Antarabangsa
Islamofobia tidak berkesudahan, lagi kartun hina Islam di Kanada
Kartun yang diterbitkan dalam l’Acadie Nouvelle edisi 17 Ogos lalu, akhbar berbahasa Perancis terbesar di New Brunswick, Kanada, menunjukkan seorang lelaki gua mengheret seorang wanita dengan rambutnya.
- Kartun l’Acadie Nouvelle yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Perancis di Kanada menunjukkan imej berunsurkan ‘Islamofobia’.
- Ilustrasi itu menunjukkan seorang lelaki memakai serban dan membawa pistol, menggunakan tali untuk menyeret seorang wanita memakai burqa.
- Majlis Kebangsaan Umat Islam Kanada mengeluarkan kenyataan menyifatkan kartun itu bersifat Islamofobia, menyebarkan stereotaip yang boleh ‘menimbulkan kebencian meluas’.
- “Kami berfikir bahawa streotaip dan imej berbahaya sebegitu hanyalah sesuatu yang telah berlalu dan negara kita sudah melepasi zaman itu,” kata Pegawai advokasi komuniti Quebec, Lina El Bakir dipetik International Quran News Agency (IQNA).
TEHRAN: Kartun yang diterbitkan dalam l’Acadie Nouvelle edisi 17 Ogos lalu, akhbar berbahasa Perancis terbesar di New Brunswick, Kanada, menunjukkan seorang lelaki gua mengheret seorang wanita dengan rambutnya.
Di bawahnya pula ilustrasi menunjukkan seorang lelaki memakai serban dan membawa pistol, menggunakan tali untuk menyeret seorang wanita memakai burqa.
“Evolusi?…” demikian perkataan ditulis di atas ilustrasi kartun itu.
Majlis Kebangsaan Umat Islam Kanada mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan kartun itu bersifat Islamofobia selain menyebarkan stereotaip yang ‘menimbulkan kebencian meluas’.
Pegawai advokasi komuniti Quebec, Lina El Bakir berkata beliau amat terkejut melihat ilustrasi itu.
“Kami berfikir bahawa streotaip dan imej berbahaya sebegitu hanyalah sesuatu yang telah berlalu dan negara kita sudah melepasi zaman itu,” katanya dipetik International Quran News Agency (IQNA) sambil melahirkan kekecewaan.
El Bakir berkata kartun itu sedang diedarkan dan memberi kesan besar kepada masyarakat Islam di seluruh Kanada.
“Ia membawa naratif yang merosakkan,” katanya.
Editor dan pengarah urusan Acadie Nouvelle, Francis Sonier menolak temubual tetapi dalam satu kenyataannya berkata, kartun itu sebagai respons kepada berita mengenai Taliban.
Pada 16 Ogos lalu, akhbar itu menerbitkan liputan Associated Press tentang kehidupan di Afghanistan setahun selepas Taliban kembali berkuasa.
Artikel itu disertakan dengan gambar yang menunjukkan pejuang Taliban memegang senjata dan meraikan kemenangan mereka kembali berkuasa.
Keesokan harinya l’Acadie Nouvelle menerbitkan kartun itu yang dilukis Marcel Boudreau.
Sonier berkata kartun itu telah dikeluarkan dari laman web kerana pembaca-pembacanya menyatakan yang ia berada di luar konteks. Artikel berita itu hanya boleh didapati dalam edisi cetak.
“Kartun itu bertujuan mengecam tingkah laku Taliban di wilayah khusus di dunia iaitu Afghanistan. Itu sahaja,” katanya.
Boudreau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Aktivis-aktivis tempatan di Moncton mengadakan sidang akhbar mengenai kartun itu pada Selasa.
Paryse Suddith, seorang peguam dengan Old River Productions and Legal Services berkata, dia berasa “malu” selepas melihat ia dicetak sebagai kartun akhbar pada hari tersebut.
“Orang ramai akan berfikir bahawa orang memakai serban semuanya ganas dan sentiasa menindas isteri mereka,” kata Suddith.
“Adakah ini mesej Acadian agar mahu orang berfikir apa yang kita fikirkan? Bagi saya imej itu adalah Islamophobia,” katanya.
Suddith telah meminta pertemuan dengan editor Acadie Nouvelle untuk membincangkan mengenai isu kartun kontroversi itu.
Sumber: International Quran News Agency