Komuniti
Isu Kg Sg Baru, penduduk sifatkan pemimpin Melayu sendiri gadaikan kampung Melayu
Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru kecewa dengan notis pengusiran 30 hari diberikan kepada mereka pada minggu lalu.
- Pesara swasta, Mohd Yusof Mohd Nor, 70, mempertikaikan janji manis yang dibuat ahli politik semasa berkempen pada pilihan raya.
- Beliau menyifatkan pemimpin Melayu menjatuhkan dan menggadaikan kampung Melayu sendiri.
- Penjawat awam, Wan Normastura Abdullah, 41, pula menyifatkan pengusiran yang dibuat itu “tidak berperikemanusiaan”
- “Ia memang kejam dan saya tidak berpuas hati kerana kita perlu menunggu tiga bulan untuk mendapatkan pampasan tetapi pengusiran itu dalam tempoh sebulan,” katanya.
- Suri rumah, Haanafiza Md Hanapi, 47, berkata jumlah wang pampasan yang sudah diterima cukup untuk kegunaan jangka masa pendek.
KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru kecewa dengan notis pengusiran 30 hari diberikan kepada mereka pada minggu lalu.
Pesara swasta, Mohd Yusof Mohd Nor, 70, mempertikaikan janji manis yang dibuat ahli politik semasa berkempen pada pilihan raya.
Beliau juga menyifatkan pemimpin Melayu menjatuhkan dan menggadaikan kampung Melayu sendiri.
“Macam Datuk Jo sendiri cakap, beliau wakil rakyat sini sekarang, katanya akan memastikan pemaju (Ritzy Gloss Sdn Bhd) buat secepat mungkin.
“Tapi sampai sekarang ini tiada apa-apa pun. Cakap-cakap sesiapa sahaja boleh cakap, tetapi tindakan tiada.
“Kita harapkan pemimpin yang ada, satu orang tiada pun yang tunjukkan muka untuk membantu kita, malahan mereka ini memihak kepada pemaju. Itu yang kita nampak,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Jalan Datuk Abdullah Yassin di sini semalam.
Penjawat awam, Wan Normastura Abdullah, 41, pula menyifatkan pengusiran yang dibuat itu “tidak berperikemanusiaan”.
“Ia memang kejam dan saya tidak berpuas hati kerana kita perlu menunggu tiga bulan untuk mendapatkan pampasan tetapi pengusiran itu dalam tempoh sebulan.
“Memang tidak adil sangat-sangat. Macam saya antara sembilan lot yang belum terima lagi pampasan dan kita berurusan dengan Pejabat Tanah dan Galian.
“Jadi, mereka pun tidak boleh memberi keputusan memandangkan sembilan lot ini antara yang sudah memenuhi tempoh 90 hari,” katanya.
Memandangkan Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh dibatalkan, Wan Normastura meminta Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyegerakan proses pemberian wang pampasan.
“Saya antara yang belum terima. Kita menelefon pemaju dan pemaju sendiri maklum yang bulan depan pun belum tentu mereka akan bagi, jadi minta Perdana Menteri untuk tengok balik,” katanya.
Suri rumah, Haanafiza Md Hanapi, 47, berkata jumlah wang pampasan yang sudah diterima cukup untuk kegunaan jangka masa pendek.
“Ikutkan pampasan yang diberikan kalau buat kira-kira untuk kita pindah (rumah), memang susahlah.
“Duduk di sini kita dekat dengan hospital, sekolah, pengangkutan dan kemudahan juga senang.
“Terutamanya untuk mak saya yang dah berumur 65 tahun, jadi untuk dia sesuaikan dengan tempat baru itu memang payah sikitlah,” katanya.
Haanafiza mencadangkan agar kerajaan campuran pada hari ini berfikir lebih panjang tentang penduduk di Kampung Sungai Baru terutama mereka yang berumur 70 tahun dan ke atas.
Kelmarin satu sidang media khas Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru diadakan bagi mengumumkan mengenai berita notis pengosongan rumah yang dihantar Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada penduduk-penduduk di situ.
Turut hadir Pengarah Komunikasi Parti Amanah yang juga Penasihat Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru, Khalid Samad. – The Merdeka Times