Kolumnis
Setahun pemerintahan Taliban: Adakah nilai tradisi melebihi nilai agama di Afghanistan?
Ramalan saya Afghanistan akan kembali mencuri perhatian media tempatan hujung minggu ini atau selewat-lewatnya awal minggu depan.
Isnin depan genap setahun Amerika Syarikat (AS) ‘angkat kaki’ dari Afghanistan hingga berlakunya pertukaran kerajaan di negara konflik itu yang kini dikuasai Emeriyah Islam Afghanistan (IEA).
IEA adalah kerajaan interim diterajui Taliban yang sehingga kini belum diiktiraf mana-mana negara di dunia dan kini berada dalam keadaan genting dek sekatan ekonomi oleh kuasa barat (baca masyarakat dunia).
Sehari dua ini kalau kita perasan banyak liputan media antarabangsa mula diterbitkan menjelang ulang tahun pertama Kabul ditawan Taliban pada 15 Ogos 2021.
Fokus liputan media antarabangsa tentunya kegagalan IEA membentuk kerajaan inkslusif dan isu “archilles’ heel” kerajaan semasa iaitu isu hak dan kebebasan wanita dalam sektor pekerjaan dan akses pendidikan.
Ada laporan media menyifatkan pendidikan pelajar wanita kini menjadi sebuah fantasi, manakala Al Jazeera dalam liputannya semalam membangkitkan isu hak wanita dalam sektor pekerjaan.
Agensi berita antarabangsa itu memetik kenyataan Masuda Samar (bukan nama sebenar), seorang pegawai kanan wanita berusia 43 tahun di sebuah kementerian di Afghanistan, yang mendakwa tidak lagi dibenarkan ke tempat beliau bekerja sejak 17 tahun lalu selepas Taliban mengambilalih negara itu.
Menurut laporan Al Jazeera, IEA mengehadkan wanita memasuki tempat bekerja dan mengurangkan gaji mengikut kadar bekerja dari rumah, walaupun mereka tidak memecat kakitangan kerajaan seperti Masuda.
IEA dilaporkan tidak memecat Masuda secara langsung, namun pegawai kanan wanita itu telah diminta, melalui panggilan telefon dari Jabatan Sumber Manusia, untuk menggantikan kedudukannya (di kementerian) dengan saudara lelakinya.
Dia dilaporkan merasa terhina dengan keadaan itu, begitu juga setiap kali terpaksa mengeluarkan gajinya yang sedikit (Masuda masih dibayar gaji tapi jumlahnya kecil kerana bekerja dari rumah) akibat tekanan kewangan keluarganya.
“Saya yang bertungkus-lumus belajar untuk mendapat kerja ini. Saya yang berhempas pulas bekerja untuk naik pangkat dan berada di kedudukan ini walaupun susah dan mencabar. Kenapa nak bagi kerja saya kepada suami dan abang saya?” kata Masuda.
Faktanya IEA tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak membenarkan wanita bekerja.
LAPORAN MEDIA BARAT, REALITI ATAU PERSEPSI
Namun sebagai individu yang sudah dua kali turun ke Kabul dalam tempoh setahun sejak berlakunya pertukaran kerajaan di Afghanistan, saya harus menerima bahawa laporan Al-Jazeera itu ada ‘pemberatnya’.
Begitu juga laporan media antarabangsa mengenai pelajar wanita sekolah menengah yang belum dibenarkan ke sekolah sejak September tahun lalu.
Jun lalu, seorang rakan wartawan Afghanistan dalam ciapannya di Twitter memberitahu sekolah tidak ditutup di kebanyakan wilayah utara, termasuk di Balkh, dan pelajar wanita di peringkat rendah dan menengah dibenarkan ke sekolah.
Apa yang peliknya situasi ini langsung tidak dilaporkan mana-mana media antarabangsa atau mungkin juga ukuran akses pendidikan itu hanyalah mengambil kira apa yang berlaku di bandar-bandar besar Afghanistan, termasuk di Kabul dan Herat.
Untuk rekod, ketika keberadaan AS di Afghanistan, dianggarkan terdapat antara 544 hingga 803 sekolah swasta di negara konflik yang mempunyai 34 wilayah itu dengan majoritinya adalah di Kabul dan Herat.
Sepertimana perbelanjaan kerajaan terdahulu yang bergantung kepada dana asing, sekolah-sekolah swasta itu juga bergantung kepada bantuan dunia bagi operasinya yang kini ‘hilang’ sepenuhnya selepas pertukaran kerajaan.
Adalah tidak keterlaluan untuk saya mengatakan bahawa majoriti sekolah-sekolah swasta ini tergendala operasinya atau ditutup dan sekatan ekonomi dikenakan ke atas Afghanistan menyulitkan lagi isu-isu “backlog” di Afghanistan, termasuk isu akses wanita dalam pekerjaan dan pendidikan.
Seperkara lagi yang perlu diketahui umum, di wilayah-wilayah pedalaman di Afghanistan, misalnya di Barmal, Paktika, masih ada kawasan yang langsung tiada sekolah dan anak-anak Afghanistan belajar di bawah pokok persis di Afrika.
Malah kunjungan saya di Bagrami, kira-kira sejam perjalanan di timur Kabul, mendapati kanak-kanak di situ masih ada yang belajar di bawah khemah tajaan badan bukan kerajaan (NGO) asing yang telah ditutup kerana pandemik COVID-19 pada tahun lalu.
Persoalannya, selaku seorang wartawan, saya harus bercakap benar sekalipun jauh di sudut hati memang harapan yang diletakkan kepada negara Islam IEA amat tinggi supaya ia tidak mengulangi kegagalannya ketika memerintah Afghanistan sebelum tahun 2001.
TALIBAN BERUBAH ATAU SEBALIKNYA?
Dulu Taliban langsung memisahkan wanita dari masyarakat, dinafikan hak pekerjaan dan akses pendidikan, menyebabkan rakyat negara itu sendiri menolaknya dan menerima telunjuk kuasa barat.
Ketika itu apa-apa saja yang berbaur nilai kebaratan seperti muzik, malah lelaki yang tidak mempunyai atau menyimpan jambang, juga dianggap asing dan dipinggirkan dari masyarakat Afghanistan.
Selepas dua kali ke Afghanistan, kali pertama pada September-Oktober 2021 dan kali kedua pada bulan lalu, saya membuat kesimpulan bahawa tidak semua yang dilaporkan media barat adalah benar sepertimana realiti di lapangan.
Kesimpulan kedua adalah tidak semua yang dilaporkan media antarabangsa adalah tidak benar kerana IEA dalam ketegasannya menegakkan kerangka pemerintahan baharu juga mempunyai kelemahan di mata masyarakat antarabangsa.
Izinkan saya untuk menjelaskan kenapa kedua-dua kesimpulan ini dibuat berdasarkan apa yang saya lihat, dengar dan rasa semasa berada di Afghanistan selama 35 hari dalam dua kunjungan ke negara yang baru keluar dari kancah peperangan itu.
Pertama; sebelum ke Afghanistan saya dikhabarkan Afghanistan sebuah negara perang yang mana wanita itu langsung tiada di jalanan, tidak boleh berpakaian modern dan wanitanya hanya memakai burqa biru (mereka panggil cadar).
Malangnya gambaran ini tidak benar. Perkara yang sebaliknya saya saksikan semasa berada di Kabul di mana wanita, tua atau muda, bebas bergerak di ibu kota negara itu dengan memakai apa saja pakaian dalam ruang lingkup budaya dan tradisi mereka.
Memang benar sebahagian daripada wanita di situ memakai burqa biru tradisi atau memakai jubah hitam.
Ada juga wanita yang memakai pakaian biasa, termasuk “cardigan” dan seluar jeans (yang ini dipakai wanita muda atau remaja) terutama di bandar-bandar besar seperti di Kabul dan Herat.
Bagaimanapun situasi berbeza sekiranya seseorang itu pergi ke wilayah pedalaman seperti di Nangarhar atau Paktika (kawasan terjejas gempa Jun lalu) di mana kelibat wanita itu adalah sesuatu yang susah dijumpai apa lagi untuk ditemubual wartawan.
BEZA ANTARA BANDAR DAN PEDALAMAN
Tingkah laku wanita di pedalaman amat berbeza dan majoritinya memang mengenakan burqa biru sebagai pakaian rutin harian. Kebanyakan wanita hanya berada di rumah dan jarang-jarang kelihatan di jalanan tanpa ditemani mahram.
Kesempatan saya menemubual dua wanita berpendidikan, Masouda Jamil dan Zainab Hakimi, masing-masing mempunyai ijazah sarjana hadith/tafsir dan ijazah sarjana falsafah, membawa kepada satu kesimpulan.
Iaitu “burqa biru” dipakai wanita Afghanistan bukanlah paksaan, tetapi pilihan kaum hawa di negara itu.
Realiti ini saya catatkan dengan panjang lebar dalam buku “Nota dari Kabul” yang diterbitkan Disember lalu dengan hasrat supaya isu krisis kemanusiaan di Afghanistan tidak dilupakan masyarakat dunia, khususnya rakyat Malaysia.
“Ia hanyalah persepsi yang digambarkan ke atas kami,” kata Masouda menjelaskan faktor budaya, tradisi dan agama di Afghanistan adalah sesuatu yang mengambil masa untuk difahami masyarakat dunia.
Zainab pula memaklumkan kepada saya bahawa hanya dua daripada 10 wanita di Afghanistan yang boleh membaca dan mengira.
Hakikat ini berlaku bukan hanya di zaman pemerintahan kerajaan semasa tetapi realiti di zaman pemerintahan Presiden Ashraff Ghani yang disokong berbilion-bilion dana dari negara-negara asing.
Fakta ini membuktikan betapa kedudukan Afghanistan sememangnya jauh ketinggalan dari aspek pendidikan, khususnya membabitkan wanita.
Dan jurang akses pendidikan ini makin ketara antara wanita yang tinggal di bandar dengan wanita di pedalaman, di mana institusi sekolah itu sendiri langsung tidak wujud (tiada sekolah).
Laporan tahunan UNDP pada 2020 meletakkan Afghanistan pada tangga ke-169 dalam aspek pendidikan wanita.
ISU-ISU “BACKLOG” DI AFGHANISTAN
Pernyataan di atas membawa kepada kesimpulan kedua saya mengenai apa yang berlaku kepada wanita Afghanistan iaitu apa yang dirumuskan sebagai kebenaran laporan media antarabangsa atau apa yang dilihat sebagai ‘kelemahan’ pada kerajaan semasa Afghanistan.
Perkara itu tertumpu kepada isu akses pendidikan wanita, walaupun pada hakikatnya sekatan ekonomi merupakan antara punca kenapa isu “backlog” itu gagal diselesaikan kerajaan semasa Afghanistan.
Dengan menjadikan laporan media antarabangsa sebagai input maklumat, hakikatnya, sekolah masih belum dibuka untuk pelajar wanita peringkat sekolah menengah sejak September tahun lalu.
Di awal penutupannya, IEA melalui kementerian pendidikan menyatakan faktor kurikulum dan pakaian seragam sekolah yang belum dimuktamadkan sebagai faktor kenapa sekolah belum dibuka untuk kelompok terbabit.
Dilaporkan, pendidikan bagi pelajar wanita dan lelaki peringkat sekolah menengah hinggalah ke universiti akan diasingkan dengan kurikulum baharu akan dibuat, sebelum sekolah dibuka.
Ini bermakna tiada lagi percampuran antara pelajar wanita dan lelaki di peringkat menengah dan ke atas. Saya kira keputusan ini harus diterima masyarakat dunia kerana IEA adalah kerajaan semasa Afghanistan yang mempunyai hak menentukan kaedah pendidikan dan pembelajaran untuk rakyatnya.
Usahlah kita membuang masa mengenai legitimasi IEA yang dibentuk melalui peperangan dan bukannya demokrasi sepertimana yang diimpikan “masyarakat dunia yang sempurna”.
Difahamkan juga IEA mahu menggubal semula kurikulum persekolahannya kerana kurikulum terdahulu didakwa mempunyai nilai-nilai barat yang mana menurut kerajaan semasa, perlu diubah.
Sekolah sepatutnya dibuka pada Mac lalu sepertimana dijanjikan IEA dengan kebanyakan rakyat Afghanistan menunggu berita baik itu hinggalah ia ditangguhkan sekali lagi atas alasan sama.
Apa yang menjadi persoalan sekarang adalah selepas hampir setahun membentuk kerajaan, IEA masih belum menjumpai penyelesaian terbaik dan lebih membingungkan apabila menteri bertanggungjawab pada 9 Ogos lalu mengatakan sekolah masih belum boleh dibuka untuk pelajar wanita atas faktor sensitiviti budaya (merujuk ciapan seorang penganalisis politik Afghanistan).
ADAKAH TRADISI MENGATASI AGAMA?
Jika perkara ini benar, maka amatlah malang bagi Afghanistan kerana data UNICEF menunjukkan 850,000 pelajar wanita sekolah menengah terjejas dengan keputusan kerajaan semasa untuk menangguhkan pembukaan sekolah bagi pelajar wanita.
Saya berharap kenyataan sekolah belum dibuka kerana faktor sensitiviti budaya itu tidak benar kerana Islam sama sekali tidak menghalang wanita daripada belajar untuk memajukan diri dan keluarganya.
Jika benar, maka timbul persoalan adakah nilai tradisi itu melebihi nilai agama di Afghanistan?
Difahamkan keputusan mengenai penangguhan pembukaan sekolah bagi pelajar wanita itu bukanlah sesuatu yang sebulat suara di peringkat kepimpinan kerajaan semasa Afghanistan.
Selama berada di Afghanistan, saya menerima hakikat bahawa Afghanistan sebuah negara yang berbeza dan kaya dari segi perspektif agama, budaya dan tradisinya yang amat berbeza dengan Malaysia.
Nilai berbeza ini juga terkait dengan kedudukan dan peranan wanita dalam masyarakat Afghanistan.
Saya memahami kebimbangan IEA akan nilai-nilai barat yang ada dalam sistem pendidikan terdahulu, tetapi perkara itu boleh diubah jika kepimpinan Taliban membuka pintunya kepada dunia, khususnya negara-negara Islam.
Ataupun sikap skeptikal ini berlaku kerana IEA (baca Taliban) tidak lagi percaya kepada mana-mana pihak atau sebenarnya berdepan dengan tekanan-tekanan yang tidak diketahui umum melainkan sekatan ekonomi barat ke atas negara itu.
Setakat ini, rizab bank pusat Afghanistan berjumlah USD9.4 bilion masih dibekukan dan disekat kuasa barat walaupun ada usaha menyalurkannya secara bersyarat bagi mengatasi krisis kemanusiaan di negara itu.
Afghanistan kini berdepan dengan krisis ekonomi dan kemanusiaan yang kritikal, termasuk kenaikan inflasi, kemiskinan, kenaikan harga minyak dunia, kejatuhan mata wang Afghani, cabaran kemarau dan musim sejuk mendatang, menyebabkan lebih separuh daripada 38 juta populasinya memerlukan bantuan asing.
Kesempatan sendiri menyaksikan bagaimana situasi satu daripada tiga rakyat Afghanistan yang lapar dan tidak cukup makan sepertimana dilaporkan Program Makanan Sedunia (WFP), di jalanan di Kabul hingga ke pedalaman di Barmal, Paktika, amat menyedihkan.
Tanggal 15 Ogos ini genaplah setahun pertukaran kerajaan di Afghanistan yang menyaksikan sikap sebenar masyarakat dunia kepada negara yang dibelenggu peperangan sejak lebih 40 tahun lalu.
Dunia seharusnya mengenepikan stigma dan prejudisnya terhadap Afghanistan sekiranya mereka benar-benar mahu membantu atas dasar kemanusiaan, bukannya kerana agama, bangsa, kulit atau “warna mata” rakyat sesebuah negara terbabit. – The Merdeka Times
Syed Azwan Syed Ali adalah seorang wartawan dan aktivis kemanusiaan yang mempunyai lebih 17 tahun pengalaman liputan di zon konflik dan bencana termasuk di Palestin, Syria, Yaman, Somalia, Myanmar dan Afghanistan.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.