Connect with us

Kolumnis

Nak undi siapa?

Sebelum bermula, saya ingin maklumkan bahawa posting ini lebih panjang dari biasa. Maka harap bersabar membaca. Komenlah setelah anda selesai membaca & memahaminya. Jazakumullahu Khairan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Firdaus Wong

Published

on

Nak undi siapa?
Foto: Firdaus Wong Wai Hung

Sebelum bermula, saya ingin maklumkan bahawa posting ini lebih panjang dari biasa. Maka harap bersabar membaca. Komenlah setelah anda selesai membaca & memahaminya. Jazakumullahu Khairan

Beberapa kenalan rapat saya bertanya kepada saya bagaimana untuk mengundi pada #pru15 kali ini. Mereka ini datang dari pelbagai latar belakang. Mereka bertanya kepada saya kerana tidak melihat banyak ‘posting’ tentang PRU di medsos saya.

Maka saya di sini saya ingin nukilkan beberapa dasar & prinsip yang saya kongsikan kepada kenalan-kenalan saya. Buat makluman yang mungkin baharu mengikuti medsos saya, saya bukan ahli kepada mana-mana parti politik atau menyokong mana-mana parti politik secara khusus.

Saya pernah dilabel orang BN, PN & PH kerana saya pernah bekerjasama atau terlibat secara langsung & tidak langsung dengan mereka untuk program dakwah. Saya dah lali dengan kecaman maka jikalau ada sesiapa terfikir untuk mengecam untuk jadikan saya ‘down’, nasihat saya adalah agar tidak perlu bazir masa & tenaga anda. Fokus pada sesuatu yang lebih bermanfaat.

Saya meraikan perbezaan pendapat dari sahabat-sahabat semua tetapi pastikan komentar anda mengikuti adab & akhlak Islamiah. Label melabel & menghina serta mencarut  akan menyebabkan komen anda dipadamkan atau anda akan diblok terus.

Posting ini agak panjang maka anda perlu bersabar untuk membacanya. Sila baca sehingga habis sebelum komen kerana barangkali komentar atau persoalan anda itu sudah saya kupas dalam status ini.

1) Sebagai Muslim, panduan kita dalam membuat keputusan adalah berdasarkan ajaran Islam. Tidak boleh seorang yang beriman apabila Allah & RasulNya telah membuat suatu ketetapan lalu kita tetap memilih yang lain kecuali kita orang yang sesat. (33:36)

2) Panduan kita adalah Quran & Sunnah, maka sebagai Muslim kita menyokong apa sahaja yang BAIK & BETUL serta kita MENOLAK & MENENTANG apa-apa sahaja yang bercanggah dengan ajaran Islam dan ini termasuklah rasuah & pecah amanah. 

Apa yang baik & tidak baik, neraca pertimbangan kita adalah Quran & Sunnah bukan apa kata ahli politik dan masyarakat. Kita dahulukan Allah & Rasul.

Kita juga perlu memilih pemimpin yang kuat/berkemampuan & amanah. (28:26)

3) Kita perlu memahami realiti dalam politik & #PRU15 bahawa kita bukannya sedang memilih calon atau parti atau gabungan yang terbaik di antara yang terbaik tetapi kita sedang memilih MANA YANG PALING KURANG MUDARAT BERBANDING DENGAN MUDARAT YANG LAIN.

4) Di dalam Islam, tidak semua mudarat itu adalah pada tingkatan yang sama sebagaimana dosa-dosa tidaklah dalam peringkat yang sama maka sebab itu kita ada dosa kecil & dosa besar sehinggakan di dalam dosa-dosa kecil & besar itu juga adalah tingkatan-tingkatannya yang berbeza. Satu dosa besar dengan dosa besar yang lain tidak berada pada tingkatan atau kedudukan yang sama.

Contoh rasuah, pecah amanah, kesaksian palsu & syirik itu merupakan dosa-dosa besar di dalam besar tetapi apakah semua dosa-dosa itu dalam tingkatan yang sama atau ada dosa besar itu lebih BERAT berbanding dengan DOSA BESAR yang lain?

Hatta di dalam syirik  (menyekutukan Allah) merupakan dosa terbesar di dalam Islam yang jikalau seseorang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, maka neraka tempat akhirnya. (4:48/116) Namun, di dalam syirik itu juga ada syirik kecil & syirik besar.

Syirik kecil seperti riyak menyebabkan pelaku tidak mendapat pahala di atas apa yang dikerjakan sedangkan syirik besar menyebabkan seseorang itu terkeluar dari agama Islam.

5) Dalam situasi politik negara, majoriti jikalau bukan semua parti & ahli politik menentang rasuah. Sebagaimana saya nyatakan di perkara no. 2, sebagai Muslim juga kita menentang rasuah.

Tiada seorang pun Muslim yang waras akalnya dan sihat imannya akan setuju dan menyokong rasuah.

Maka persoalannya, gabungan parti politik mana kah yang tidak terpalit dengan isu rasuah sama ada dituduh terlibat dalam rasuah tetapi belum didakwa, dituduh terlibat dalam kes rasuah dan telah didakwa, dituduh terlibat dalam kes rasuah tetapi digugurkan kes atau didakwa dalam kes rasuah & dijatuhkan hukuman?

Majoriti jikalau bukan semua GABUNGAN PARTI POLITIK mempunyai isu rasuah cuma skala rasuah setiap gabungan parti itu sahaja yang berbeza.

6) Rasuah adalah dosa besar maka jikalau kita HANYA PERLU MEMILIH berdasarkan indeks rasuah semata-mata, maka kita perlu memilih gabungan parti manakah yang paling kurang isu rasuahnya. Kita pilih yang paling kurang mudarat.

7) Rasuah merupakan dosa besar & begitu juga syirik, namun sudah tentu syirik lebih BERAT berbanding dengan rasuah. Saya membenci pelaku dan pemberi rasuah kerana rasuah adalah dosa besar. Islam menentang rasuah. Baginda Sallalahu Alaihi Wasalam melaknat pemberi & penerima rasuah!

Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam diutuskan untuk amar makruf nahi mungkar dan kemungkaran paling besar yang Baginda cuma basmi adalah kesyirikkan & menegakkan tauhid selain menegakkan keadilan. Namun tiada kompromi dalam syirik.

Maka inilah keutamaan yang harus diberikan pertimbangan sewajarnya dalam mengundi dalam #PRU15 nanti. Sekali lagi, terpulang untuk sahabat-sahabat bersetuju atau tidak. Jikalau tidak bersetuju, maka sahabat boleh kemukakan dalil dari Quran & Sunnah dan bukannya sekadar emosi mahupun retorik.

Kita jadikan Quran & Sunnah sebagai kayu ukur perbincangan. Orang Belum Muslim ada kayu ukur mereka yang tersendiri yang mungkin ada yang sama dan mungkin ada yang berbeza dari orang beriman. Berikut adalah senarai keutamaan dalam mengundi;

  1. A) TIDAK MENGUNDI calon dari gabungan yang memiliki LEBIH RAMAI pemimpin yang menyokong & membantu pemurtadan orang Islam, membantu pemurtadan dan kesesatan seperti penyebaran agama lain, Liberalisasi, menghina Islam. (PEMARKAHAN 50 PERATUS)

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).”

(An-Nisaa’ 4:138-139)

  1. B) TIDAK MENGUNDI calon dari gabungan yang memiliki LEBIH RAMAI pemimpin yang menyanjung pemimpin dan pergerakan atau parti politik luar negara yang menzalimi umat Islam.
  2. C) TIDAK MENGUNDI calon dari gabungan yang memiliki LEBIH RAMAI pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan pecah amanah. (PEMARKAHAN 15 PERATUS)
  3. D) TIDAK MENGUNDI calon dari gabungan yang memiliki LEBIH RAMAI pemimpin yang menyokong pergerakan pengganas yang akan mengugat keselamatan & keamanan negara. (PEMARKAHAN 10 PERATUS)
  4. E) TIDAK MENGUNDI calon yang hanya muncul & turun padang bila musim PRU.
  5. F) UNDI calon dari gabungan parti yang mempunyai polisi ekonomi lebih baik.

UNDI calon dari gabungan yang paling kurang mudarat terhadap Islam, Muslim dan keselamatan serta kesejahteraan negara. Tugas saya hanyalah sekadar berkongsi dan sekali lagi saya tegaskan, sahabat-sahabat Muslim yang lain boleh berbeza pandangan dengan saya dalam senarai di atas.

Jikalau sahabat ingin berbeza, tiada masalah. Anda dibenarkan untuk berkongsi senarai anda di ruangan komen dan membawakan dali-dalil yang menyokong prinsip anda. PASTIKAN kita menjaga adab dan akhlak dalam perbincangan.

Apa-apapun, ingatlah bahawa Allah jualah yang memberikan kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki;

“Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(A-li’Imraan 3:26)

Yang diberikan kuasa tidak semestinya mulia di sisi Allah manakala yang tidak diberikan kuasa tidak semestinya dihina oleh Allah. Siapapun yang bakal berkuasa, ingatlah bahawa pemimpin adalah cerminan rakyatnya.

Jikalau baiknya rakyat, maka In Sha Allah kita akan mendapat pemimpin yang baik. Jikalau buruknya rakyat, maka buruklah juga pemimpinnya.

Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam pemimpin yang hebat kerana adanya rakyat bawahan yang hebat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan sebagainya. Empat Khulafa Ar-Rasyidin hebat kerana rakyatnya juga hebat.

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).”

(Al-An’aam 6:129)

 

Sumber : Facebook Firdaus Wong Wai Hung

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

 

Author