Antarabangsa
Lockdown China: 22 minoriti Uyghur dan Turki mati kelaparan di Xinjiang
Sekurang-kurangnya 22 minoriti Uyghur dan Turki yang ditindas di China dilaporkan meninggal dunia dalam sehari akibat kebuluran atau kekurangan rawatan perubatan.

- Sekurang-kurangnya 22 minoriti Uyghur dan Turki yang ditindas di China dilaporkan meninggal dunia dalam sehari akibat kebuluran atau kekurangan rawatan perubatan.
- Kematian itu dilaporkan pada 15 September lalu dengan Radio Free Asia mengesahkan angka kematian terbabit dengan polis tempatan di bandar di utara Xinjiang, Ghulja.
- Kawasan itu terkenal dengan penduduk Uyghur yang berbahasa Turki dan menjadi sasaran jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai oleh Kerajaan China.
- Sejak Ghulja dikenakan perintah ‘lockdown’ susulan penularan Covid-19 awal Ogos lalu, setengah juta etnik Uyghur dan Muslim Turki di bandar itu mengadu kerana tidak mempunyai akses mencukupi kepada makanan, rawatan perubatan dan bekalan.
CHINA – Sekurang-kurangnya 22 minoriti Uyghur dan Turki yang ditindas di China dilaporkan meninggal dunia dalam sehari akibat kebuluran atau kekurangan rawatan perubatan.
Kematian itu dilaporkan pada 15 September lalu dengan Radio Free Asia mengesahkan angka kematian terbabit dengan polis tempatan di bandar di utara Xinjiang, Ghulja.
Kawasan itu terkenal dengan penduduk Uyghur yang berbahasa Turki dan menjadi sasaran jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai oleh Kerajaan China.
Sejak Ghulja dikenakan perintah ‘lockdown’ susulan penularan Covid-19 awal Ogos lalu, setengah juta etnik Uyghur dan Muslim Turki di bandar itu mengadu kerana tidak mempunyai akses mencukupi kepada makanan, rawatan perubatan dan bekalan.
Bercakap kepada ABC, aktivis hak asasi manusia Uyghur yang berpangkalan di Australia, Inty Elham berkata, dia percaya perintah sekatan pergerakan itu adalah taktik Kerajaan China untuk menindas etnik minoriti.
“Pada asasnya, sebagai tambahan kepada pelanggaran hak asasi manusia yang teruk, seperti yang kita tahu, orang Uyghur di luar kem pada dasarnya berada di bawah tahanan rumah, mereka berada di bawah sekatan pergerakan Covid yang panjang ini,” katanya dipetik news.com.au.
Seorang lagi wanita memberitahu badan penyiaran nasional bahawa ibu saudaranya yang tinggal di kawasan Xinjiang, China menghadapi kekurangan makanan teruk.
“Satu-satunya cara dia boleh mendapatkan sayur-sayuran adalah daripada jirannya etnik Han. Dia tidak tahu bagaimana jirannya itu menerima bekalan,” katanya.
Awal bulan ini, Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, dakwaan mengenai penderaan China ke atas minoriti Islam di negara itu adalah “mengerikan”.
Ini berdasarkan laporan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet yang memperincikan pelanggaran hak asasi manusia dan kekejaman dilakukan terhadap kumpulan etnik itu di China.
Sehingga kini, China menafikan semua dakwaan berkaitan penganiayaan terhadap minoriti Uyghur di negara itu.
Sumber: News.com
