Connect with us

Terkini

Reformasi pendidikan, murid berhak pilih mata pelajaran yang diminati – pensyarah

Sistem pendidikan sepatutnya menyediakan ruang untuk murid-murid memilih apa yang ingin mereka pelajari tanpa terikat konsep aliran Sains, sastera, teknikal, perdagangan, Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) atau ekonomi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Reformasi pendidikan, murid berhak pilih mata pelajaran yang diminati - pensyarah
Foto: Dr Anuar Ahmad, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM
  • Sistem pendidikan sepatutnya sediakan ruang untuk murid-murid pilih apa yang ingin mereka pelajari tanpa terikat konsep aliran Sains, sastera, teknikal, perdagangan, Pendidikan dan TVET atau ekonomi.
  • Sistem pendidikan sepatutnya sediakan semua murid dengan kemahiran dan pengetahuan seimbang di antara Sains-Matematik serta pendidikan sastera/bahasa, seni dan muzik.
  • Keupayaan murid berasaskan hafalan maklumat semata-mata bukan lagi penentu kepada pencapaian kecemerlangan pendidikan mereka. 
  • “Pada masa depan, hampir semua badan dunia terkait pendidikan (OECD, UNESCO, Bank Dunia), pakar pendidikan dan pemimpin industri bersetuju yang sepatutnya diberikan perhatian oleh sistem pendidikan ialah penguasaan 4C (Communication Collaboration, Critical Thinking, Creative Thinking).” – Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad 

 

KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan sepatutnya menyediakan ruang untuk murid-murid memilih apa yang ingin mereka pelajari tanpa terikat konsep aliran Sains, sastera, teknikal, perdagangan, Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) atau ekonomi.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad menjelaskan bahawa sistem pendidikan berbentuk demikian telah pun dilaksanakan oleh beberapa buah negara jiran kita ketika ini.

“Di kalangan negara ASEAN, Indonesia telah pun memulakan dasar kurikulum MERDEKA di mana murid-murid bebas memilih apakah mata pelajaran yang mereka ingin pelajari. 

“Di Singapura pula, mulai tahun 2024 sistem pendidikan mereka akan memansuhkan amalan aliran pendidikan.  Murid-murid lebih bebas memilih apakah mata pelajaran yang mereka minat dan mahu pelajari sepenuh hati. 

“Indonesia dan Singapura nampaknya sudah bersedia untuk melakukan reformasi pendidikan yang lebih holistik kepada murid-murid mereka. Vietnam dan Thailand juga sedang bergerak ke arah sama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, sistem pendidikan sepatutnya menyediakan semua murid dengan kemahiran dan pengetahuan yang seimbang di antara Sains-Matematik serta pendidikan sastera/bahasa, seni dan muzik.

Katanya, sebelum ini Malaysia menyedari akan hal itu malah sudah mengambil langkah awal iaitu Mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada tahun 2019 membuat penelitian dan bersedia mengemukakan cadangan pemansuhan aliran Sains dan sastera. 

Anuar berkata, beliau sendiri dijemput dan berpeluang meneliti beberapa cadangan reformasi pendidikan termasuk cadangan pemansuhan aliran Sains dan sastera di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kaukus Reformasi Governan Pilihan Parlimen yang ketika itu dipengerusikan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, situasi ini menunjukkan berbanding Indonesia dan Singapura, negara kita lebih awal merancang untuk memansuhkan dua aliran itu bagi menjadikan sistem pendidikan negara lebih holistik dan menyeluruh sebagaimana dihasratkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun katanya, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan apabila kerajaan bertukar pada awal tahun 2020 dan tindakan susulan untuk cadangan itu tergendala.

Pada masa sama, beliau dalam hantaran itu turut memberitahu istilah ‘kecemerlangan murid’ pada masa depan tidak akan sama lagi seperti dahulu.

“Jika dulu kecemerlangan murid seringkali hanya mementingkan penguasaan maklumat. Lebih banyak dihafal murid-lebih tinggi markah peperiksaan. 

“Maka mereka kuat menghafal dan ‘berlatih tubi menjawab soalan tahun-tahun lepas’ biasanya akan dikategorikan sebagai ‘murid cemerlang’.

“Pada masa depan, hampir semua badan dunia terkait pendidikan (OECD, UNESCO, Bank Dunia), pakar pendidikan dan pemimpin industri bersetuju yang sepatutnya diberikan perhatian oleh sistem pendidikan ialah penguasaan 4C (Communication Collaboration, Critical Thinking, Creative Thinking).

“Secara logiknya, apa tujuannya menguji hafalan murid jika semuanya maklumat sudah ada di hujung jari?” katanya.

Susulan itu, beliau berkata pada masa depan, keupayaan murid yang berasaskan hafalan maklumat semata-mata bukan lagi penentu kepada pencapaian kecemerlangan pendidikan mereka. 

Tambah beliau, berikutan itu juga amalan peperiksaan untuk menguji tahap hafalan murid semakin dianggap ketinggalan di mana kita juga boleh menyaksikan kebanyakan negara khususnya negara maju telah pun menghapuskan peperiksaan berpusat.

Malah, Anuar menjelaskan buku teks yang menjadi satu-satu sumber untuk digunakan dalam pengajaran juga semakin ketinggalan dan tidak relevan lagi. 

Ini berikutan, negara maju itu semakin beralih kepada kaedah pentaksiran berterusan untuk mengukur keupayaan dan kemajuan ‘4C’ murid-murid.

“Konsep pendidikan berasaskan peperiksaan sudah berubah kepada pendidikan berasaskan pembelajaran. Bagi memotivasikan pembelajaran, murid-murid disediakan aktiviti yang menyeronokkan serta memberi makna kepada rasa ingin tahu murid-murid.

“Bagi menjayakan pendidikan tanpa peperiksaan, kurikulum dan silibus mesti dirombak, dipelbagaikan, dipermudahkan dan dikurangkan kandungan supaya lebih banyak aktiviti pembelajaran yang menyeronokan, meningkatkan minat/potensi serta memberi makna kepada murid dapat dilaksanakan di dalam bilik darjah,” kata beliau. – The Merdeka Times

 

Sumber : Facebook Anuar Ahmad

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *