Antarabangsa
Pelajar lelaki Afghanistan tinggalkan peperiksaan, profesor letak jawatan bantah larangan wanita di universiti
Beberapa pelajar lelaki telah beredar dari kelas dan ramai profesor universiti di Afghanistan meletak jawatan sebagai bantahan terhadap tindakan pemerintah Taliban tidak membenarkan pelajar wanita di institusi pendidikan.

- Beberapa pelajar lelaki di universiti Nangarhar dilihat berjalan keluar meninggalkan peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki menerusi satu klip video di Twitter.
- Kira-kira 60 profesor yang bekerja di universiti negara itu juga telah meletak jawatan.
- “Tindakan sebegitu (oleh Taliban) amat menyakitkan saya sebagai profesor madya universiti yang menghabiskan lebih 10 tahun dalam sektor pengajian tinggi sebagai pelajar dan pensyarah. Perletakan jawatan saya adalah pilihan terakhir yang saya ada,” – bekas ahli fakulti universiti Kabul, Obaidullah Wardak.
Beberapa pelajar lelaki telah beredar dari kelas dan ramai profesor universiti di Afghanistan meletak jawatan sebagai bantahan terhadap tindakan pemerintah Taliban tidak membenarkan pelajar wanita di institusi pendidikan.
Menerusi satu klip video di Twitter, beberapa pelajar lelaki di universiti Nangarhar juga dilihat berjalan keluar meninggalkan peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki sebagai solidariti dengan rakan wanita mereka.
Memetik laporan Independent, kira-kira 60 profesor yang bekerja di universiti negara itu meletak jawatan.
“Tindakan sebegitu (oleh Taliban) amat menyakitkan saya sebagai profesor madya universiti yang menghabiskan lebih 10 tahun dalam sektor pengajian tinggi sebagai pelajar dan pensyarah. Peletakan jawatan saya adalah pilihan terakhir yang saya ada,” kata seorang bekas ahli fakulti di universiti Kabul, Obaidullah Wardak.
“Askar mereka berjalan di sekitar universiti dan tidak membenarkan orang ramai berkumpul di sana supaya protes dan bantahan dihalang. Mereka juga menangkap beberapa aktivis hak wanita untuk masa yang singkat kerana membantah,” katanya.
Bagaimanapun, menteri pendidikan Taliban mempertahankan keputusan menghentikan wanita daripada belajar di kolej dan universiti dengan menyalahkan pelajar wanita kerana tidak memakai tudung dengan betul serta mengikuti mata pelajaran sains yang tidak sepadan dengan ‘budaya Afghanistan’.
“Kami memberitahu wanita supaya bertudung yang betul tetapi mereka tidak mengikutinya dan mereka berpakaian seperti hendak ke majlis perkahwinan,” kata Nida Mohammad Nadim selaku menteri pendidikan kerajaan sementara.
“Wanita sedang belajar pertanian dan kejuruteraan, tetapi ini tidak sepadan dengan budaya Afghanistan. Wanita perlu belajar, tetapi bukan di bidang yang bertentangan dengan Islam dan kehormatan Afghanistan,” kata pemimpin Taliban itu pada Khamis lalu, beberapa hari selepas mengeluarkan larangan wanita belajar di kolej.
Katanya, langkah melucutkan ribuan wanita daripada pendidikan adalah ‘perlu’ untuk menghentikan percampuran jantina di universiti.
Sumber: Independent
