Antarabangsa
Lelaki transgender dikritik hina golongan OKU, cuba raih simpati jadi ‘wanita kurang upaya’
Seorang lelaki berbadan tegap di Norway mencetuskan kemarahan di media sosial apabila dia seolah-olah meraih simpati dengan keputusannya ingin dikenali sebagai wanita kurang upaya.

- Seorang lelaki berbadan tegap di Norway cetus kemarahan di media sosial apabila berusaha raih simpati dengan keputusannya mahu dikenali sebagai wanita kurang upaya.
- Jorund Viktoria Alme, 53, dalam temu bual bersama Good Morning Norway berharap dilahirkan sebagai seorang wanita lumpuh dari pinggang ke bawah.
- Berikutan itu, walaupun tidak punyai sebarang kecacatan fizikal, Alme menggunakan kerusi roda hampir sepanjang masa.
- Selain disforia jantina, Alme dakwa alami Gangguan Integriti Badan (BID) dan tindakannya dikritik ramai OKU.
- Noomi Alexandersen, 23, penghidap Cerebral Palsy, mengkritik tindakan Alme yang dilihat menyebabkan golongan seperti dia berhadapan cemuhan dan identiti Alme sendiri dirasakan satu penghinaan kepada masyarakat kurang upaya.
Seorang lelaki berbadan tegap di Norway mencetuskan kemarahan di media sosial apabila dia seolah-olah meraih simpati dengan keputusannya ingin dikenali sebagai wanita kurang upaya.
Jorund Viktoria Alme, 53, dalam temu bual bersama Good Morning Norway menyatakan dia sentiasa berharap dilahirkan sebagai seorang wanita lumpuh dari pinggang ke bawah.
Walaupun tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal, Alme kini menggunakan kerusi roda hampir sepanjang masa.
Mengalami disforia jantina (kecelaruan jantina), Alme juga mendakwa mengalami Gangguan Integriti Badan (BID), menyebabkan dia melihat dirinya berbeza dengan bagaimana badannya berfungsi hingga menyebabkan kecelaruan hidupnya.
“Ia adalah percanggahan kognitif: dengan cara sama seperti saya menjadi seorang wanita dalam tubuh lelaki, saya sepatutnya lumpuh dari pinggang ke bawah. Ini bukan keinginan untuk menjadi beban kepada masyarakat. Ia adalah mengenai kerusi roda sebagai bantuan untuk saya berfungsi dalam kehidupan seharian, secara peribadi dan di tempat kerja,” kata Alme.
Alme yang juga penganalisis kredit kanan untuk Handelsbanken di Oslo itu menerima liputan positif di media Norway sejak pertama kali mengumumkan ketidakupayaan transnya secara terbuka di Facebook pada 2020.
Dia telah memberikan beberapa temu bual, selalunya bersama isterinya, Agnes Mjalseth.
Bagaimanapun, temu bual itu berhadapan kritikan hebat sehingga program berita TV 2 Norway perlu memaparkan perspektif empat wanita kurang upaya selepas wawancara itu disiarkan di GMN.
“Individu mempunyai kaki yang berfungsi dengan baik, namun memilih duduk di kerusi roda.
“Terdapat ramai yang tidak mempunyai pilihan itu. Saya tidak fikir semuanya sepatutnya mendapat masa siaran,” kata Emma Sofie Grimstad, 18, yang menghabiskan dua bulan di atas kerusi roda selepas menghidap sindrom Guillain-Barré, penyakit radang akut yang menyerang saraf dan membawa risiko lumpuh.
“Temu bual (Alme) boleh membahayakan orang berada di kerusi roda dan tidak mempunyai pilihan. Malah ia boleh menimbulkan syak wasangka terhadap orang tidak mempunyai penyakit yang boleh dilihat,” kata Grimstad.
Noomi Alexandersen, 23, penghidap Cerebral Palsy, turut mengkritik tindakan Alme yang akan menyebabkan golongan seperti dia, misalnya berhadapan cemuhan dan identiti Alme sendiri dirasakan penghinaan kepada masyarakat kurang upaya.
Sumber : Reduxx

You must be logged in to post a comment Login