Terkini
Pengundi muda cenderung sokong PH, berikutan kemunculan semula Rafizi – penganalisis PRU
Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berpandangan antara faktor anak muda hari ini dilihat lebih cenderung memilih Pakatan Harapan (PH) berikutan kemunculan semula Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

- Kekuatan Rafizi adalah mampu bawa satu isu kompleks dengan mudah, malah golongan ini lebih mempercayai Rafizi berbanding pemimpin lain.
- Lebih 70 peratus golongan Undi 18 akan keluar mengundi ekoran kecewa politik semasa.
- “Sentimen sudah berubah, mereka ingin keluar mengundi kerana macam-macam sudah berlaku. Ada positif ada negatif tarik mereka jadi kita melihat peratusan keluar mengundi akan meningkat,” – Penganalisis Pilihan Raya
- Ia juga didorong undang-undang lompat parti dan usaha kempen tingkatkan kesedaran berbanding awal tahun.
- Kita gagal beri literasi pendidikan demokrasi dan pilihan raya bahkan wakil rakyat sepatutnya bertanggungjawab adakan kempen untuk anak-anak muda selepas Undi 18 dikuatkuasakan namun tiada.
- Perkara wajar diguna dalam manifesto untuk tarik undi anak muda; sediakan pelan perancangan kerja lima tahun, kenaikan gaji minimum, harga barangan disubsidi atau dikawal, sediakan kemudahan kenderaan persendirian atau perumahan.
KUALA LUMPUR – Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berpandangan antara faktor anak muda hari ini dilihat lebih cenderung memilih Pakatan Harapan (PH) berikutan kemunculan semula Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
Beliau turut menyifatkan kekuatan Rafizi adalah mampu membawa satu isu kompleks dengan mudah, malah menurutnya golongan ini lebih mempercayai Rafizi berbanding pemimpin lain.
“Jika kita melihat sehingga 2018, PH boleh dikatakan mesra anak muda namun selepas tempoh 22 bulan itu ia menurun sedikit. Tapi sekarang selepas dalam empat hingga lima bulan ia dilihat meningkat semula, iaitu orang muda kembali kepada PH berikutan kemunculan semula Rafizi.
Rafiz menyampaikan sesuatu isu dengan mudah macam Tun Mahathir lah. Dia buatkan orang mudah faham isu yang berlaku apa naratif dia. Jika melihat Syed Saddiq sendiri dia bawa suara anak muda tapi dia kurang terserlah seperti Rafizi.
Dia belum terserlah dalam membawa naratif yang boleh difahami dengan cepat dan jelas. Tapi dia seorang yang ada masa depan,” kata beliau yang turut tidak menolak faktor Rafizi lebih lama dalam dunia politik antara penyumbang membuatkan dia lebih terserlah dari Syed Saddiq.
Tambahnya, antara faktor lain anak muda dilihat cenderung memilih sesuatu parti adalah faktor kepimpinan, ketaksuban, program yang diadakan dan faktor mereka didekati.
Dalam masa sama, beliau yang juga Mantan Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya menjangkakan lebih 65 hingga 70 peratus anak muda daripada Undi 18 akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) berikutan perkembangan politik hari ini yang disifatkan mereka sebagai mengecewakan.
Jelasnya, sebelum bulan Mei dan merujuk situasi di Johor pada peringkat awal trend menunjukkan orang muda tidak mahu turun mengundi namun selepas bulan tersebut hasil kajian beliau menunjukkan trend berbeza susulan berlaku banyak perkembangan politik di Malaysia.
“Sentimen sudah berubah, mereka ingin keluar mengundi kerana macam-macam sudah berlaku. Ada positif ada negatif yang menarik mereka jadi kita melihat peratusan keluar mengundi akan meningkat walaupun enam bulan sebelum ini kita jangkakan hanya 50 peratus keluar mengundi.
Melalui perkembangan politik orang dah merasa macam kecewa dengan apa yang berlaku. Kemudian ada undang-undang lompat parti dan ada usaha kempen untuk meningkatkan kesedaran berbanding awal tahun ini,” katanya kepada The Merdeka Times.
Bagaimanapun, katanya kita telah gagal dalam memberi literasi pendidikan demokrasi dan pilihan raya bahkan menurutnya wakil rakyat sepatutnya mengambil tanggungjawab dengan mengadakan kempen untuk anak-anak muda selepas Undi 18 dikuatkuasakan namun tiada.
“Sepatutnya lepas Undi 18 diperkenalkan kita kena adakan program-program yang banyak. Apa itu parti? Apa itu politik ? Apa itu manifesto? Siapa itu wakil rakyat? Apa itu hak sebagai pengundi? Ia perlu dijelaskan.
Adakah anda tahu hak ada sebagai pengundi bila kertas undi rosak boleh ditukar? Ia boleh ditukar tapi tak ada orang pernah kata ia boleh. Tapi benda itu ada dalam undang-undang.
Kalau waktu berkempen wakil rakyat datang, kenapa dia tak datang lepas enam bulan? So kita ada hak tanya ke mana pergi wakil rakyat ketika kita ada masalah?“ katanya.
Beliau turut menjelaskan pendidikan berkaitan pilihan raya dan demokrasi sewajarnya dijalankan sejak mereka di bangku sekolah lagi iaitu bermula dengan pemilihan ketua darjah, memilih pengawas, beratur ketika memilih dan membeli makanan di mana beliau menyifatkan situasi tersebut seperti proses pilihan raya.
Tambahnya, ketika golongan ini memasuki alam universiti pula mereka sepatutnya diberi pilihan mengadakan pilihan raya sendiri tanpa campur tangan pegawai-pegawai universiti kerana tanpa pendedahan sebegitu ia boleh mendorong golongan muda ini takut untuk membuat keputusan memilih pemimpin hingga akhirnya tidak keluar mengundi.
“Biarkan mereka buat pilihan raya mereka. Pilihan raya bermula dari universiti, kolej dan dari sekolah. Mereka kena diajar apa itu demokrasi melalui politik sekolah kemudian akan masuk politik kerajaan dan negara. Jadi melaluinya baru mereka akan tahu apa itu politik dan demokrasi.
Ada golongan takut mereka ini masuk politik akan jadi jahat. Masalahnya orang yang terlibat politik itu tidak jahat, tak kotor. So kita kena mengajar integriti, profesionalisme semuanya datang dari sini,” beliau berkata pada Rabu.
Sementara itu, beliau juga mengetengahkan beberapa perkara yang wajar diguna pakai oleh para parti atau calon dalam manifesto mereka untuk menarik undi anak muda antaranya menyediakan satu pelan perancangan kerja lima tahun, kenaikan gaji minimum, harga barangan disubsidi atau dikawal, sediakan kemudahan kenderaan persendirian atau perumahan.
Namun, katanya manifesto atau janji dikemukakan perlulah munasabah bukannya menjanjikan langit dan bumi. – The Merdeka Times
