Connect with us

Ekonomi

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan terunggul di Asia

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan terunggul dan pangkalan para pelabur global untuk mengembangkan perniagaan.

Wartawan TMT

Published

on

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan terunggul di Asia
Foto: Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
  • Malaysia menarik sejumlah RM193.7 bilion (AS$41.7 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari sehingga September 2022 dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini.
  • Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion (AS$10.6 bilion). Ini diikuti oleh Amerika Syarikat (RM16.9 bilion) (AS$3.6 bilion), Belanda (RM16.5 bilion) (RM3.6 bilion), Jerman (RM9.2 bilion) (AS$2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion) (AS$1.9 bilion).
  • Para pelabur menunjukkan keyakinan melabur di Malaysia kerana kepimpinan kerajaan baharu beri tumpuan kukuhkan pembangunan ekonomi negara dan kekalkan reputasi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stabil.
  • “Malaysia mempunyai jenama baik di persada antarabangsa dan merupakan sebuah negara diyakini para pelabur.” – Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, YBhg. Datuk Wira Arham Abdul Rahman.  

 

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan terunggul dan pangkalan para pelabur global untuk mengembangkan perniagaan.

Para pelabur terus menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia kerana kepimpinan kerajaan baharu memberi tumpuan untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi negara dan mengekalkan reputasi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stabil.

Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion (AS$41.7 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari sehingga September 2022 dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini.

Pencapaian ini merupakan peningkatan 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion (AS$45.1 bilion) pelaburan yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan, “Kejayaan Malaysia menarik hampir RM194 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah bukti kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di Asia. Rantaian bekalan yang mantap, struktur kos yang kompetitif, proses operasi perniagaan yang dipermudahkan, inovasi dan keupayaan teknologi canggih, serta bakat tempatan yang terlatih menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

Memandang ke hadapan, MITI dan agensi-agensinya juga akan memastikan agar peluang pelaburan baharu akan membina kapasiti dan modal insan yang sesuai di dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan”.

Advertisement

FDI kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (AS$28.1 bilion), sementara DDI menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (AS$13.6 bilion). Ini merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding FDI yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun 2021.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion (AS$10.6 bilion). Ini diikuti oleh Amerika Syarikat (RM16.9 bilion) (AS$3.6 bilion), Belanda (RM16.5 bilion) (RM3.6 bilion), Jerman (RM9.2 bilion) (AS$2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion) (AS$1.9 bilion).

Lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang signifikan termasuk Johor (RM63.9 bilion) (AS$13.8 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion) (AS$5.6 bilion), Selangor (RM25.7 bilion) (AS$5.5 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) (AS$3.8 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion) (AS$2.6 bilion).

Dalam tempoh ini, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara, merangkumi 58.5 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dengan nilai RM113.3 bilion (AS$24.4 bilion).

Prestasi cemerlang sektor perkhidmatan telah melangkaui jangkaan bagi Januari hingga September 2022, dengan peningkatan sebanyak 60.9 peratus berbanding pencapaian dalam tempoh yang sama pada tahun 2021. Ini diikuti dengan sektor perkilangan dengan RM64.9 bilion (AS$14 bilion) atau 33.5 peratus dan sektor utama pada RM15.5 bilion (AS$3.3 bilion) atau 8 peratus.

YBhg. Datuk Wira Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA berkata, “Malaysia mempunyai jenama yang baik di persada antarabangsa dan merupakan sebuah negara yang diyakini para pelabur. Negara ini mempunyai asas yang kukuh dalam membuka peluang pelaburan dan perniagaan kepada para pelabur.

Advertisement

Dengan iklim pelaburan yang menarik, negara bersedia menjadi hab ekonomi besar yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur.

Malaysia menawarkan pelbagai ciri-ciri kompetitif untuk syarikat-syarikat tampil maju di pasaran antarabangsa melalui kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ekosistem industri yang komprehensif dikelilingi dengan kekayaan sumber asli serta populasi yang muda, berbakat dan berdaya saing.”

“Kerajaan sedang giat melaksanakan langkah-langkah yang agresif dalam menarik lebih banyak projek yang berkualiti tinggi, berimpak tinggi dan berintensifkan modal dalam sektor perkilangan serta perkhidmatan.

Projek-projek ini dijangka akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Kerajaan akan terus memberikan tumpuan dalam ekonomi digital, tenaga dan aktiviti perkilangan bernilai tinggi seperti teknologi pengangkutan termasuk kenderaan elektrik dan ekosistemnya yang bakal menyumbang kepada potensi ekonomi yang ketara dan pembangunan jangka panjang yang mampan.” tambah Datuk Wira Arham.

 

Advertisement

Sektor Perkhidmatan Menerajui Pelaburan Yang Diluluskan

Malaysia sedang pesat berkembang sebagai salah satu daripada ekonomi yang dilengkapi teknologi di Asia.

Melalui digitalisasi, Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang unggul untuk para pelabur domestik dan antarabangsa.

Transformasi digital adalah penting untuk perniagaan yang merangkumi pelbagai saiz dan industri.

Kebanyakan perniagaan kini sedang melalui peralihan digital dan bersiap sedia ke arah pembesaran yang pantas.

Perkhidmatan-perkhidmatan baharu telah diperkenalkan melalui penciptaan Internet Kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan (cloud computing).

Advertisement

Bagi tempoh ini, sektor perkhidmatan merangkumi sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, sebanyak RM113.3 bilion (AS$24.4 bilion) daripada 2,167 projek yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Ini merupakan peningkatan yang memberangsangkan berbanding RM70.4 bilion (AS$16.8 bilion) pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Sejumlah 39,772 pekerjaan baharu dijangka akan diwujudkan dalam sektor perkhidmatan.

Berdasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tempoh Januari hingga September 2022, pelaburan asing merekodkan jumlah terbesar, iaitu RM69 bilion (AS$14.9 bilion) atau 60.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan, manakala baki 39.1 peratus atau RM44.3 bilion (AS$9.5 bilion) adalah daripada sumber domestik.

Subsektor maklumat dan komunikasi mendominasi sektor perkhidmatan, dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM69.2 bilion (AS$14.9 bilion) atau 61.1 peratus.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam subsektor ini, lima (5) perkhidmatan Maklumat dan Komunikasi Teknologi termasuk pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM60.7 bilion (AS$13.1 bilion) atau 87.7 peratus.

Antara subsektor berprestasi yang merekodkan sejumlah besar pelaburan yang diluluskan adalah hartanah (RM16.9 bilion) (AS$3.6 bilion), perkhidmatan kewangan (RM9 bilion) (AS$1.9 bilion), utiliti (RM7.5 bilion) (AS$1.6 bilion) dan perdagangan pengedaran (RM3.7 bilion) (AS$0.8 bilion).

Advertisement

Enam (6) subsektor yang menunjukkan perkembangan positif dari segi peratusan peningkatan pelaburan yang diluluskan merupakan maklumat dan komunikasi, dengan peningkatan sebanyak 1,101.1 peratus.

Ini diikuti dengan perkhidmatan lain dengan peningkatan sebanyak 244.4 peratus, perkhidmatan pendidikan (175 peratus), utiliti (15.5 peratus), perdagangan pengedaran (9.7 peratus) dan perkhidmatan kewangan (3.2 peratus).

Di antara projek utama yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah syarikat Bridge Data Centres Malaysia III Sdn. Bhd., ByteDance System Sdn. Bhd., dan YTL Power International Berhad.

Projek infrastruktur digital ini akan memacu pertumbuhan Malaysia ke arah ekonomi yang mendahulukan digital.

Selain pelaburan digital, projek utama lain dalam sektor perkhidmatan termasuk Mamee Double Decker Ditsribution (M) Sdn. Bhd. (Mamee) yang telah membangunkan Pusat Ibu Pejabat Serantau mereka untuk mengurus aktiviti rantaian bekalan merentasi fasiliti pengilangan syarikat di rantau ini dan menyelaraskan pengedaran produk ke negara-negara di seluruh dunia.

Pelaburan oleh syarikat tempatan seperti Mamee, membuktikan peranan penting DDI dalam membantu membangunkan ekosistem untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memperkasakan kedudukan Malaysia dalam membangunkan keupayaan PKS untuk diintegrasi ke dalam rantaian bekalan global.

Advertisement

 

Sektor Perkilangan Kekal Berdaya Saing

Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor perkilangan bagi tempoh Januari hingga September 2022, mencerminkan daya saing negara sebagai lokasi pelaburan yang terpilih di rantau ini.

Sektor perkilangan menyumbang RM64.9 bilion (AS$14 bilion) (33.5 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi, berbanding RM103.9 bilion (AS$24.8 bilion) untuk tempoh yang sama pada 2021.

Kelulusan beberapa projek besar merupakan penyumbang kepada rekod jumlah pelaburan diluluskan yang tinggi dalam sektor perkilangan pada tempoh yang sama pada 2021.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga September 2022 untuk sektor perkilangan, FDI menyumbang kepada RM50.2 bilion (AS$10.8 bilion) (77.3 peratus) sementara pelaburan domestik menyumbang baki RM14.7 bilion (AS$3.2 bilion) (22.7 peratus).

Advertisement

Daripada pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan berjumlah RM64.9 bilion (AS$14 bilion), pelaburan untuk projek pembesaran/kepelbagaian menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan sebanyak 51 peratus, iaitu sebanyak RM40.2 bilion (AS$8.7 bilion) pada Januari hingga September 2022, berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Baki RM24.7 bilion (AS$5.3 bilion) direkodkan daripada projek-projek baharu.

Antara industri yang menunjukkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan untuk tempoh ini adalah elektrikal dan elektronik (E&E) dengan mencatatkan pelaburan tertinggi bagi sektor perkilangan (RM22.6 bilion) (AS$4.9 bilion), diikuti dengan peralatan pengangkutan (RM7.5 bilion) (AS$1.6 bilion), produk petroleum (termasuk petrokimia) (RM5.5 bilion) (AS$1.2 bilion), produk galian bukan logam (RM5.4 bilion) AS$1.2 bilion), jentera dan kelengkapan (RM4 bilion) (AS$0.9 bilion), peralatan pengukuran dan saintifik (RM3.6 bilion) (AS$0.8 bilion), pengilangan makanan (RM3.2 bilion) (AS$0.7 bilion) dan produk getah (RM3.2 bilion) (AS$0.7 bilion). Kesemua industri ini merangkumi RM54.9 bilion (AS$11.8 bilion) (84.6 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini.

Sebanyak 58,141 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan untuk sektor perkilangan, yang memerlukan 2,631 (4.5 peratus) jawatan pengurusan, 6,277 (10.8 peratus) peranan profesional/teknikal dan penyeliaan, menandakan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi bagi sektor perkilangan. Projek perkilangan yang diluluskan juga akan memerlukan 12,040 (20.7 peratus) pekerja mahir.

Antara projek utama yang diluluskan dalam sektor perkilangan bagi tempoh ini termasuk:

  • Samsung SDI Energy Malaysia Sdn. Bhd. yang mencatatkan kejayaan baharu dalam pembukaan kemudahan pembuatan sel bateri EV Fasa Dua di Malaysia. Gergasi semikonduktor dari Korea tersebut telah melaksanakan pelaburan terkumpul sebanyak RM7 bilion merangkumi Fasa Satu: RM1 bilion dan Fasa Dua: RM6 bilion dengan memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.
  • TF-AMD Microelectronics Sdn. Bhd. telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan kemudahan perkilangannya di Pulau Pinang dengan pembinaan tapak kedua di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang. Dengan pelaburan modal hampir RM2 bilion, kemudahan pembuatan baharu itu dijangka mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan semikonduktor termaju, reka bentuk dan teknologi proses untuk penyelesaian pengkomputeran berprestasi tinggi. Pengembangan strategik melalui pelaburan penting oleh TF-AMD di Malaysia sepanjang 50 tahun ini akan menyokong pertumbuhan berterusan syarikat tersebut.
  • Ferrotec Holdings Corporation, pembekal global bahan, komponen dan sistem ketepatan penyelesaian (precision system solutions), telah mengumumkan pembinaan kemudahan pembuatan baharu di Kulim Hi-Tech Park, Kedah. Kilang yang bakal menjalankan kerja pemasangan elektro-mekanik dan fabrikasi bahan termaju bagi peralatan semikonduktor, berhasrat untuk memenuhi keperluan pelanggan sambil mengembangkan perniagaan kumpulan syarikat di serata dunia.
  • Smart Glove Holdings Berhad, salah satu pengeluar sarung tangan inovatif terkemuka di Malaysia telah mengembangkan kapasiti pengeluaran dengan pelaburan berjumlah RM2 bilion. Pelbagai jenis sarung tangan perubatan syarikat ini diperbuat daripada bahan nitril, getah asli, polychloroprene dan getah sintetik lain, bagi memastikan keberdayasaingan industri asli pembuatan sarung tangan Malaysia di pasaran dunia.

 

Sektor Utama

Advertisement

Sektor utama mencatatkan sejumlah RM15.5 bilion (AS$3.3 bilion) pelaburan yang diluluskan (8 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi tempoh Januari hingga September 2022, berbanding RM14.7 bilion (USD3.5 bilion) pelaburan diluluskan untuk tempoh yang sama pada 2021.

FDI mendominasi sektor utama dengan pelaburan bernilai RM11.5 bilion (AS$2.5 bilion) (74.2 peratus), manakala baki RM4 bilion (AS$0.9 bilion) (25.8 peratus) adalah daripada sumber domestik.

Subsektor pertanian menyumbang RM142.9 juta (AS$30.8 juta) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, merangkumi 760.9 peratus peningkatan daripada pelaburan sebanyak RM16.6 juta (AS$4 juta) dalam tempoh yang sama pada 2021. Manakala, subsektor perladangan dan komoditi merekodkan RM109.1 juta (AS$23.5 juta) pelaburan yang diluluskan, suatu peningkatan sebanyak 28.7 peratus daripada pelaburan berjumlah RM84.8 juta (AS$20.2 juta) untuk tempoh yang sama pada 2021.

Sehingga November 2022, MIDA telah mengenalpasti 285 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM19.9 bilion (AS$4.4 bilion); di mana 247 projek adalah daripada sektor perkhidmatan (RM13.7 bilion) (AS$3 bilion), manakala 38 projek adalah daripada sektor perkilangan (RM6.2 bilion) (AS$1.4 bilion), kesemuanya di bawah bidang kuasa dan penyeliaan MIDA.

Ekonomi Malaysia sedang berkembang pesat. Dipacu oleh pembaharuan yang berterusan dan usaha pendigitalan mutakhir ini, negara sedang menempuhi fasa pemulihan ekonomi yang paling kukuh sejak pandemik dua tahun lalu, yang telah merencatkan ekonomi global. Dengan kerjasama utuh bersama MITI, MIDA terus mempergiatkan usaha menarik pelaburan dalam industri sasaran dari seluruh dunia untuk menaiktaraf ekosistem perindustrian dan lanskap perdagangan Malaysia. Inisiatif ini termasuklah menawarkan kemudahan fasilitasi perniagaan dan rangkaian nilai yang diperlukan kepada syarikat asing, tempatan dan syarikat pemula untuk memastikan operasi mereka dalam pasaran yang dinamik ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Iltizam kerajaan adalah untuk membantu perniagaan supaya berjaya, seterusnya menjadikan Malaysia destinasi yang ideal untuk syarikat-syarikat mencapai keseluruhan potensi yang optimum.

Kerajaan akan terus gigih berusaha dan berikhtiar untuk meneroka sektor pertumbuhan baharu dan memperkasakan perniagaan dan komuniti tempatan di samping menegakkan prinsip integriti, tata kelola yang baik dan kedaulatan undang-undang, serta menggalakkan keterangkuman dan pembangunan mampan melalui prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berpaksikan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Advertisement

Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM193.7 bilion (AS$41.7 bilion) bagi tempoh Januari-September 2022.

  • Malaysia merekodkan RM193.7 bilion (AS$41.7 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan (RM113.3 bilion atau AS$24.4 bilion), sektor perkilangan (RM64.9 bilion atau AS$14 bilion), dan sektor utama (RM15.5 bilion or AS$3.3 bilion), iaitu peningkatan 2.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.
  • Pelaburan Langsung Asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama bagi jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (AS$28.1 bilion), iaitu peningkatan 15 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021, sementara Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (AS$13.6 bilion).
  • Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing berjumlah RM49.2 bilion (AS$10.6 bilion).
  • Lima (5) negeri telah merekodkan nilai pelaburan yang signifikan terhadap jumlah pelaburan yang diluluskan termasuk Johor (RM63.9 bilion) (AS$13.8 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion) (AS$5.6 bilion), Selangor (RM25.7 bilion) (AS$5.5 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) (AS$3.8 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion) (AS$2.6 bilion).
  • Pelaburan yang diluluskan untuk tempoh ini bakal menjana 98,414 peluang pekerjaan baharu di Malaysia.
  • Sektor perkhidmatan di Malaysia merekodkan projek-projek bernilai RM113.3 bilion (AS$24.4 bilion) untuk tempoh Januari – September 2022, berbanding RM70.4 bilion (AS$16.8 bilion) untuk tempoh yang sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 60.9 peratus.- Bernama

 

Sumber : Sinar Harian

Ekonomi

Bajet 2023 perlu fokus kurangkan kos sara hidup rakyat

Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini perlu memberi tumpuan dalam menjamin kesejahteraan rakyat terutama mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi terhadap golongan rentan, demikian kata penganalisis.

Wartawan TMT

Published

on

Bajet 2023 perlu fokus kurangkan kos sara hidup rakyat
Foto: Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai
  • Bantuan tunai masih diperlukan bagi pastikan golongan berpendapatan rendah kekal berdaya tahan hadapi persekitaran ekonomi yang mencabar. – Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai
  • “Pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa jadi tumpuan, namun dengan jangkaan ekonomi global semakin tidak menentu dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan, adalah perlu untuk Bajet 2023 beri tumpuan pada kesejahteraan rakyat.”
  • “Usaha turunkan harga barang adalah sangat sukar kerana negara tidak boleh melakukan kawalan, terutamanya bahan makanan diimport, dengan harga meningkat boleh mendorong inflasi import.”
  • “Kita tidak boleh mempunyai matlamat kurangkan harga, tapi jika kita boleh stabilkan harga adalah satu pencapaian (dengan ambil kira keadaan semasa),” katanya.

 

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini perlu memberi tumpuan dalam menjamin kesejahteraan rakyat terutama mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi terhadap golongan rentan, demikian kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata bantuan tunai masih diperlukan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah kekal berdaya tahan menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar.

Beliau berkata, lazimnya, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi tumpuan, namun dengan jangkaan ekonomi global semakin tidak menentu dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan, adalah perlu untuk Bajet 2023 memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

“Bagi saya, fokus pada tahun ini adalah kesejahteraan rakyat kerana kita akan berdepan cabaran sukar.

“Kos sara hidup dijangka meningkat dan apabila kos sara hidup meningkat, pendapatan benar (rakyat) menjadi rendah dan tahap kesengsaraan makin tinggi,” katanya kepada BH.

Barjoyai berkata, persoalan sekarang adalah bagaimana untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, yang mana secara teorinya adalah dengan menurunkan harga barang.

Advertisement

Namun, beliau berkata usaha menurunkan harga barang adalah sesuatu yang sangat sukar kerana negara tidak boleh melakukan kawalan, terutamanya bahan makanan yang diimport, dengan harga yang meningkat boleh mendorong inflasi import.

Justeru, katanya, kerajaan perlu menangani isu kenaikan harga barang dengan memastikan pengguna tidak dieksploitasi dan pada masa sama menjamin kelangsungan perniagaan.

“Kita tidak boleh mempunyai matlamat mengurangkan harga, tetapi jika kita boleh menstabilkan harga adalah satu pencapaian (dengan mengambil kira keadaan semasa),” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Pembentangan semula bajet tahunan itu berikutan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 tidak dapat dibahas dan diluluskan berikutan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ketika ia dibentangkan kali pertama pada awal Oktober tahun lalu, peruntukan bajet itu paling besar dan tinggi dalam sejarah negara iaitu berjumlah RM372.3 bilion.

Advertisement

 

Sumber: Berita Harian

Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending