Terkini
COVID-19: Sabah ada hak perketat SOP untuk pelancong China
Sabah sememangnya ada hak untuk menentukan prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan, terutamanya membabitkan kemasukan pengembara dari China dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

- Sabah ada hak tentukan SOP atau peraturan, terutamanya membabitkan kemasukan pengembara dari China dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini.
- Keputusan Sabah tetapkan pengembara China perlu lengkap vaksinasi dan tunjuk sijil bebas COVID-19 sebelum berlepas dari negara berkenaan adalah satu tindakan wajar.
- “Difahamkan, kerajaan China juga menetapkan jika rakyat mereka mahu melancong ke mana-mana pun perlukan kaedah yang serupa. Jadi, ia selari dengan apa yang diumumkan oleh kerajaan Sabah,” kata Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis.
KUALA LUMPUR: Sabah sememangnya ada hak untuk menentukan prosedur operasi standard (SOP) atau peraturan, terutamanya membabitkan kemasukan pengembara dari China dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis, berkata keputusan Sabah yang menetapkan pengembara China perlu lengkap vaksinasi dan menunjukkan sijil bebas COVID-19 sebelum berlepas dari negara berkenaan adalah satu tindakan wajar.
“Perkara yang diumumkan oleh Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, mengenai kaedah RT-PCR atau RTK Ag Professional perlu dibuat dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas adalah sesuatu yang adil.
“Difahamkan, kerajaan China juga menetapkan jika rakyat mereka mahu melancong ke mana-mana pun perlukan kaedah yang serupa. Jadi, ia selari dengan apa yang diumumkan oleh kerajaan Sabah,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, Sabah adalah destinasi yang menjadi tumpuan utama pelancong untuk bercuti di Malaysia, berikutan ia kaya dengan pulau yang cantik.
Katanya, terdapat puluhan penerbangan dari China setiap minggu ke Sabah secara berjadual atau penerbangan sewaan khas dan Sabah sendiri amat pentingkan pelancong dari China.
“Dengan pengumuman berkenaan, saya tidak rasa akan ada tindakan balas atau boikot daripada rakyat China.
“Keputusan itu wajar bagi melindungi rakyat dan pertambahan SOP itu tidak menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak.
“Namun, adalah lebih baik jika syarat ini ditetapkan untuk semua pelancong atau pengembara dari luar negara dan tidak terhad kepada China sahaja disebabkan sifat virus COVID-19 yang dinamik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan statistik, kira-kira 3.1 juta pelancong China melawat negara ini pada 2019 daripada keseluruhan 26.1 juta pelancong dan mereka adalah antara yang paling mahal berbelanja di negara ini.
Terdahulu, Sabah memutuskan semua pengembara dari China yang tiba di negeri itu perlu lengkap vaksinasi dan menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19 yang dibuat sebelum berlepas dari negara berkenaan.
Masidi berkata, ujian itu sama ada menggunakan kaedah RT-PCR atau RTK Ag Professional perlu dibuat dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.
Katanya, prosedur berkenaan dikuatkuasakan mulai 8 Januari ini dalam usaha mengekang peningkatan semula kes COVID-19 di Sabah.
Beliau, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, langkah pengurusan pengembara dari luar negara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet Negeri Sabah, baru-baru ini.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login