Antarabangsa
Empat lelaki Islam dibunuh di New Mexico dalam tempoh sembilan bulan
Pihak Polis New Mexico dan agensi persekutuan menjalankan siasatan terhadap pembunuhan seorang lelaki Islam untuk menentukan sama ada pembunuhan tersebut ada kaitan dengan kejadian terdahulu di mana gabenor negeri menyifatkannya sebagai ‘pembunuhan disasarkan’.
- Pihak Polis New Mexico dan agensi persekutuan menyiasat pembunuhan seorang lelaki Islam untuk menentukan sama ada pembunuhan tersebut ada kaitan dengan kejadian terdahulu di mana gabenor negeri menyifatkannya sebagai ‘pembunuhan disasarkan’.
- Menurut polis berdasarkan tiga kes sebelum ini, mangsa diserang hendap dan ditembak tanpa amaran.
- Mereka dibunuh dalam tempoh sembilan bulan lalu, menjadi sasaran disebabkan agama dan bangsa mereka.
- Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham berkata pembunuhan disasarkan ke atas penduduk Islam di Albuquerque mencetuskan kemarahan dan tidak dapat dibendung sepenuhnya, selain mengerahkan tambahan pegawai polis negeri ke situ untuk membantu siasatan.
WASHINGTON: Pihak Polis New Mexico dan agensi persekutuan menjalankan siasatan terhadap pembunuhan seorang lelaki Islam untuk menentukan sama ada pembunuhan tersebut ada kaitan dengan kejadian terdahulu di mana gabenor negeri menyifatkannya sebagai ‘pembunuhan disasarkan’.
Ketua Polis Albuquerque, Harold Medina, berkata pada Sabtu bahawa seorang ‘lelaki muda yang juga sebahagian daripada masyarakat Islam dibunuh’.
Medina berkata, pembunuhan kelmarin itu mungkin ada kaitan dengan tiga pembunuhan sebelum ini.
Berita Harian melaporkan identiti mangsa dan keadaan pembunuhan itu bagaimanapun tidak didedahkan, memetik Reuters.
Menurut polis berdasarkan tiga kes sebelum ini, mangsa diserang hendap dan ditembak tanpa amaran.
Polis di New Mexico sebelum ini berkata, tiga lagi lelaki Islam dibunuh di bandar terbesar di negeri itu dalam tempoh sembilan bulan lalu, menjadi sasaran disebabkan agama dan bangsa mereka.
Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham menerusi ciapannya pada Sabtu, berkata pembunuhan disasarkan ke atas penduduk Islam di Albuquerque mencetuskan kemarahan dan tidak dapat dibendung sepenuhnya, selain mengerahkan tambahan pegawai polis negeri ke situ untuk membantu siasatan.
Dua daripada lelaki dibunuh itu adalah ahli masjid yang sama, masing-masing ditembak di Albuquerque, pada akhir Julai lalu dan awal Ogos.
Polis berkata, kematian mereka ‘mungkin’ dikaitkan dengan pembunuhan seorang pendatang Afghanistan, November lalu.
Pengarah perancangan bandar Espanola, Muhammad Afzaal Hussain, 27, datang ke Amerika Syarikat (AS) dari Pakistan, ditembak mati di luar kompleks pangsapuri Albuquerque, Isnin lalu, manakala Aftab Hussein, 41, ditemui mati akibat luka tembakan berhampiran daerah antarabangsa Albuquerque, pada 26 Julai lalu.
Kematian itu berkemungkinan dikaitkan dengan pembunuhan Mohammad Ahmadi, 62, di tempat letak kereta di tepi pasar raya dan kafe halal pada 7 November 2021, kata polis.
Polis New Mexico, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Perkhidmatan Marshal AS adalah antara beberapa agensi terbabit dalam siasatan pembunuhan itu.
Sumber : Berita Harian / REUTERS