada Isnin.
Wan Salim berkata, menurut ajaran Islam khitan termasuk salah satu daripada lima sunat fitrah selari dengan keadaan hal semula jadi manusia yang suci.
Katanya, sunat-sunat itu adalah melibatkan mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan khitan.
“Majoriti fuqaha berpandangan bahawa hukum khitan adalah wajib ke atas lelaki dan sunat bagi wanita.
“Tidak ditemui nas daripada al-Quran atau hadis yang memerintahkan khitan ke atas wanita dewasa atau kanak-kanak.
“Cuma terdapat sebuah hadis riwayat Thabarani dan Baihaqi menyatakan Rasulullah SAW pernah menunjuk ajar Ummu ‘Athiyyah yang bertugas mengkhitankan kanak-kanak perempuan di Madinah tentang cara melakukan khitan yang betul iaitu dengan mengambil sedikit sahaja daging klitoris dan tidak berlebih-lebihan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa khitan perlulah dilaksanakan dengan cermat dan oleh pengkhitan yang mahir supaya tidak memudaratkan orang dikhitan.
Semalam, media melaporkan Pegawai Komunikasi Sisters in Islam (SIS), Aleza Othman menggesa kerajaan untuk mengarahkan semakan semula fatwa Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dikeluarkan 2009 mengenai berkhatan bagi perempuan adalah wajib.
Beliau turut dilaporkan berkata tiada dapatan kukuh dan sahih al-Quran atau sunnah bagi amalan sedemikian.
Katanya, negara Islam lain termasuk Mesir dan Indonesia telah pun mengeluarkan fatwa mengatakan mutilasi alat kelamin perempuan memudaratkan wanita dan kanak-kanak perempuan. – The Merdeka Times